top of page

Tuhan itu Peribadi


Bacaan Alkitab: Bilangan 4-13


Semasa krisis pandemik, banyak gereja memindahkan ibadah mereka ke platform dalam talian. Ada yang mendapati ia menolong kerana mengurangkan waktu perjalanan, menjadikan ibadah dapat diakses dari rumah mereka sendiri. Yang lain, seperti saya, berasa aneh untuk mengaitkan “Gereja” dengan skrin TV atau komputer. Saya segera menyedari bahawa melihat pastor saya “secara bersemuka” ialah berkat yang sering kali tidak dihargai.


Alkitab menyatakan kepada kita bahawa Tuhan itu peribadi. Dia bukanlah idea abstrak, keadaan keberadaan, konsep falsafah, atau kekuatan alam. Dia ialah Peribadi yang kita boleh kenali. Dia memiliki perasaan, kemahuan, dan tindakan. Dalam Bilangan, Tuhan menyatakan kehendak-Nya kepada Musa secara peribadi. Ketika orang- orang bertindak balas melawan Tuhan, Dia menjadi marah dan menimpakan murka- Nya atas mereka. Tuhan secara peribadi turun ke atas tujuh puluh tua-tua Israel dan membolehkan mereka untuk bernubuat (Bil 11:25). Dia secara peribadi membimbing orang Israel di padang gurun.


Tuhan ingin berkongsi diri-Nya dengan manusia dengan kasih. Dia secara peribadi terlibat dalam penciptaan alam semesta (Kej 1-2). Dia peduli dan memperhatikan semua makhluk (Mat 10: 29-30). Dia membuat umat manusia berhubung dengan-Nya secara peribadi. Orang dipanggil untuk mengasihi Tuhan (Ula 6:4). Akhirnya, kelahiran Yesus dan kematian-Nya di kayu salib menunjukkan kasih Tuhan kepada umat manusia (Yoh 3:16). Meskipun Tuhan adalah cukup untuk diri-Nya, Dia tetap memilih untuk menciptakan dunia ini dan mencurahkan kasih-Nya kepada kita.


Apakah anda sedar bahawa Tuhan ingin berkomunikasi dengan anda seperti yang dilakukan bapa yang penuh kasih dengan anak lelaki dan anak perempuannya? Dia bukanlah sesuatu pelajaran, khutbah, atau pelayanan (meskipun Dia mungkin berbicara melalui semua itu). Tuhan ialah Peribadi yang dapat anda harapkan, ajak bercakap, dan terima penghiburan serta kekuatan.


Rev Dr Victor Lee, NECF


bottom of page