Support Us
Support Us
Cari
3258 results found with an empty search
- Janganlah Khuatir
Selagi kita hidup di dalam dunia ini, kita sememangnya tidak akan terlepas lari dari pencobaan dan permasalahan hidup. Ini kerana dunia ini tidak sempurna, penuh dengan dosa dan dikuasai oleh kuasa-kuasa kegelapan. Sebagai umat Tuhan, kita tahu bahawa walaupun kita berada di dunia ini namun kita bukanlah berasal dari dunia ini (Yoh 15:19; 17:16). Kita berasal daripada Tuhan, menjadi miliknya Tuhan, dan akan kembali kepada Tuhan. Menjadi umat Tuhan yang hidup di dalam dunia yang tidak sempurna ini tidaklah mudah. Kita seolah-olah hidup sebagai domba yang dikelilingi serigala-serigala buas, yang menanti-nantikan saatnya untuk menerkam kita. Persekitaran-persekitaran yang kelam dan zalim terkadang membuatkan kita hanyut dengan permasalahan yang menimpa kita. Kita leka bahkan terlupa siapa sebenarnya jati diri kita, dari mana kita berasal dan milik siapa kita ini. Dan di dalam kelekaan kita, kita membiarkan musuh-musuh kita menguasai kita sedikit demi sedikit. Dengan membiarkan diri kita dipengaruhi dengan keadaan sekeliling, dengan mengaburi pandangan kita, malah menyebabkan kita ragu akan ketersediaan Tuhan bagi kita. Dan kerana itu kita mulai bimbang, kuatir serta gusar terhadap apa yang terjadi dalam kehidupan kita. Tuhan Yesus berkata, “Karena itu Aku berkata kepadamu: Janganlah kuatir akan hidupmu, akan apa yang hendak kamu makan atau minum, dan janganlah kuatir pula akan tubuhmu, akan apa yang hendak kamu pakai. Bukankah hidup itu lebih penting dari pada makanan dan tubuh itu lebih penting dari pada pakaian? … Akan tetapi Bapamu yang di sorga tahu, bahwa kamu memerlukan semuanya itu.” (Mat 6:25-34). Di sini Tuhan Yesus menyentuh hal-hal yang paling mendasar dalam kehidupan kita. Makanan, minuman dan pakaian adalah perkara asas yang diperlukan oleh setiap manusia. Namun lebih daripada hal-hal asas ini adalah hidup itu sendiri yang lebih penting. Cuba kita fikirkan, bukankah makanan, minuman serta pakaian itu walaupun adalah hal asas namun ianya hanya bersifat sementara? Bahkan masalah-masalah lain juga bersifat sementara? Contohnya, masalah yang kita alami 10 tahun lalu, sekarang sudah berlalu bahkan kita mungkin langsung tidak mengingatinya lagi pada hari ini. Tetapi hidup itu kekal. Ianya lebih penting. Bagaimana kita menghidupi hidup itu adalah sangat penting di mata Tuhan. Apakah kita hidup dengan kesedaran yang penuh tentang siapakah Tuhan dan siapakah kita di mata Tuhan? Atau apakah hidup yang kita jalani ini telah dikaburi oleh tipu daya musuh sehingga menyebabkan kita kehilangan keyakinan terhadap kasih setia Tuhan?. Apakah kita benar-benar mempercayai Tuhan? Sebagai umat Tuhan kita semua tahu bahawa Tuhan itu berkuasa, agung dan berdaulat. Setia dalam janji-janji-Nya, mengasihi kita dan sentiasa menyertai kita. Dia tahu akan setiap pergumulan hidup kita. Dia juga tahu akan setiap keperluan kita. Bahkah Dia mampu serta sanggup menyediakannya bagi kita. Namun apabila kita menghadapi situasi yang terdesak, kita bimbang? Walaupun sudah berdoa namun tetap kuatir dan gusar? Jangan-jangan di dalam kekuatiran dan kegusaran kita, tanpa di sedari kita telah menghina Tuhan yang kita sembah! Bagi saya, kebimbangan dan kekuatiran adalah suatu sifat yang menghina Tuhan secara peribadi, kerana ia menyerang siapakah Tuhan yang sebenarnya. Kekuatiran adalah bahasa yang mengatakan bahawa Tuhan tidak boleh dipercayai. Jika kita berkata Tuhan berkuasa, Dia maha tahu, mampu serta sanggup untuk melakukan segala sesuatu, Dia adalah Bapa kita yang sangat mengasihi kita, peduli dan murah hati namun kita masih kuatir, bukankah itu bererti kita mengatakan kepada Tuhan bahawa Dia tidak boleh dipercayai, janji-janjiNya tidak boleh dipegang, tidak mampu untuk melindungi, memelihara dan menjaga hidup kita dengan sempurna? Janganlah kita menghina Tuhan yang kita sembah dengan ketidakpercayaan kita. Sikap ketidakpercayaan akan mengheret kita kepada ketidaktaatan yang mana boleh mengundang kemurkaan Tuhan dalam hidup kita. Setiap kali apabila kita dilanda pencobaan dan permasalahan hidup, dan apabila akar-akar kekuatiran cuba untuk menyelusup masuk ke dalam hidup kita, ingatkanlah diri kita supaya jangan kita kuatir, kerana kekuatiran menghina kemampuan kuasa Tuhan. Katakan kepada musuh kita dan juga kepada diri kita sendiri sekuat yang mungkin bahawa aku percaya kepada Tuhanku yang berkuasa yang mampu dan sanggup untuk memeliharaku dan menyelesaikan segala permasalahanku dengan sempurna, kerana aku adalah anak yang sangat dikasihiNya. Hormatilah Tuhan yang telah memberikan kita kasih karunia-Nya dan hidup yang kekal. “Sebabnya kami hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan” (2 Kor 5:7). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue
- Tuhan Itu Baik
