top of page

Menjaga, Melindungi, Mempertahankan & Memelihara

Sep 12
2 min read

Penghalang kepada Kerendahan Hati - Hari 37

Ayat Fokus: Efesus 4:3, 6:10-18 dan Yakobus 3:16


Pernahkah kamu melawat istana raja atau sultan? Jika pernah, kamu pasti akan perasan tembok-tembok kuat yang mengelilingi istana itu. Pengawal-pengawal bersenjata akan berdiri berjaga di pintu gerbang besi untuk melindungi raja dan keluarganya daripada orang yang mungkin mahu mencederakan mereka.


Kita juga perlu menjadi seperti pengawal-pengawal itu apabila kita berada di gereja, dengan memelihara kesatuan Roh dalam ikatan damai sejahtera (lihat Hari 32). Tetapi tentu sekali bukan dengan senjata! Kita harus melindungi dan mempertahankan dengan mengenakan perlengkapan senjata Allah, berdiri teguh dan berdoa. Inilah senjata rohani kita.


Pedang kita ialah Firman Tuhan - kebenaran yang berdiri melawan Iblis dan segala kejahatannya — yang menjaga kita daripada ajaran palsu. Satu lagi senjata yang sangat kuat ialah kerendahan hati kita. Ini melindungi kita daripada iri hati, gosip, mementingkan diri, kesombongan, keengganan untuk belajar, dan membandingkan kurnia pemberian Tuhan kepada kita dengan orang lain. Ungkapan kerendahan hati dalam gereja ini melindungi kita daripada mereka yang mahu menyakiti kita. Dengan cara ini, kita dapat menjaga, melindungi, mempertahankan dan memelihara kesatuan Roh.


Walaupun kamu berasa terlalu muda untuk melakukan semua ini, kamu boleh bermula hari ini dengan hanya memikirkan kebenaran-kebenaran ini. Ambil langkah-langkah kecil, terutama dalam memupuk kerendahan hati kamu. Banyak langkah kecil akhirnya akan membawa kepada sesuatu yang jauh lebih besar apabila kamu hidup dengan memberi impak besar bagi Tuhan.


Renungkan: Setiap kita mempunyai peranan untuk menjaga, melindungi, mempertahankan dan memelihara kesatuan Roh dalam ikatan damai sejahtera.


DOA

Ya Allah Bapa, saya masih muda tetapi saya mahu memikirkan dan berusaha untuk bertumbuh dalam kerendahan hati. Kemudian saya boleh mempraktikkannya untuk menjaga, melindungi, mempertahankan dan membantu memelihara kesatuan Roh dalam ikatan damai sejahtera. Saya memerlukan pertolongan Roh Kudus-Mu.


Gereja

Ya Allah Bapa, bantu kami untuk menyelaraskan hati kami dengan hati-Mu, supaya kami menginginkan perkara-perkara baik yang sama seperti yang Engkau kehendaki, dan supaya kami dapat mencapai masa depan indah yang Engkau telah rancangkan dengan sengaja untuk setiap daripada kami.


Bangsa

Ya Allah Bapa, kami berdoa agar para pemimpin dalam Kerajaan kami dapat bekerjasama demi kebaikan negara kami. Saya berdoa dalam nama Yesus. Amin.

Comments


bottom of page