top of page

Penganiayaan


Ayat: Markus 13:9-13

9 Berhati-hatilah tentang dirimu, kerana mereka akan mengheretmu ke hadapan majlis dan memukulmu di dalam saumaah. Kamu akan dibawa kepada pemerintah dan raja kerana-Ku, untuk memberikan kesaksian kepada mereka. 10 Injil mesti disebarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa. 11 Apabila mereka menangkapmu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa, janganlah khuatir apa yang akan kamu katakan. Tetapi apa yang diberitahu kepadamu pada waktu itu, tuturkanlah, kerana yang bertutur itu Roh Kudus, bukanlah kamu. 12 Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap ibu bapa, lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh. 13 Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan."


Nubuatan akhir zaman yang ketiga ini berunsur amaran; “berhati-hati tentang dirimu..” dan dorongan; “janganlah khuatir..” Kata-kata diakhir ayat ini amat menghiburkan; “Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan.


Penganiayaan terhadap orang Kristian tidak dapat dinafikan. Apapun bentuk penganiayaan yang sedang atau bakal terjadi, kita mesti beri tumpuan kepada ‘bagaimana bertahan.’ Sebelum penganiayaan terjadi, kita perlu fokus terhadap menguatkan dan mempersiapkan diri secara rohani, dan mental. Proses menguatkan rohani & mental ini dipanggil ‘pemuridan’. Semasa penganiayaan pula, kita perlu fokus kepada ‘bertahan hingga ke akhir’ dan tujuan setiap penganiayaan iaitu keselamatan dan kemuliaan.


Kata-kata Paulus ini memberi dorongan dan hiburan kepada kita ketika menghadapi penganiayaan: “Siapa yang akan memisahkan kita daripada kasih Kristus? Kekacauan atau kesusahan atau penganiayaan atau kebuluran atau ketelanjangan atau bahaya atau pedang? Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: "Kerana-Mu kami menghadapi maut sepanjang hari;

Kami dianggap sebagai domba untuk disembelih." Tidak! Dalam semua hal ini kita lebih daripada para penakluk melalui Dia yang mengasihi kita. Kerana aku yakin bahawa kematian mahupun kehidupan, para malaikat mahupun para pemerintah, masa kini mahupun masa depan, baik kuasa apa pun, ketinggian mahupun kedalaman, baik apa pun yang lain dalam seluruh ciptaan, tidak akan dapat memisahkan kita daripada kasih Allah yang di dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.” Roma 8:35-39


Sudahkah anda menjadi murid Yesus? Sudahkah anda melalui proses pemuridan? Anda tidak akan dapat bertahan dalam menghadapi penganiayaan sekiranya anda belum lagi menjadi seorang murid Yesus yang sungguh-sungguh.


Doa: Bapa surgawi, kami tidak kuat dan mampu menghadapi penganiayaan yang sedang atau bakal dihadapi. Justeru itu, kami ingin menjadi murid Yesus yang rela dibentuk dan dilatih dalam proses pemuridan. Teguhkan iman dan hati kami supaya tidak mudah mengalah dan meninggalkan iman ketika menghadapi penganiayaan. Dalam nama Yesus kami berdoa, Amen.


Eddy M.Yasir

1 Comment


AWK
AWK
Apr 28, 2022

Amen. “Tetapi kamu telah mengikut dengan penuh hemat segala ajaranku, cara hidupku, tujuan hidupku, imanku, kesabaranku, kasihku dan ketabahanku. Engkau telah melihat penganiayaan dan kesengsaraan serta segala yang menimpaku di Antiokhia, Ikonium dan Listra – betapa penganiayaan yang kutanggung. Akan tetapi, Tuhan telah menyelamatkanku daripada semuanya itu. Memang, semua orang yang ingin hidup warak dalam Kristus Yesus akan dianiaya.” ‭‭ (2 Timotius‬ ‭3:10-12‬ ‭AVB‬)

Like
bottom of page