Bermula di akhir tahun 2020 sehingga kini, dunia di landa oleh wabak virus corona (covid 19). Seluruh aspek kehidupan manusia sangat terkesan baik dari segi kesihatan, ekonomi mahupun sosial. Kita melihat kematian demi kematian melonjak dengan begitu pantas, sehingga kakitangan hospital bahkan pengali kubur pun tidak menang tangan. Seolah-olah malaikat maut bekerja dengan begitu keras dalam mengambil nyawa manusia melalui virus ini. Manusia bukan hanya sekadar dilanda oleh wabak virus corona tetapi juga oleh virus ketakutan yang mencengkam. Dalam keadaan sebegini, pernahkah kita tertanya-tanya apakah Tuhan masih ada dan masih mengawal segala sesuatu? Atau apakah ini telah ditakdirkan oleh Tuhan. Kalau ya, bukankah Tuhan itu baik? Kalau Dia baik, lalu mengapa keburukan, kemudaratan dan kematian ini terus melanda manusia? Apakah benar segala kebaikan dan keburukan datang daripada Tuhan? “Tuhan itu baik kepada semua orang. Dan penuh rahmat terhadap segala yang dijadikannya (Mazmur 145:9). “Sebab Tuhan itu baik, kasih setia-Nya untuk selama-lamanya, dan kesetiaan-Nya tetap turun temurun”. (Mazmur 100:5) Firman Tuhan mengatakan bahawa Tuhan itu baik. Dan Dia baik untuk selama-lamanya. Itu adalah sifat-Nya yang kekal. Maka kalau Tuhan itu baik, bererti segala sesuatu yang baik datangnya daripada Tuhan. Tidak ada yang tidak baik, sebab tidak ada ketidak-baikan dalam Tuhan. Ketidak-baikan bukan berasal daripada Tuhan. Sekiranya ada ketidak-baikan dalam Tuhan maka Dia bukanlah Tuhan kerana ianya bertentangan dengan sifat-Nya bahawa dia adalah baik. Tuhan tidak berdusta seperti manusia (Titus 1:2). Kerana itu apabila ada orang mengatakan bahawa semua yang terjadi adalah takdir Tuhan, saya akan bertanya, benarkah demikian? Kalau Tuhan baik, mengapa Dia mahu menimpakan apa yang tidak baik kepada manusia ciptaan-Nya? Mengapakah manusia harus menderita kerana sesuatu yang telah ditakdirkannya sejak awal lagi? Apakah Dia adalah Tuhan yang bertentangan dengan diri-Nya sendiri? Apakah Dia Tuhan yang berdusta dengan diri-Nya sendiri? Yang dengan senang-senangnya mengubah janji-janjiNya? Sebab saya percaya jika Tuhan bertentangan dengan sifat diri-Nya sendiri, Dia bukan sahaja memudaratkan manusia tetapi diri-Nya sendiri, kerana ternyata dengan bertentangan dengan sifat-Nya Dia bukan Tuhan yang benar. Jadi kalau kita percaya bahawa segala kebaikan itu datangnya daripada Tuhan, maka segala yang tidak baik itu datangnya daripada musuh Tuhan. Siapakah musuh Tuhan itu? Firman Tuhan mengatakan bahawa musuh Tuhan itu seperti pencuri yang datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan (Yohanes 10:10b). Mari kita renungkan ke dalam diri kita sendiri, apakah Tuhan yang sedang menguasai dan bekerja dalam diri kita untuk menghasilkan buah-buah kebaikan, atau musuh Tuhan yang menguasai dan bekerja dalam diri kita untuk menghasilkan buah-buah yang mencuri, membunuh, dan membinasakan segala kebaikan baik dalam hidup kita mahupun kehidupan orang lain? Apakah niat hati kita, fikiran kita, imaginasi kita, tindak tanduk kelakuan kita mahupun tutur kata kita – adakah ia mengeluarkan segala sesuatu yang baik atau sebaliknya? Hari ini marilah kita datang kepada Tuhan yang baik dan percaya bahawa Dia sentiasa menginginkan yang terbaik dan merencanakan kehidupan yang terbaik untuk kita. Marilah kita serahkan diri kita kepada-Nya untuk mengerjakan yang baik dan menghasilkan buah-buah yang baik dari dalam diri kita bagi kebaikan diri kita dan juga masyarakat sekeliling kita. Sebab “Kita tahu bahawa Tuhan mengatur segala hal, sehingga menghasilkan yang baik untuk orang-orang yang mengasihi Dia dan yang dipanggil-Nya sesuai rencana-Nya. (Roma 8:28). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue
- Menghargai Nilai Pasangan
Oleh Greg Smalley Sikap utama yang akan menolong pasangan anda berasa selamat dari segi emosinya adalah ketika dia percaya bahawa anda memahami betapa berharganya dia. Itulah intipati penghormatan. Sikap menghormati seseorang adalah keputusan untuk melihat pasangan kita sebagai harta yang tidak ternilai - orang yang sangat penting dan bernilai tinggi. Ini juga digalakkan oleh peribahasa yang menyatakan, "Harta terbesar seseorang lelaki adalah isterinya". Penghormatan bukan bergantung kepada tingkah laku atau berasaskan perasaan. Anda menganggap pasangan anda bernilai sama ada mereka menginginkannya atau layak. Penghormatan adalah keputusan yang anda buat dan hadiah yang anda berikan: “Hendaklah kamu saling mengasihi sebagai saudara dan saling mendahului dalam memberi hormat.” Namun, ketika saya dan Erin sedang bertengkar dan hati saya tutup, perkara pertama yang lenyap adalah kesedaran tentang nilainya yang luar biasa. Dan pada saat-saat itu, ketika saya tidak melihat nilainya, ketika saya tidak menghargainya, saya lebih cenderung untuk bertindak