Perkara Doa 2025: Malaysia & Global
- Komuniti Digital 03

- Aug 8
- 3 min read
Updated: Sep 9

1. PARLIMEN & KEPIMPINAN NEGARA
Doakan Sidang Parlimen dan Perbahasan RMK-13
Doakan hikmat dan ketulusan bagi semua Ahli Parlimen dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030), agar suara rakyat benar-benar diwakili.
Doakan fokus kepada transformasi ekonomi, pembangunan inklusif, perpaduan nasional.
Doakan agar perbahasan dijalankan dengan profesional, berintegriti dan bebas daripada fitnah atau politik kepentingan peribadi.
Doakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar dipimpin oleh hikmat Tuhan dalam mengimbangi tekanan ekonomi, politik dalaman, dan hubungan antarabangsa.
Doakan Yang di-Pertuan Agong dipulihkan sepenuhnya dalam kesihatan dan dikurniakan kekuatan rohani untuk memimpin negara dalam keadilan dan perpaduan.
📖 Mazmur 2:8 – "Mintalah kepada-Ku, maka bangsa-bangsa akan Kuberikan kepadamu menjadi milik pusakamu..."
2. EKONOMI, SUBSIDI & KOS SARA HIDUP
Doakan pelaksanaan bantuan tunai tambahan RM100 dan subsidi bersasar yang diumumkan pada Julai dapat membantu meringankan beban rakyat.
Doakan pelaksanaan subsidi petrol (RON95 RM1.99/liter) dan dasar fiskal kerajaan dilakukan dengan saksama dan lestari.
Doakan perhatian serius terhadap pengangguran belia, pendapatan minimum dan peluang pekerjaan berkualiti.
📖 Mazmur 41:1 – "Berbahagialah orang yang memperhatikan orang lemah!"
3. TADBIR URUS, RASUAH & KEADILAN
Doakan keberanian dan kebijaksanaan SPRM dalam menyiasat kes rasuah berprofil tinggi dan memastikan ketelusan dalam GLC serta sektor swasta.
Doakan sistem kehakiman kekal bebas dan adil, serta memperjuangkan keadilan sosial dan hak rakyat.
Doakan kepimpinan negara komited terhadap reformasi institusi dan integriti awam.
Doakan ketua hakim yang baru Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh – Ketua Hakim Negara (ke-17); sumpah pada 28 Julai 2025
Datuk Abu Bakar Jais – Presiden Mahkamah Rayuan
Datuk Azizah Nawawi – Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah & Sarawak
📖 Mikha 6:8 – "Berlakulah adil, kasihilah kesetiaan, dan hiduplah dengan rendah hati di hadapan Allahmu."
4. PERPADUAN KAUM & KEBEBASAN BERAGAMA
Doakan agar Malaysia terus dipelihara dalam kesepaduan kaum dan keharmonian agama, khususnya semasa perbahasan nasional dan perubahan dasar.
Doakan pemimpin dan media tidak memanipulasi sentimen kaum atau agama untuk kepentingan politik.
Doakan kebebasan beragama dan keselamatan rumah ibadat semua agama dipelihara.
📖 Efesus 4:3 – "Berusahalah memelihara kesatuan Roh oleh ikatan damai sejahtera."
5. EKONOMI RAKYAT & SOKONGAN SAKSAMA
Doakan Pelaksanaan bantuan tunai tambahan RM100 dan subsidi bersasar yang diumumkan, benar-benar sampai kepada golongan sasar, dan meringankan beban rakyat menghadapi kos sara hidup yang meningkat.
Subsidi petrol RON95 (RM1.99/liter), serta dasar fiskal dan kewangan kerajaan dilaksanakan secara telus, saksama dan lestari, tidak membebankan generasi akan datang.
Pengangguran belia, pendapatan minimum, dan akses kepada peluang pekerjaan berkualiti dan mampan ditangani dengan dasar dan latihan yang praktikal.
Ekonomi Sabah dan Sarawak, serta pembangunan luar bandar di pedalaman dan kawasan terpinggir, termasuk komuniti Orang Asli dan masyarakat B40, tidak terabai dan terus diberikan perhatian melalui pelaburan, infrastruktur, pendidikan, kesihatan, dan pemberdayaan ekonomi.
Peruntukan pembangunan wilayah diagihkan dengan adil dan berasaskan keperluan, bukan politik, agar tidak wujud jurang pembangunan antara wilayah.
📖 Yesaya 58:10 – “Apabila engkau menyerahkan kepada orang lapar apa yang engkau ingini sendiri dan memuaskan hati orang yang tertindas, maka terangmu akan terbit dalam gelap...”
6. PENDIDIKAN & BELIA
Doakan pelaksanaan kandungan pendidikan masa depan dalam RMK-13, melahirkan generasi celik teknologi dan berakhlak.
Doakan anak muda terpelihara dari pengaruh negatif ideologi ekstrem, dadah dan kebingungan identiti.
Doakan kebangkitan rohani dan keberanian belia dalam menyatakan iman mereka secara terbuka dan penuh kasih.
📖 Amsal 22:6 – "Didiklah orang muda menurut jalan yang patut baginya..."
7. GEREJA DI MALAYSIA & HAMBA TUHAN
Doakan agar gereja terus berfungsi sebagai garam dan terang kepada masyarakat, terlibat aktif dalam keprihatinan sosial dan misi.
Doakan pemimpin gereja berhikmat, rendah hati dan sehati sepikir, serta diberi kekuatan dalam pelayanan.
Doakan kesatuan tubuh Kristus di Malaysia agar membawa dampak yang nyata dalam komuniti.
📖 Filipi 2:2 – "Sehati sepikir, dalam satu kasih, satu jiwa dan satu tujuan."
8. ASEAN, DIPLOMASI & PERANAN MALAYSIA
Doakan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, agar memainkan peranan pendamai, terutamanya dalam krisis Myanmar dan Laut China Selatan.
Doakan kerjasama ekonomi strategik dengan China, GCC dan negara serantau menggalakkan pertumbuhan bersama.
Doakan inisiatif diplomatik Malaysia berdasarkan keadilan, keamanan dan kemanusiaan.
📖 2 Korintus 5:18 – "...Ia telah mempercayakan pelayanan pendamaian itu kepada kami."
9. ISU GLOBAL, PERANG & KEMANUSIAAN
Doakan gencatan senjata segera dan penyelesaian diplomatik di Gaza, serta perlindungan untuk orang awam.
Doakan keamanan di Ukraine–Rusia, dan krisis kemanusiaan di Sudan, Haiti, dan Myanmar.
Doakan pengakhiran kepada penindasan terhadap gereja di India, Pakistan, China dan Timur Tengah.
📖 Yohanes 14:27 – "Damai sejahtera-Ku Kuberikan kepadamu..."
10. BENCANA ALAM & PERUBAHAN IKLIM
Doakan perlindungan daripada kesan cuaca melampau dan fenomena El Niño terhadap pertanian dan bekalan air.
Doakan kesedaran alam sekitar di kalangan rakyat dan pemimpin agar menjaga ciptaan Tuhan.
Doakan bantuan segera kepada komuniti yang terkesan dengan bencana seperti banjir, kebakaran dan kemarau.
📖 Yeremia 10:12 – "Tuhanlah yang membuat bumi dengan kuasa-Nya..."




Comments