Umat Manusia
- 3 days ago
- 2 min read

Manfaat Kerendahan Hati - Hari 22
Ayat Fokus: Yakobus 2:1-9, Roma 2:11, dan kitab Yunus
Bolehkah kamu teka berapa banyak bangsa yang berbeza ada di dunia ini? Biar saya beritahu satu rahsia... Hanya ada satu bangsa sahaja! Ia dipanggil, ‘umat manusia’. Ya, memang ada banyak latar belakang etnik yang berbeza seperti yang ada di Malaysia. Sebagai contoh, kita ada kaum India, Cina, serta Orang Asli dan Orang Asal. Tetapi semua adalah manusia yang setaraf.
Tuhan mengasihi dan menghargai semua orang. Seperti lirik lagu ini:
Yesus cinta semua bangsa, semua bangsa di dunia,
Kuning putih dan hitam semua dicinta Yesus,
Yesus cinta semua bangsa di dunia.
Lebih daripada itu, tidak kira kamu pendek atau tinggi, kurus atau gemuk, kaya atau miskin, berjalan tegak atau tempang, Tuhan tetap mengasihi kamu!
Kita tidak sepatutnya mempersendakan, atau membuli orang yang tidak sama seperti kita. Itu dipanggil prasangka. Tuhan tidak suka perkara ini. Jika kita hanya berbuat baik kepada orang yang sama seperti kita sahaja, itu dipanggil sikap pilih kasih. Tuhan juga tidak suka perkara ini dan mengatakan bahawa itu adalah dosa (lihat Yakobus 2:9).
Yunus, yang telah ditelan oleh ikan besar, mempunyai sikap prasangka. Tuhan menyuruh dia pergi ke Niniwe untuk memberi amaran kepada penduduk di sana bahawa kota mereka akan dimusnahkan dalam masa 40 hari. Tetapi orang di sana adalah musuhnya. “Tidak mungkin!” katanya, “Saya TIDAK akan pergi!”
Namun, Tuhan mengajar dia satu pengajaran dan akhirnya Yunus pergi dan memberitakan firman. Penduduk Niniwe bertaubat. Tuhan menunjukkan belas kasihan kepada mereka dan tidak memusnahkan mereka.
Nampaknya, Tuhan amat mengasihi belas kasihan. Dia mahu Yunus belajar tentang belas kasihan juga. Yunus menjadi marah kerana Tuhan tidak memusnahkan Niniwe. Dia malah lebih berasa kasihan terhadap sebatang pokok yang layu dan mati daripada terhadap orang-orang yang akan mati.
Marilah kita mengasihi jiran tetangga kita dan menghargai mereka seperti mana Tuhan menghargai mereka. Dia mahu menunjukkan kasih dan belas kasihan-Nya kepada semua orang. Apabila kita mempunyai hati yang rendah seperti hati Yesus, kita akan kurang berprasangka dan tidak bersikap pilih kasih. Lagipun, kita semua berasal dari umat manusia yang sama.
Renungkan: Kerendahan hati membantu saya untuk kurang berprasangka.
DOA
Allah Bapa Yang Maha Kuasa, Engkau adalah pencipta semua kumpulan manusia di dunia ini. Ia sungguh menakjubkan. Bantulah saya untuk mengasihi setiap orang seperti Engkau mengasihi mereka dan menghargai mereka sebagai sama penting. Bantulah saya untuk menunjukkan belas kasihan dan tidak berprasangka semasa saya berjalan dengan rendah diri bersama-Mu.
Gereja
Tuhan Yesus, bantulah kami untuk mencintai kedamaian dan kerendahan hati, supaya kami dapat memancarkan cahaya-Mu ke dalam dunia yang gelap, sama seperti yang dikatakan oleh Alkitab, “Berbahagialah orang yang membawa damai, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah.” Dalam nama-Mu saya berdoa. Amin.
Bangsa
Berdoalah agar lebih banyak mesej yang baik, menyenangkan dan penuh kebaikan disebarkan melalui buku, laman web, dan media di Malaysia. Ini akan membantu semua orang untuk bersikap baik antara satu sama lain.




Comments