balas dan melayannya dengan cara yang tidak menghormati. Ketika itu, Erin berhak “membina tembok antara kami” yakni mengasingkan diri untuk melindungi dirinya sendiri. Saya menyaksikan kuasa dalam pengakuan nilai isteri saya ketika kami makan malam di rumah ibu bapa saya pada suatu ketika. Salah satu ciri ibu bapa yang sangat saya hargai ialah kejujuran dalam perkahwinan mereka. Mereka tidak pernah menyatakan bahawa perkahwinan mereka "sempurna" dan tidak takut untuk tidak bersetuju antara satu sama lain. Pada satu ketika semasa makan malam, ibu bapa saya bertengkar dengan hebat. Mereka begitu kecewa sehingga masing-masing bergegas ke bahagian rumah yang berlainan. Saya membiarkan keadaan menjadi tenang untuk beberapa minit sebelum saya mengetuk pintu pejabat ayah saya. "Masuklah," jawabnya dengan berat hati. Semasa saya masuk pejabatnya, saya dapati ayah saya duduk di belakang komputernya sambil membaca dokumen yang bertajuk "Mengapa Norma Sangat Berharga." (Nama ibu saya adalah Norma, sekiranya anda tertanya-tanya.) "Apa yang kamu baca?" tanya saya. "Beginilah," ayah saya mula berkata, "beberapa tahun yang lalu saya memulakan senarai mengapa ibumu sangat berharga. Oleh itu, ketika saya kesal dengannya, atau ketika kami baru bertengkar, saya mendapati bahawa daripada duduk di sini dan memikirkan betapa sakitnya atau kecewa saya pada ibu anda, saya perlu memaksa diri saya membaca senarai ini. " Dokumen itu mengandungi ratusan perkataan dan frasa yang menggambarkan nilai ibu saya. Ia menakjubkan. "Ketika saya mula-mula membaca senarai ini, saya masih kesal," jelas ayah saya. "Saya biasanya sampai ke tiga atau empat perkara pertama dan berfikir, 'Apa yang saya fikirkan?' Atau 'Yang ini tidak lagi sah!' Atau 'Saya pasti akan memadamkan ini." Tetapi semakin banyak yang saya baca, semakin cepat saya sedari bahawa anda mempunyai ibu yang luar biasa." Ini merupakan idea terbaik yang pernah saya dengar tentang pengiktirafan nilai seseorang. Mewujudkan keselamatan, itulah iktibarnya. Ia juga apa yang dilakukan oleh ayah saya agar hatinya kembali terbuka. Dengan kata lain, hati anda akan terbuka kepada apa yang anda hargai. Salah satu cara untuk memastikan hati anda terus terbuka dan pasangan anda berasa selamat ialah menumpukan perhatian pada nilainya. Kita juga boleh membuat senarai penghormatan ini untuk pasangan kita. Luangkan beberapa minit untuk menyenaraikan semua sebab mengapa pasangan anda sangat berharga. Contohnya: salah satu ciri wataknya, bentuk imannya, nilai hidup, akhlak, kemahiran keibubapaan, kerohanian, peranan yang dimainkannya yang anda hargai (pekerja, rakan, ibu atau bapa, saudara, anak), ciri keperibadian, bagaimana dia melayan anda, dan lain-lain. Dan jangan simpan senarai ini yang menakjubkan untuk diri sahaja - kongsikan dengan pasangan anda. Biarkan dia tahu bahawa anda mengakui nilainya. Apabila ini berlaku, bukan sahaja pasangan anda mendapat manfaat, tetapi anda juga akan mendapat kesan positif.
- Manis Janji Mu
Jade Rozanne Justin Written and sung by Jade Rozanne Justin Video by Jimrod Benggon Filmed at Jade's home, Tamparuli Manis janjiMu Tuhan Tak pernah pudar dari harapan bangsa Kutinggalkan semua menuju ke tempat yg lebih indah Ku rindu bersamaMu Tuhan Di saat menderita Kau menjanjikan hidup penuh bahagia Di saatku terjatuh Kau memberikan limpah kasih kurnia Ku rindu bersamaMu Tuhan Adakah kamu percaya semua yg Dia janjikan Kepada semua org yg beriman Adakah kamu terima semua yg Dia berikan kerna Dia mengasihi UmatNya yg berdosa Aku kan percaya pada JanjiMu Tuhan Manis JanjiMu Tuhan Tak pernah pudar Ku menantikan janji-janjiMu Tuhan
- God is Faithful (Allah Setia) : Jade Rozanne Justin
Jade Rozanne Justin The testimony of God's faithfulness in the life of Jade Rozanne Justin. May we be ever faithful to the faithful God. Background Music by Jade, Manis JanjiMu Follow her at https://www.youtube.com/channel/UCjky... Video by Jimrod Benggon Filmed at Jade's home, Tamparuli
- Anak Muda Yang Sakit Parah Sebanyak 3 Kali
Gavrilla Setiawan Gavrilla adalah pemudi yang sangat aktif dalam hal akademi dan bukan akademi. Disaat kerjayanya sedang memuncak, Tuhan menguji Gavrilla dengan memberikan sakit kepada dirinya. Tidak hanya sekali, melainkan hingga 3 kali. Apa yang dilakukan Tuhan untuk Gavrilla selanjutnya? Saksikan kisah selengkapanya di Solusi TV Malaysia. Jikalau anda mengalami masalah, chat dengan kami di komuniti-digital.com Kami sedia membantu dan mendoakan untuk saudara dan saudari. Tuhan memberkati
- Bebas Dari Belenggu : Gawai Robert
Gawai Robert 2 Korintus 5:17 "Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru, yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang." Saksikan bagaimana Gawai dilepaskan daripada belenggu yang mengikatnya dengan kuasa darah Tuhan Yesus! Tontoni kesaksian Gawai di sini....
