Perang dalam Kelas

Penghalang kepada Kerendahan Hati - Hari 29
Ayat Fokus: Matius 7:28-29 dan Yohanes 1:38.
Guru itu menulis perkataan 'Guru' di papan putih dan bertanya, "Siapakah Guru di dalam bilik ini?" Pelajar-pelajar memandang sekeliling dengan wajah bingung dan menjawab, "Cikgulah!" Guru itu tertawa dan berkata, "Bukan, kamu mungkin tidak dapat melihat-Nya, tetapi Dia adalah Yesus dan juga Roh Kudus. Pelajar-pelajar sekalian, kamu dan saya perlu belajar daripada-Nya supaya tidak ada peperangan dalam kelas!"
Para pelajar kelihatan semakin bingung. Dia menjelaskan, "Apabila kamu berasa seperti tidak mahu mendengar cakap guru-guru, adakah itu kerana kamu percaya guru-guru terlalu suka mengarah dan sentiasa menentang kamu? Adakah kamu juga percaya bahawa guru-guru berasa mereka 'tahu-segalanya', jadi mereka tidak pernah mahu belajar apa-apa daripada kamu? Ini dipanggil 'penolakan untuk belajar', yang merupakan penghalang kepada kerendahan hati."
"Sebaliknya, guru-guru pula sering menganggap pelajar mereka memberontak, degil, malas, dan tidak bersemangat untuk belajar. Jadi, bolehkah kamu nampak tarik-menarik ini? Ini menyedihkan kerana apabila 'perang' ini berlaku, pelajar tidak belajar dengan baik daripada guru, dan guru pula mungkin menjadi enggan untuk belajar apa-apa daripada pelajar mereka."
"Apabila guru Kristian dan pelajar Kristian melihat Yesus sebagai GURU tersebut, dan menjadikan DIA ketua dalam hidup mereka, akan ada lebih banyak kerendahan hati. Guru dan pelajar akan menjadi satu pasukan yang hebat dan saling menerima dengan lebih baik. Seperti bunga yang indah, masing-masing akan dapat bertumbuh dan mekar. Dengan kurangnya penolakan untuk belajar dan tiada lagi Tarik-menarik di dalam kelas, proses pembelajaran akan mengalir ke kedua-dua arah kerana guru dan pelajar saling menghormati."
"Fuyoh!" seru para pelajar serentak semasa guru itu meletakkan pen penanda papan putih.
Renungkan: Anggaplah Yesus sebagai Guru kamu.
DOA
Yesus, saya tidak pernah benar-benar memikirkan Engkau sebagai Guru utama saya, dan bahawa Engkau boleh mengajar guru-guru dan juga pelajar-pelajar jika mereka membenarkan Engkau. Saya mengaku dan bertaubat atas sikap enggan belajar yang ada di dalam hati saya. Bantulah saya untuk melihat guru-guru saya sebagai orang yang benar-benar mahu saya belajar, dan bantulah mereka untuk memahami saya serta pelajar lain dengan lebih baik juga. Saya berdoa dalam nama-Mu, Yesus. Amin.
Gereja
Yesus mengajar bahawa Tuhan hanya akan mengampuni kita jika kita mengampuni mereka yang telah bersalah kepada kita. Berdoalah agar Tuhan memampukan kita untuk mengampuni orang lain, kerana itu menunjukkan sifat-Nya yang penuh belas kasihan dan pengampunan-Nya atas dosa-dosa kita.
Bangsa
Sejak dua tahun terakhir, Malaysia tidak mempunyai ramai orang yang menganggur. Namun, tahun ini, jumlah orang yang tidak mempunyai pekerjaan mungkin meningkat disebabkan oleh apa yang banyak negara lakukan untuk melindungi diri mereka. Berdoalah agar para pemimpin kita diberikan hikmat.




Comments