top of page

Penuaian Jiwa Yang Besar


Bacaan Alkitab : Lukas 10:2

Lukas 10:2 (TB)


Kata-Nya kepada mereka: “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit. Karena itu mintalah kepada Tuan yang empunya tuaian, supaya Ia mengirimkan pekerja-pekerja untuk tuaian itu.


Pernahkah anda berdiri di tengah ladang sawah padi yang luas dan menguning? Anda menghayati keindahan padi yang siap dituai. Di zaman remaja saya, saya pernah bersama dengan orang tua saya untuk mengetam padi di ladang padi bukit. Pada awalnya saya bersemangat namun tenaga mulai berkekurangan sehingga saya terduduk-duduk mengetam padi kerana keletihan. Memikirkan perkara tersebut, saya sangat mengagumi dan menghormati betapa orang tua saya tidak pernah ingin meninggalkan atau membiarkan padi tersebut dibazirkan sehingga reput dan tidak berguna. Ladang yang menguning adalah satu harta yang sangat berharga di hati Orang tua saya.


Di dalam Lukas 10:2 menyatakan tentang tuaian sangat banyak tetapi yang menuai tuaian itu sangat sedikit. Jika kita mengingatkan kembali cerita saya di zaman remaja tadi, orang tua saya tidak mahu meninggalkan padi-padi tersebut terbiar tanpa dituai.


Saya juga ingin menarik perhatian kita kepada tuaian yang banyak seperti apa yang dikatakan dalam Lukas 10:2 ini. Tuaian yang banyak ini mengambarkan jiwa-jiwa manusia yang perlu diselamatkan supaya tidak “reput” kerana ditinggalkan.

Salah satu ciri gereja kuat dan sihat, adalah menjangkau jiwa-jiwa untuk Kristus. Persoalannya adakah gereja kita punya ciri ini? Jika tidak, kita perlu menanam dan memberi kesedaran kepada generasi kita supaya melihat jiwa-jiwa yang belum diselamatkan sebagai satu harta yang sangat berharga dan tidak boleh dibiarkan. Jika generasi kita punya hati yang cinta jiwa-jiwa secara langsung memberi impak kepada gereja untuk melahirkan gereja kuat dan generasi kuat.


Sepanjang Doa Puasa Nasional tiga wilayah ini, mari kita bersama-sama memberi komitmen baru sebagai satu gereja dan satu generasi di dalam mencintai jiwa-jiwa untuk Tuhan, jika esensi ini sudah pudar dan malap dalam gereja kita amnya dan diri kita secara peribadi khususnya. Hari ini ambil masa mengevaluasi diri anda dan berkata, “Tuhan berikan ku hati seperti hati-Mu mencintai jiwa-jiwa yang terhilang”.


Bahan Doa

Saya berdoa Desakan Penuaian Jiwa terjadi secara global dan merebak ke setiap benua di dunia ini.

1. Kegerakan Jangkauan Suku-Suku Terabai akan terjadi di setiap negara. Suku-suku sudah terbuka menerima Injil Kerajaan Allah. Gereja-gereja menggerakkan misinya dengan kuat kuasa Roh Kudus dan menjangkau jiwa-jiwa dalam skala yang besar. Gereja-gereja bersatu untuk membawa Kerajaan Allah masuk ke dalam dunia dan menjadi terangNya yang besar.

2. Penuaian dan jangkauan yang besar terjadi di semua negara dan setiap kota dan daerah di dunia ini memiliki gereja yang kuat untuk memenangkan jutaan jiwa ke dalam Kerajaan Allah.

3. Kegerakan lima jabatan iaitu rasul, nabi, penginjil, pengajar dan gembala akan menjadi sebuah kekuatan gereja-Nya untuk bersatu memenangkan dunia ini bagi Kristus. Tuhan membangkitkan lima jabatan ini diseluruh dunia untuk memperlengkapi gereja-Nya.


Doa Puasa Kebangsaan 31 Hari, Sidang Injil Borneo (SIB/BEM)

(Sabah, Sarawak, Semenanjung)



bottom of page