- Berkomitmen, Walaupun Anda Tidak Berasa Berbuat Demikian
Kita semua pernah berasa sindrom "Hei, bagaimana dengan saya?" Kadangkala ia menyelinap pada kita ketika kita berasa bahawa keperluan emosi kita tidak dipenuhi - dan kita membencinya. Atau mungkin kita mempunyai pasangan yang sukar dicintai dan kita sudah bosan cuba memelihara keadaan hidup kita. Masa itulah tercetusnya sindrom "Hei, bagaimana dengan saya?" Bila ia tiba, dan kita berasa kasihan pada diri sendiri - atau hanya bosan mencuba - apa yang boleh kita lakukan? Pilih untuk membuat keputusan yang bijak. Apabila keadaan menjadi sukar, jangan bergantung pada perasaan atau emosi. Perasaan kita tidak akan membantu kita untuk membuat keputusan yang tepat; sebaliknya keputusan yang tepat akan menjadikan emosi kita yang baik - dan ganjarannya yang positif. Berikut adalah beberapa cara untuk mengawal emosi dengan keazaman anda: 1) Buatlah keputusan untuk mengeluarkan perkataan "perceraian" dari kamus anda. Suami saya, Bill dan saya telah memberi kaunseling kepada pasangan agar mereka kembali bahagia dari berbagai krisis: kehilangan anak, kehilangan rumah, semua jenis ketagihan, hubungan sulit, dan banyak kes "Saya sudah bosan mencuba". Walaupun anda berasa ingin mengajukan perceraian tidak bermakna anda harus melakukannya! Apabila anda membuat keputusan untuk mengeluarkan perkataan 'perceraian' dari kamus kata anda, dapatlah anda mula membangun kembali keinginan anda untuk berkahwin dan keinginan anda untuk pasangan anda. Sekiranya anda perlu memupuk motivasi, fikirkan tentang: ◦ Anak-anak anda. ◦ Masa yang sudah anda labur dalam hubungan ini. Statistik menunjukkan bahawa pasangan yang sengsara sekarang, tetapi bertahan beberapa tahun kemudian, menilai perkahwinan dan hidup mereka sebagai lebih bahagia daripada mereka yang terus bertindak dan bercerai. Hanya mulakan di mana anda boleh. Walaupun anda berasa tidak rela. 2) Buatlah keputusan untuk memilih sukacita. Kadangkala hidup tidak adil. Kadangkala perkahwinan tidak adil. Ia adalah hubungan yang kekal tidak kira kaya atau miskin, kesakitan atau kesihatan, dan sama ada keadaan menjadi lebih baik atau lebih buruk. Jim dan Sally Conway, dalam buku mereka yang berjudul “Sifat Perkahwinan yang Berpanjangan” (Traits of a Lasting Marriage), meninjau pasangan-pasangan yang mempunyai hubungan berjangka panjang yang bahagia dan rahsia yang mereka dapati adalah bahawa pasangan tersebut telah memutuskan untuk berada dalam perkahwinan berjangka panjang yang bahagia! Keputusan untuk memilih sukacita, untuk menjadi orang yang bahagia tanpa mengira keadaannya, adalah keputusan yang akan mewujudkan kebahagiaan. Sekiranya anda mencari kebahagiaan sebagai tujuan, anda tidak akan mencapainya, kerana anda tidak dapat mengawal keadaan dan anda tiada kawalan terhadap pasangan anda. Tetapi anda boleh mengawal diri dan emosi anda. Sekiranya anda memilih sukacita, tidak lama lagi anda dapati bahawa anda memilikinya. Beberapa perkara untuk membantu anda memilih sukacita mungkin seperti berikut: ◦ Membuat senarai ciri terbaik pasangan anda, (mungkin hanya ada beberapa sahaja) dan kemudian memutuskan untuk memujinya setiap hari dengan membangkitkan salah satu ciri yang baik. ◦ Melakukan perkara yang anda sukai yang sama sekali tidak berkaitan dengan hubungan anda: makan tengah hari dengan kawan, berjalan-jalan di pantai atau tepi tasik, menghabiskan masa sehari di spa. Kadang-kadang anda hanya memerlukan waktu rehat emosi untuk mengembalikan harapan dan kekuatan. • Putuskan untuk menjadi yang terbaik. Seorang wanita bertanya kepada saya sama ada dia harus tunduk pada suami yang tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Dia berkata, "Nampaknya tidak adil." Dia betul. Tidak adil. Walaupun begitu, kedua-dua pasangan tidak harus menunggu untuk melihat siapa yang akan mengambil inisiatif membaiki keadaan dan menjadi orang yang lebih baik. Salah seorang harus memilih untuk melayani yang satu lagi dalam cinta terlebih dahulu. Anda boleh bertegas bahawa anda betul, tetapi anda mungkin hanya akan berpegang teguh pada pendapat anda sahaja - dan bukan perkahwinan anda. Hidup ini penuh dengan pilihan. Kebijaksanaan adalah pintu masuk menuju kebahagiaan. Kita perlu ingat perkara-perkara ini dan membuat keputusan yang bijak seumur hidup - walaupun kita tidak begitu rela. Hak Cipta © 2006, Pam Farrel. Hak cipta terpelihara. Hak cipta antarabangsa terjamin. Digunakan dengan izin.
