Menjadi Taat

Berjalan dalam Kerendahan Hati - Hari 5
Ayat Fokus: Filipi 2:8
Suzie sedang berkelakuan nakal lagi. Dia asyik meniru setiap gerak-geri Adam. Jika Adam menggaru kepala, dia pun menggaru kepalanya. Jika Adam batuk, dia pun batuk. Apabila Adam mula membuat tugasan sekolahnya, dia berpura-pura melakukan perkara yang sama. Akhirnya, Adam merasa jengkel dan berkata, “Suzie, berhenti meniru saya!” Suzie ketawa kecil tetapi dia berhenti melakukannya.
Walau bagaimanapun, Yesus tidak akan berasa jengkel jika kamu meneladani-Nya. Malah, Dia mahu kita melakukan apa yang dilakukan-Nya. Sikap kita sebagai pengikut Yesus Kristus seharusnya seperti sikap-Nya. Ini melibatkan sikap kerendahan hati dan ketaatan. Firman Tuhan memberitahu kita bahawa Yesus “… telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian, bahkan kematian di salib!” (Filipi 2:8).
Yesus memberikan segalanya untuk menjadi 100% rendah hati dan 100% taat kepada Bapa-Nya. Dia taat melakukan apa yang Allah kehendaki, dan itu bermaksud Dia mati untuk dosa seluruh manusia. Dia memenangkan keselamatan untuk kamu dan saya. Itulah misi-Nya.
Berikut adalah lirik sebuah lagu tentang ketaatan. Kamu boleh mencarinya dan menyanyi bersama…
“Ketaatan adalah cara terbaik untuk menunjukkan bahawa kamu percaya, Melakukan tepat seperti yang Tuhan perintahkan, melakukannya dengan sukacita …”
Yesus ialah Raja segala raja yang agung, dan Ketua bagi semua pemimpin di semua negara di bumi, termasuk ketua kampung kamu jika kamu tinggal di kampung. Namun, Dia menunjukkan kerendahan hati-Nya dengan mentaati Bapa-Nya. Menjadi taat dengan rendah hati kepada Tuhan adalah sikap yang harus kita teladani.
Renungkan: Mahukah kamu menjadi taat dengan rendah hati kepada Tuhan?
DOA
Bapa di syurga, terima kasih untuk Yesus yang begitu rendah hati dan taat kepada-Mu. Saya mahu mempunyai sikap yang sama ini dan memohon pertolongan Roh Kudus-Mu.
Gereja
Tuhan Yesus, biarlah sikap Gereja-Mu sama seperti sikap-Mu — yang ditunjukkan melalui keprihatinan, kasih, dan ketaatan kepada Tuhan.
Bangsa
Tuhan, semoga sentiasa ada keamanan dan keharmonian di negara kami di mana semua kaum yang berbeza hidup bersama dan saling mempedulikan antara satu sama lain. Dalam nama-Mu yang paling mulia. Amin.




Comments