top of page

Mengapakah Yesus Datang Ke Dunia




Sepanjang hidup Yesus, Dia menunjukkan bahawa Dia mempunyai misi dan tujuan yang dilaksanakan-Nya dengan sengaja. Pada usia yang muda, Yesus sudah tahu bahawa Dia “harus melakukan kerja Bapa-Nya” (Lukas 2:49). Pada hari-hari terakhir kehidupan-Nya di bumi, Yesus “menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Yerusalem,” walaupun Dia tahu Dia akan dianiayai dan dibunuh di situ (Lukas 9:51). Boleh dikatakan misi asas Yesus Kristus semasa di bumi adalah untuk memenuhi rancangan Tuhan untuk menyelamatkan orang yang sesat.


Dalam Lukas 19:10, Yesus berkata "Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang hilang." Pada ketika itu, Yesus baru sahaja dikritik kerana pergi ke rumah Zakheus seorang pemungut cukai yang dikenali sebagai penipu. Yesus menjawab dengan menegaskan bahawa misi-Nya adalah untuk menyelamatkan orang yang memerlukan penyelamatan. Dosa mereka bukanlah alasan untuk-Nya menghindari mereka; sebaliknya, itulah yang menjadi sebab Yesus mencari mereka.


Berulang-kali semasa pelayanan Kristus, Dia mendekati dan mengampuni orang-orang yang dijauhi oleh pemimpin-pemimpin agama yang angkuh dan menganggap diri mereka benar (‘self-righteous’). Dia mencari dan menyelamatkan wanita Samaria di tepi perigi yang hidup berdosa dengan lelaki yang bukan suaminya, dan juga orang-orang Samaria yang lain di kotanya (Yohanes 4: 39–41). Selain itu, Yesus mencari dan menyelamatkan seorang pelacur perempuan dengan sebotol minyak wangi (Lukas 7:37). Bahkan, Dia mengambil Matius, seorang pemungut cukai yang merupakan seorang penipu, menjadi anak murid-Nya sendiri (Matius 9: 9).


Dalam Matius 9:11, sekali lagi Yesus ditegur kerana makan bersama pemungut cukai dan orang berdosa, dan sekali lagi Yesus membalas dengan menjelaskan misinya: "Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa" (Matius 9:13). Jelaslah matlamat Yesus adalah untuk menyelamatkan orang berdosa. Dia berjaya mencapai tujuan-Nya semasa di bumi. Oleh itu, dalam Yohanes 17:4, Yesus mengatakan kepada Bapa-Nya di syurga: “Aku telah memuliakanMu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepadaKu.


Dalam Injil-injil AlKitab, kita lihat Yesus memanggil orang paling berdosa untuk bertaubat. Tiada sesiapa pun yang dianggap-Nya terlalu berdosa sehingga tidak layak datang kepada-Nya. Sebaliknya, Yesus mengejar mereka yang sesat untuk diselamatkan. Yesus menggunakan dua perumpamaan untuk menerangkan misinya. Dalam perumpamaan pertama, seorang gembala yang mempunyai 100 ekor domba dan kehilangan seekor, akan meninggalkan 99 ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga diketemukannya. Gembala itu kemudiannya memikul domba itu di atas bahunya dan pulang dengan gembira. Setibanya di rumah, dia lalu meraikan penemuan itu bersama jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya (Lukas 15: 4–7).


Perumpamaan kedua pula mengenai perempuan yang mempunyai 10 keping wang perak dan kehilangan sekeping. Wanita itu mencari-mencari dengan cermat sehingga ketemu kembali wang peraknya yang hilang, lalu diraikan penemuannya bersama jiran-jirannya. (Lukas 15:8-10)


Dalam kisah anak yang sesat, Yesus mengajar bahawa Tuhan akan selalu menyambut dengan tangan terbuka mereka yang datang kepada-Nya dengan hati yang bertaubat (Lukas 15: 21–22; lihat Yesaya 57:15). Sehingga hari ini, Yesus terus mencari dan menyelamatkan mereka yang mempercayai-Nya dengan rendah hati (Matius 11:29; 18: 3–4; Wahyu 3:20). Yesus telah mengorbankan diri-Nya di kayu salib sebagai korban dosa kita agar kita dapat menerima pengampunan dosa. Yesus telah membuka jalan bagi kita manusia berdosa untuk didamaikan dengan Tuhan dan menjanjikan kita kehidupan kekal di akhirat. Pilihlah untuk menerima penyelamatan yang Yesus hulurkan kepada kita semua hari ini.


Berdasarkan "What was Jesus’ mission? Why did Jesus come?”

bottom of page