- Kecurangan Suami
Kecurangan boleh terjadi bila-bila masa dalam sebuah perkahwinan. Ada tiga tahap di mana kemungkinan ia akan terjadi. Tahap yang pertama adalah pada tahun pertama, ketika percintaan digantikan oleh tanggungjawab berat sebagai seorang suami. Tahap yang seterusnya ialah apabila di dalam kira-kira lima tahun setelah perkahwinan - apabila "kebaharuan" perkahwinan sudah menjadi pudar Kemudian muncul tahap yang ketiga. Tahap pertengahan hidup. Suami manjadi khuatir bahawa "hidupnya sudah berakhir" atau "dia ketinggalan sesuatu yang mengujakan," dan mempunyai keperluan untuk meningkatkan egonya. Ini akan mendorong seseorang untuk mengadakan hubungan sulit. Selalunya hubungan sulit tidak terancang. Hubungan yang tidak bersalah seperti hubungan antara wanita dan suami sahabat rapatnya, dapat berkembang menjadi hubungan sulit. Salah satu sebab hubungan sulit berlaku ialah kerana ada hubungan yang rapat dan kerap kali berlaku. Satu lagi sebab ialah terlalu keyakinan (overestimating) terhadap kemampuan mereka untuk menentang godaan. Mampukah seorang lelaki berasa bahagia apabila mendapati dirinya terlibat dalam hubungan luar nikah yang sukar diputuskan? Dia pasti akan mengalami pergolakan emosi. Apa yang boleh dilakukan oleh isteri untuk membantunya kembali kepadanya? Seorang suami mungkin mencari keselesaan dan keterujaan dalam pelukan wanita lain apabila perkahwinannya telah menjadi yang membosankan. Apakah perceraian adalah penyelesaian yang baik dalam situasi seperti itu? Haruskah seseorang meneruskan dengan perkahwinan itu hanya untuk kepentingan anak-anak? Bila kita mempertimbangan kesan buruk keluarga yang berpecah-belah terhadap anak-anak, saya berpendapat bahawa segala usaha harus dilakukan untuk menyelamatkan atau menghidupkan kembali perkahwinan, demi suami dan isteri dan juga anak-anak. Kos emosionalnya terlalu tinggi bagi semua anggota keluarga apabila suatu perkahwinan terputus. Perkataan Cina untuk kedamaian menggambarkan sebuah "bumbung dengan wanita di bawahnya." Terdapat banyak hikmah di dalamnya. Marilah kita ambil perhatian bahawa seorang wanita di bawah satu bumbung adalah kedamaian. Lebih daripada seorang wanita di bawah bumbung yang sama akan menimbulkan masalah. Soal-jawab #1: Soalan : Adakah anda merasakan ada semacam "kebutaan" yang boleh terjadi ketika mangsa hubungan sulit menafikan kebenaran? Saya seolah-olah mengalami ini ketika suami saya mengadakan hubungan sulit dengan sahabat terbaik saya. Hubungan sulit itu berlaku selama dua tahun sebelum saya dapat mengakuinya kepada diri sendiri. Tetapi mengapa saya menafikan kebenaran? Mengapa mangsa “memilih” untuk menjadi buta? Jawaban : Proses psikologi itu disebut penafian, dan ini terjadi untuk melindungi minda daripada fikiran atau kenyataan yang tidak dapat diterima. Setelah seseorang mengakui kepada diri sendiri bahawa pasangan yang dikasihi telah berlaku curang, maka dia terpaksa menangani keadaan itu. Pengalaman yang sangat menyakitkan yakni kesedihan, kegelisahan, dan insomnia tidak dapat dielakkan setelah kebenaran itu dihadapi. Tambahan pula, orang yang tercedera takut bahawa konfrontasi dengan pasangan yang curang mungkin mendorong pasangan itu kepada pelukan kekasih baru. Memandangkan kebimbangan ini, orang itu secara sedar atau tidak sedar memilih untuk tidak perasan hubungan sulit itu dengan harapan ia akan berakhir dan dilupakan. Jelasnya, ada banyak motivasi bagi orang yang rentan untuk menafikan apa yang dilihat oleh matanya. Apabila bukti kecurangan menjadi terlalu jelas, seorang lelaki atau wanita kadang-kadang akan "meminta" pasangan yang bersalah untuk membantu penafian tersebut. Ini dilakukan dengan membuat tuduhan dengan harapan dapat dibuktikan salah. Contohnya, seorang isteri akan bertanya, "Adakah anda dan Donna sedang berpacaran?" "Tidak, saya telah berkata seribu kali bahawa tiada apa-apa yang berlaku," dia berbohong. "Tetapi di mana anda sampai jam 2.00 pagi malam semalam?" "Saya menghadapi masalah kereta. Sekarang, bolehkah anda berhenti mengganggu saya? " Isteri ini tahu cerita suaminya itu palsu, tetapi dia terus memintanya untuk berbohong kepadanya. Dan apa yang menarik di sini, dia tidak berasa perlu untuk "meniup wisel" terhadapnya sehingga dia mengakui penglibatannya ... yang mungkin tidak akan berlaku. Perjanjian diam-diam ini membantunya mengekalkan khayalan bahawa semuanya baik-baik saja dan menyediakan persekitaran yang memungkinkan suami boleh berfoya-foya dengan wanita lain. Penafian mempunyai banyak aplikasi dan kegunaan dalam pengalaman manusia. Ini akan memungkinkan seorang wanita untuk mengabaikan benjolan yang mencurigakan di payudaranya atau dadah di bilik tidur anaknya atau hutang keluarga yang sedang meningkat. Melalui proses