top of page

Tuhan Menjawab di Saat Saya Hampir Putus Asa

ree

Sudah beberapa tahun saya berusaha untuk mendapatkan pekerjaan. Saya memohon di pelbagai tempat, menghantar beratus-ratus permohonan, namun semuanya menemui jalan buntu. Setiap kali menerima jawapan penolakan, semangat saya semakin pudar. Saya mula rasa tidak dihargai dan tidak berguna.


Akhirnya, di titik paling rendah dalam hidup saya, ketika saya hampir berputus asa, saya berserah kepada Tuhan sepenuhnya. Saya berdoa dengan sungguh-sungguh kerana tiada lagi usaha manusia yang tinggal. Tuhan menjadi satu-satunya harapan saya.


Tidak lama selepas itu, saya menerima mesej daripada seseorang yang meminta saya menghantar resume kepadanya. Sehari kemudian, saya dipanggil untuk temuduga. Dan yang luar biasa, keesokannya saya menandatangani surat pelantikan kerja! Semuanya berlaku dengan begitu cepat dan lancar. Sebuah pekerjaan yang mana Tuhan letakkan di dalam hati saya beberapa tahun lalu tapi tidak saya fahami ketika itu. Sekarang saya bekerja di tempat di mana saya dapat memberikan impak kepada komuniti di luar sana.


Saya belajar bahawa walaupun saya rasa sudah terlambat, tetapi waktu Tuhan sentiasa tepat. Bila saya berserah, Tuhan sendiri yang buka pintu. Dia menyediakan pekerjaan terbaik untuk saya pada masa yang paling sesuai, bukan terlalu awal dan bukan terlalu lambat.


"Serahkan jalan hidupmu kepada TUHAN; percayalah kepada-Nya maka Dia akan bertindak:"

(Mazmur 37:5, AVB)


Jika kamu sedang mencari kerja, jangan putus asa. Terus berusaha, tetapi jangan lupa untuk datang kepada Tuhan dalam doa. Bila manusia gagal, Tuhan masih boleh buat perkara yang mustahil.


Segala kemuliaan hanya bagi Tuhan. Dia menjawab pada saat saya tidak lagi mampu berdiri sendiri. Haleluyah!




Anda ada kesaksian yang anda ingin kongsikan? Hantar kepada kami di general@komuniti-digital.com

Comments


bottom of page