Tuhan Mendengar Orang yang Rendah Hati
- 1 day ago
- 2 min read

Manfaat Kerendahan Hati - Hari 20
Ayat Fokus: Yakobus 4:6; 2 Raja-Raja 22:1, 2, 22, 13, dan 19-20.
Raja Yosia baru berusia lapan tahun ketika dia menjadi raja di Yerusalem. Walaupun dia masih sangat muda, dia melakukan:
“apa yang benar di mata TUHAN”.
Dia tidak menyimpang ke kanan atau ke kiri, tetapi terus mengikuti jalan Tuhan, terutamanya seperti nenek moyangnya Raja Daud, yang sangat mengasihi Tuhan.
Di antara zaman Raja Daud dan Raja Yosia, terdapat begitu ramai raja yang jahat yang berpaling daripada Tuhan kepada berhala. Mereka melakukan kejahatan di mata Tuhan. Kamu mungkin terkejut bahawa Raja Yosia boleh menjadi begitu baik. Ini menunjukkan kepada kita bahawa walaupun terdapat orang di sekeliling kita yang tidak mengasihi Tuhan, kita tidak perlu membiarkan perkara itu menghalang kita daripada mengasihi-Nya.
Dia juga seorang yang sangat rendah hati. Hasilnya, Tuhan mendengar doa-doanya. Apabila dia berusia kira-kira 26 tahun, dia menyuruh orang-orangnya membaiki bait suci orang Yahudi — rumah Tuhan. Untuk sekian lama, tiada sesiapa yang pergi ke sana untuk beribadat sehingga tempat itu terbiar rosak. Raja-raja yang jahat sebelum ini bahkan telah kehilangan Kitab Taurat yang berharga, yang Tuhan telah berikan kepada umat-Nya kira-kira 800 tahun sebelumnya.
Akhirnya, kitab itu ditemui di dalam bait suci dan dibawa kepada Raja Yosia. Apabila kitab itu dibacakan kepadanya, dia menjadi sangat sedih sehingga dia mengoyakkan pakaiannya. Dia menyedari bahawa banyak perkara yang mereka tidak lakukan untuk menaati Tuhan, dan dia tahu bahawa akan ada akibatnya. Dia segera menyuruh orang-orangnya untuk bertanya kepada Tuhan tentang apa yang harus mereka lakukan.
Disebabkan bertaubat dengan rendah hati, dia diberitahu bahawa dia akan mati dalam damai dan tidak akan melihat bencana yang bakal menimpa. Marilah kita semua bertumbuh dalam kerendahan hati, mencari Tuhan dan mengikuti jalan-Nya. Maka, dalam pertaubatan kita, kita boleh mendengar jawapan-Nya terhadap doa-doa kita.
Renungkan: Tuhan mendengar dan menjawab doa orang yang rendah hati dan bertaubat.
DOA
Bapa di syurga Yang Maha Kuasa, seperti Raja Yosia, saya mahu melakukan apa yang benar di mata-Mu. Tegurlah saya apabila saya berdosa, supaya saya dapat terus melakukan apa yang benar. Semoga saya sentiasa rendah hati dan bertaubat serta melakukan apa yang menyenangkan hati-Mu sepanjang hidup saya. Dengarlah seruan saya, ya Bapa, saya menantikan jawapan-Mu.
Gereja
Tuhan, singkirkanlah kesombongan dalam diri kami. Bantulah kami untuk mengerjakan penyelamatan kami dengan takut dan gentar. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.
Bangsa
Berdoa agar Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura, dan beberapa negara lain, supaya wujud keamanan di sekeliling kita.




Comments