ini, pikirannya dilindungi untuk sementara waktu, tetapi ini sering kali membiarkan musibah yang lebih besar berlaku dalam kehidupan kita. Soal-jawab #2: Soalan: Beberapa bulan yang lalu suami saya mengumumkan bahawa dia meninggalkan saya untuk wanita lain. Sejak itu, dia kerap berpacaran dengannya, tetapi dia tidak meninggalkan rumah dan kelihatan seperti kebingungan. Dia kehilangan lima belas paun dan kelihatan teruk. Apa yang anda fikir sedang berlaku di fikirannya? Dia tidak mahu bercakap dengan saya tentang perasaannya, dan dia menjadi marah ketika saya bertanya kepadanya. Jawaban: Besar kemungkinan suami anda mengalami rasa bersalah dan konflik yang sering mengiringi perbuatan mementingkan diri dan berdosa seperti perbuatan curang. Terdapat suara kecil yang mengganggu kita pada saat-saat seperti itu, walaupun ada di antara kita yang belajar untuk menyekatnya. Walaupun kita mengabaikan kutukannya, hati nurani terus menusuk kita dan tidak akan membenarkan pelanggaran undang-undang moral tanpa pergelutan batin. Agak biasa untuk seseorang dalam situasi ini mengalami semacam perang dalaman yang hanya dapat diselesaikan dengan salah satu daripada tiga cara: 1. Hati nurani menang dan orang itu kembali ke kehidupan yang betul. 2. Orang itu memberi alasan kepada dirinya sehingga tingkah lakunya mula kelihatan "suci" dan "tidak bersalah". 3. Hati nurani menang tetapi orang itu tetap melakukan apa yang dia mahu. Orang dalam kategori ketiga, termasuk suami anda, boleh menjadi antara lelaki dan wanita yang paling sengsara di muka bumi ini. Tingkah laku mereka bertentangan dengan kod etika peribadi mereka, dan semua usaha untuk menyelaraskan kedua-duanya adalah sia-sia. Dalam kata lain, individu-individu ini berada dalam situasi konflik dengan hati nurani mereka. Bukan hanya gangguan psikologi tetapi juga penyakit fizikal mungkin timbul dari ketidakharmonian seperti itu! Seseorang yang mengalami konflik dalamannya sering mengalami kemurungan, penurunan berat badan, malam tanpa tidur, menggigit kuku, dan lain-lain. Pengalaman pahit ini sangat tidak selesa bagi individu yang sensitif. Sekiranya kami betul dalam penilaian pemikiran suami anda, anda boleh menjangkakan dia akan memberikan komitmen dengan cepat kepada anda atau kepada wanita lain. Adalah terlalu menyakitkan untuk tetap berada dalam keadaan serba salah antara yang baik dan yang jahat. Kami menasihati anda supaya mendapatkan nasihat profesional mengenai apakah ini adalah saat yang tepat untuk meminta suami anda membuat pilihan. Dengan beberapa fakta yang telah saya berikan, saya cenderung ke arah itu. Soal-jawab #3: Soalan : Perkahwinan saya kepada isteri saya merupakan perkara yang sangat tidak memuaskan bagi saya. Saya akan menceraikannya sekiranya bukan kerana keprihatinan saya terhadap tiga anak kami. Apa yang dinyatakan oleh kaji selidik mengenai kesan perceraian terhadap anak-anak? Jawapan : Buat masa ini kami tahu bahawa perkembangan emosi kanak-kanak secara langsung bergantung kepada kehadiran interaksi yang mesra, bersifat memelihara yang kekal dan berterusan dengan kedua ibu bapa. Apa-apa yang mengganggu hubungan penting dengan ibu atau bapa boleh membawa kesan yang berkekalan kepada anak. Satu kajian penting menunjukkan bahawa 90 peratus kanak-kanak dari keluarga yang berpecah mengalami perasaan kejutan yang hebat ketika perpisahan itu berlaku, termasuk kesedihan yang mendalam dan ketakutan yang tidak rasional. 50 peratus melaporkan perasaan ditolak dan ditinggalkan, dan sememangnya separuh daripada bapa tidak pernah datang berjumpa dengan anak-anak mereka tiga tahun selepas perceraian. Sepertiga lelaki dan perempuan khuatir akan ditinggalkan oleh ibu atau bapa yang satu lagi, dan 66 peratus mengalami kerinduan terhadap ibu bapa yang tidak hadir dengan intensiti yang digambarkan oleh penyelidikan sebagai sesuatu yang amat luar biasa. Paling ketara, 37 peratus kanak-kanak lebih tidak gembira dan tidak puas hati lima tahun selepas perceraian daripada jangka masa lapan belas bulan selepas perceraian tersebut. Dengan kata lain, masa tidak menyembuhkan luka mereka. Itulah maksud sebenar perceraian. Ini yang saya fikirkan dengan kemarahan yang beralasan kukuh, ketika saya melihat hubungan sulit dan tipu muslihat perkahwinan yang digambarkan di media sebagai semacam permainan menarik untuk dua orang. Pokoknya, anda harus mempertimbangkan kebajikan anak-anak anda dalam memutuskan sama ada mahu bercerai atau tidak. Walaupun hubungan perkahwinanmu tidak bermakna, kemungkinan, apa yang saya akan pilih ialah untuk meneruskannya. Artikel ini ditulis oleh Focus on the Family Malaysia dan Soalan dan Jawapan diambil dari "Panduan Rujukan Perkahwinan & Rumah Keluarga Lengkap" oleh Dr James Dobson dengan izin.
