Mulut Tertutup untuk Mendengar
- 31 minutes ago
- 2 min read

Ciri-ciri Kerendahan Hati - Hari 12
Ayat Fokus: Amsal 18:12-15
Febe memberi perhatian kepada orang lain dan sentiasa cepat membantu apabila mereka memerlukannya (lihat Hari 11). Namun, untuk melakukan itu, dia perlu menjadi seorang pendengar yang baik. Dia menutup mulutnya dan menggunakan lebih daripada sekadar telinga untuk mendengar. Apa? Lebih daripada telinga untuk mendengar??
Jika kamu tahu aksara Cina tradisional untuk ‘dengar’ (聽 - ting), kamu akan dapati ia mempunyai lima unsur. Salah satu unsurnya ialah telinga, sudah tentu. Kita mendengar dengan telinga. Tetapi tahukah kamu bahawa kita juga mendengar dengan mata? Ya, apabila kita mendengar orang lain, kita juga boleh memandang mata mereka. Kita boleh melihat wajah mereka dan juga pergerakan tubuh mereka. Jadi, mata juga merupakan sebahagian daripada ‘ting’. Daripada semua ini, kita dapat mengetahui sama ada seseorang itu sedih, gembira, marah, letih atau sedang kesakitan.
Aksara Cina “聽” juga mempunyai bahagian yang bermaksud ‘raja’. Kita semua melayan raja dengan penuh hormat. Apabila kita mendengar orang lain, anggaplah mereka seperti raja, dan tunjukkan rasa hormat. Ini bermakna memberikan perhatian penuh kepada mereka semasa mereka bercakap dengan kita, bukannya melihat telefon bimbit kamu.
Aksara ‘satu’ dan ‘hati’ juga terdapat dalam “聽”. ‘Satu’ menunjukkan kita hanya memberi tumpuan kepada mereka. Kita sedang memberi fokus. ‘Hati’ pula menunjukkan kita mempunyai empati dan benar-benar mengambil berat terhadap orang itu.
Dalam erti kata lain, kita tidak terburu-buru memberikan jawapan sebelum kita mendengar sepenuhnya. Kita biarkan mereka habis bercakap sebelum mengatakan apa-apa. Dengarlah dalam diam. Kita mungkin akan mendengar lebih daripada sekadar kata-kata mereka. Kita akan memahami apa yang benar-benar mereka perlukan supaya kita dapat menjadi penolong yang terbaik. Inilah tindakan kerendahan hati. Ayat Amsal 18:15 berkata bahawa ini adalah:
“Hati orang yang berpengertian memperoleh pengetahuan, dan telinga si bijaksana mencari pengetahuan.”
Renungkan: Latih diri untuk mempunyai hati yang berpengertian dan telinga yang bijaksana sambil menutup mulut.
DOA
Bapa di syurga, telinga-Mu sentiasa terbuka kepada kami dan saya bersyukur kepada-Mu. Bantulah saya untuk melakukan perkara yang sama kepada orang lain dengan hati yang berpengertian, telinga yang bijaksana, dan mulut yang tertutup.
Gereja
Tuhan, Engkaulah yang berkuasa atas segala yang kami fikirkan dan lakukan! Ketika umat-Mu mendengar, ajarlah kami untuk tetap berada dalam kehendak-Mu.
Bangsa
Semoga Kerajaan kami mendengar nasihat orang yang bijaksana dan membuat keputusan yang baik untuk setiap rakyat Malaysia. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.




Comments