Mesej Paling Lantang

Penyataan Kerendahan Hati dalam Gereja - Hari 35
Ayat Fokus: Filipi 2:2, 3 dan 5
Cikgu Hannah berada dalam mood sebagai pemimpin remaja dan juga guru Bahasa Inggeris. Dia menyenaraikan sinonim seperti ‘sehati,’ ‘sefikiran,’ ‘kasih yang sama,’ ‘satu tujuan,’ dan ‘mempunyai pemikiran yang sama.’ “Ingat,” katanya, “sinonim ialah perkataan yang mempunyai makna yang hampir serupa tetapi ada sedikit perbezaan. Frasa-frasa daripada Filipi 2:2, 3 dan 5 ini semuanya adalah ungkapan kerendahan hati. Itulah yang Tuhan tuntut daripada kita: untuk bersatu dalam hati dan fikiran.”
“Terdapat ramai orang yang berbeza di gereja,” sambungnya, “masing-masing dengan pemikiran, idea dan pendapat sendiri. Jika kita mengutamakan diri sendiri, ia akan membawa kepada pertengkaran dan perasaan terluka. Tetapi jika kita satu fikiran – iaitu mengutamakan Yesus dan memuliakan-Nya, membantu satu sama lain bertumbuh dalam kehidupan rohani, dan membina kerajaan Allah bersama – kita akan menjadi ‘sefikiran.’”
“Jika kita mempunyai kasih yang sama, mengasihi Tuhan, dan mengasihi sesama kita seperti yang dijelaskan dalam Bab Kasih (lihat Hari 34), maka kita akan sehati. Kita akan mempunyai tujuan yang sama dan semuanya menuju kepada satu matlamat itu.”
“Sebagai contoh, jika gereja kita mengadakan perkelahan pada Hari Malaysia, kita akan menjemput rakan-rakan dan jiran tetangga kita. Kita ingin berkongsi makanan, keseronokan dan kasih Yesus. Satu matlamatnya adalah untuk berkongsi tentang Yesus, dan satu fikiran yang sama adalah untuk berkongsi tentang Yesus di perkelahan tersebut. Kasih yang sama ialah kasih Yesus dalam hati kita. Ada di antara kita yang menyediakan makanan, yang lain mengatur permainan, dan ada yang menulis mesej ringkas. Kumpulan belia akan menyediakan muzik dan lagu. Orang lain pula akan meninjau tempat perkelahan yang sesuai. Dengan cara ini, kita semua menggunakan kurnia kita sambil meneladani kerendahan hati Kristus dalam takut kepada Tuhan. Wujudnya satu kesatuan (atau kesatuan hati dan tujuan). Ini akan menjadi mesej Yesus yang paling lantang kepada rakan-rakan kita,” Cikgu Hannah mengakhiri.
Renungkan: Amalkan sikap sefikiran.
DOA
Bapa di Syurga, sungguh menarik bagaimana kesefikiran ini berfungsi. Terima kasih atas Roh Kudus-Mu yang diam dalam setiap orang percaya, yang menolong kami mempunyai satu fikiran untuk bekerja dalam satu kesatuan dengan kasih yang sama kepada-Mu dan sesama kami. Pimpinlah kami supaya sentiasa mengikut Engkau dan menyatakan kerendahan hati Yesus dalam hati dan tindakan kami di rumah, di sekolah dan terutama di gereja. Saya berdoa dalam nama Yesus. Amin.
Gereja
Apabila kita mempunyai kerendahan hati, kita akan berkongsi segala-galanya bersama dan melayani Tuhan dengan setia. Ajarlah kami untuk menyembah Engkau melalui kasih dan keprihatinan kami terhadap orang Kristian yang lain.
Bangsa
Tidak lama lagi (tahun depan), Malaysia akan merayakan 70 tahun Merdeka! Negara kita sangat unik kerana kepelbagaian kaum dan agama yang hidup bersama dengan aman. Berdoalah supaya kita sentiasa saling mengambil berat dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.




Comments