- Seks Hebat Tidak Akan Berlaku Dengan Begitu Sahaja
Melakukan hubungan seks adalah amalan fisiologi yang semulajadi. Manusia memang mengetahuinya sejak dari dulu lagi. Tanpa buku panduan atau kursus pengajaran dalam talian, manusia dari setiap suku dan bangsa berjaya melahirkan anak. Oleh kerana seks adalah semulajadi, kita cenderung memasukkannya dalam kategori yang sama dengan tindakan fizikal semulajadi yang lain seperti makan dan tidur. Anda tidak perlu menumpukan perhatian untuk belajar bagaimana menguasai perkara-perkara tersebut - ia berlaku secara semulajadi. Walaupun seks "hanya berlaku", kehidupan seks yang dinamik bukan sedemikian. Tanpa usaha, masa dan perhatian, seks dengan mudah dan cepat boleh menjadi biasa dan dapat diramalkan, bahkan dapat berubah menjadi keperluan yang “menakutkan” dalam senarai "perkara yang harus dilakukan". Ketika pasangan menghadapi kesukaran, mereka cenderung berputus asa dan membuat kesimpulan, "Kehidupan seks kami tidak begitu hebat." Yang ironinya, mereka tidak menjangka perkara-perkara lain dalam perkahwinan akan "berlaku begitu sahaja". Mereka faham bahawa kesihatan dari segi kewangan bergantung pada penyediaan belanjawan, perancangan dan komunikasi. Bahkan untuk mengekalkan kesihatan memerlukan pendekatan proaktif terhadap makanan dan senaman. Mengapa seks mesti berbeza? Apakah tindak balas yang betul kepada dilema lama iaitu seks yang membosankan? Sebagai pasangan, adakah anda pernah memperuntukkan masa dan tenaga secukupnya yang dikhaskan untuk meningkatkan kehidupan seks anda? Sebagai gantian menghampiri seks sebagai perkara semulajadi, apa yang perlu dilakukan, perbuatan fizikal semata-mata, pertimbangkanlah untuk mendekatinya sebagai suatu hadiah - minat dan kemampuan yang dapat dipupuk. Anda tidak akan menjadi tukang masak yang hebat kecuali anda mencuba resipi baru, membaca buku masakan dan berlatih memasak. Anda tidak akan menjadi pemain tenis yang hebat melainkan anda belajar bermain dan bermain dengan kerap. Anda tidak akan dapat bermain trompet tanpa latihan berjam-jam. Jangan anggap bahawa seks adalah berbeza. Anda tidak akan mempunyai kehidupan seks yang hebat kecuali anda menjadikannya keutamaan dan benar-benar berusaha menjalinkan hubungan intim bersama dengan pasangan anda. Hubungan intim dalam perkahwinan adalah penuh dengan halangan seperti komunikasi yang buruk, harapan yang tidak dipenuhi dan rasa geram, terutamanya berpunca dari perbezaan besar antara seksualiti lelaki dan wanita. Mungkin anda dan pasangan anda berasa kecewa dari segi seks, dan mungkin inilah masanya untuk melanjutkan pelajaran. Belajarlah tentang pasangan anda. Saya mengambil masa 10 tahun persekolahan untuk menjadi pakar psikologi. Sepanjang masa itu, saya didedahkan kepada banyak maklumat mengenai seksualiti manusia. Jelaslah, saya berasa lebih bersedia daripada isteri biasa dalam kefahaman terhadap keperluan suami. Namun demikian, saya terlalu memandang tinggi pendidikan seks saya! Tidak kira latar belakang anda, terdapat banyak yang anda perlu belajar mengenai seksualiti pasangan anda. Sebenarnya, sebilangan besar perkara yang anda anggap tepat dan betul adalah salah. Sekiranya anda mahukan kehidupan seks yang memuaskan, anda mesti kembali menjadi pelajar. Dipetik dari Tiada Lagi Sakit Kepala: Menikmati Seks & Keintiman dalam Perkahwinan, diterbitkan oleh Tyndale House Publishers, Inc. Hak Cipta © 2009 oleh Julianna Slattery. Hak cipta terpelihara. Hak cipta antarabangsa dijamin. Digunakan dengan izin.
