Penyebut Sepunya

Penyataan Kerendahan Hati dalam Gereja - Hari 31
Ayat Fokus: 1 Korintus 12:12-13
"Dalam matematik," Cikgu Musa mengajar, "terdapat sesuatu yang dipanggil 'penyebut sepunya' (common denominator) apabila kita membuat pembahagian. Dalam pecahan seperti 1/5, nombor di bawah dipanggil penyebut. Apabila kita mahu menambah dua pecahan bersama-sama, nombor di bawah mestilah sama." Cikgu Musa menulis di papan tulis untuk menunjukkan kepada semua orang di dalam kelas: ⅕ + ⅗ = 4/5. Dia menunjuk kepada nombor di bawah, "kedua-duanya adalah 5," katanya. "Jadi 5 ialah 'penyebut sepunya'."
Di Malaysia, terdapat banyak budaya. Ada kaum India, Cina, Nyonya, dan banyak kumpulan etnik seperti Kadazan, Iban, Orang Asli, dan lain-lain. Jika mereka semua mempunyai kewarganegaraan Malaysia, penyebut sepunyanya adalah mereka semua merupakan rakyat Malaysia. Ada tindakan tertentu yang dilakukan oleh kebanyakan rakyat Malaysia, atau makanan yang mereka suka makan seperti nasi lemak, sate, atau mi segera.
Daripada ayat fokus hari ini, kita belajar bahawa tidak ada lagi orang Yahudi atau orang Yunani. Penyebut sepunyanya ialah, jika kita semua milik Yesus Kristus, kita semua adalah orang Kristian. Apabila kita menerima Kristus sebagai Penyelamat kita, kita juga akan menerima Roh Kudus. Perkara ini tidak akan pernah dapat diambil daripada kita.
Satu lagi penyebut sepunya yang baik untuk dimiliki oleh semua orang ialah kerendahan hati. Ini adalah apa yang dituntut oleh Tuhan. Jika kita mempunyai sikap Yesus Kristus dan mahu meneladani-Nya, kita semua akan menunjukkan "ungkapan kerendahan hati" apabila kita berada di gereja. Akan ada perpaduan dan kasih sayang yang lebih besar, dan semua pujian, penyembahan, serta kemegahan kita adalah untuk Tuhan dan Penyelamat kita, Yesus Kristus.
Renungkan: Aktifkan penyebut sepunya kerendahan hati dalam diri kamu.
DOA
Bapa di syurga, saya milik-Mu kerana apa yang telah Engkau lakukan untuk saya melalui Yesus. Saya mengucapkan syukur kepada-Mu. Hari ini saya memohon pertolongan untuk menunjukkan ungkapan kerendahan hati terhadap orang lain yang mempunyai penyebut sepunya sebagai 'orang Kristian'. Kami semua adalah satu dalam Kristus. Semoga kami menunjukkannya melalui tindakan kami.
Gereja
Bapa di syurga, semoga semua gereja di Malaysia bersatu untuk merendahkan diri di hadapan-Mu dan saling mengasihi.
Bangsa
Ya Allah Bapa, terima kasih kerana menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan berbilang agama di mana penekanan terhadap keamanan dan keharmonian adalah sangat penting. Semoga Kerajaan kami menjadikan negara ini sebuah tempat di mana setiap orang bebas memilih agama mereka, dan kekal bebas serta selamat semasa melakukannya. Tegakkanlah undang-undang yang memberi kebebasan kepada semua agama. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.




Comments