- Perkahwinan yang kurang sempurna (sederhana)
Oleh TC Lau Terdapat banyak teori tentang bagaimana untuk menjaga perkahwinan supaya sentiasa kuat, jikalau anda memampatkan semuanya, rahsianya boleh disimpulkan dalam dua langkah yang mudah: 1) Tambahkan - memuji dan menghargai pasangan anda 2) Kurangkan - mengkritik secara negatif dan sentiasa mencari kelemahan pasangan anda Apabila anda menghargai apa yang pasangan anda lakukan, luangkan masa untuk memberitahu mereka. Apabila anda melakukan perkara ini secara lisan, tindakan itu berkata kepada mereka, "Saya tidak menganggap remeh hubungan ini dan saya betul-betul menyayangi kamu." Dalam masa yang sama, anda juga memberitahu mereka bahawa anda sensitif dan tahu apa yang mereka lakukan. Sebaliknya, apabila anda merasa ingin mengkritik, gigitlah lidah anda. Sekiranya pasangan anda ada suatu kesalahan yang harus mereka ketahui, carilah peluang untuk membincangkannya dengan penuh kasih sayang dan tanpa menghakimi. Jangan sekali-kali melakukannya dalam keadaan marah. Kurangkan kata-kata yang keras dan berdoa meminta Roh Kudus memberi penunjuk kepada kamu. Perkahwinan yang baik tidaklah begitu sukar. Ia hanya memerlukan sedikit usaha dan kawalan diri mengikut ajaran di dalam kata-kata Tuhan.
- Sepuluh Rahsia Perkahwinan yang Berjaya
Oleh Mitch Temple Berikut adalah sepuluh prinsip yang akan membantu anda mewujudkan dan mengekalkan perkahwinan yang berjaya. Pasangan yang berjaya adalah bijak. Mereka membaca buku, menghadiri seminar, membaca-baca artikel dan memerhatikan pasangan lain yang berjaya. Walau bagaimanapun, pasangan yang berjaya akan memberitahu anda bahawa mereka juga belajar berdasarkan pengalaman - percubaan dan kesilapan. Berikut adalah sepuluh prinsip kejayaan yang telah saya pelajari daripada bekerja dan memerhatikan ratusan pasangan: 1. Kebahagiaan bukanlah perkara yang paling penting. Semua orang mahu bahagia, tetapi kebahagiaan akan datang dan pergi. Pasangan yang berjaya belajar tabiat sengaja melakukan perkara-perkara yang akan mengembalikan kebahagiaan ketika hidup mula melenyapkannya. 2. Pasangan menyedari betapa pentingnya “kehadiran”. Apabila keadaan menjadi sukar dan suami isteri tidak tahu apa yang harus dilakukan, mereka perlu bertahan dan berada di pihak pasangan mereka. Masa dapat membantu pasangan suami isteri menyelesaikan masalah dengan memberi peluang untuk mengurangkan tekanan dan mengatasi cabaran. 3. Sekiranya anda melakukan apa yang selalu dilakukan pada masa lepas, hasilnya sama sahaja. Pasangan yang bijak sedar bahawa anda harus mendekati masalah secara berbeza untuk mendapatkan hasil yang berbeza. Selalunya, perubahan kecil dalam pendekatan, sikap dan tindakan membawa kepada perbezaan terbesar dalam perkahwinan. 4. Sikap anda penting. Mengubah tingkah laku itu penting, tetapi begitu juga pengubahan sikap. Sikap buruk sering menimbulkan perasaan dan tindakan buruk. 5. Ubah fikiran, ubah perkahwinan anda. Bagaimana suami isteri berfikir dan apa yang mereka percayai mengenai pasangan mereka mempengaruhi tanggapan mereka terhadap satu sama lain. Apa yang mereka harapkan dan bagaimana mereka melayan pasangan mereka sangat penting. 6. Rumput paling hijau di mana anda menyiramnya. Pasangan-pasangan yang berjaya telah belajar menolak mitos tentang rumput yang lebih hijau di tempat lain, iaitu orang lain akan membuat saya bahagia. Mereka telah belajar menumpukan tenaga untuk menjadikan diri dan perkahwinan mereka lebih baik. 7. Anda boleh mengubah perkahwinan anda dengan mengubah diri anda. Suami isteri yang berpengalaman telah belajar bahawa cubaan menukar pasangan mereka adalah seperti cubaan menolak seutas tali - hampir mustahil. Selalunya, satu-satunya orang yang boleh kita ubah dalam perkahwinan kita adalah diri kita sendiri. 8. Cinta adalah kata kerja, bukan sekadar perasaan. Kehidupan harian melenyapkan "perasaan baik dalam perkahwinan." Perasaan, seperti kebahagiaan, akan berubah-ubah. Tetapi, cinta sejati adalah berlandaskan ikrar komitmen pasangan: "Untuk lebih baik atau lebih buruk" – ketika anda berasa baik dan sebaliknya. 9. Perkahwinan sering berkaitan pergelutan dalam minda. Pasangan-pasangan yang berjaya telah belajar untuk menolak perasaan dendam, membangkitkan perkara masa lalu yang kurang menyenangkan dan menyedari bahawa mereka berkahwin dengan orang yang tidak sempurna – dan pasangan mereka juga mengahwini orang yang tidak sempurna. 10. Krisis tidak bermaksud perkahwinan sudah berakhir. Krisis seperti ribut: kuat, menakutkan dan berbahaya. Tetapi untuk melalui ribut, anda harus terus mara ke depan. Krisis boleh menjadi permulaan baru. Akibat kesakitan, manusia dan perkahwinan hebat dapat dihasilkan. Hak Cipta © 2009, Mitch Temple. Hak cipta terpelihara. Hak cipta antarabangsa diperolehi. Digunakan dengan izin.












