Support Us
Support Us
Cari
3265 results found with an empty search
- Keinginan Hati Kita, Pengendali Hidup Kita
" Aku hendak mengenal-Nya dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya." Filipi 3:10 AVB Paulus menyatakan kepada jemaah Filipi bahawa kerinduan terbesar dalam hatinya adalah untuk "mengenal Kristus dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya." Keinginan hati Paulus untuk mengenal Kristus dan mengalami kuasa kebangkitan-Nya telah menjadi pengendali utama dalam perjalanan hidupnya di dunia. Hal ini mendorongnya untuk bersedia menderita bersama Kristus dan menjadi serupa dengan-Nya, bahkan dalam aspek kematian-Nya. Dengan merasai penderitaan Kristus dan mengalami kuasa kebangkitan-Nya, Paulus menunjukkan bagaimana hidup Kristus menjadi nyata dalam dirinya. Hal ini menjadikan hidupnya sebagai gambaran jelas daripada hidup Kristus sendiri. Oleh itu, marilah kita meneladani Paulus dalam hidup kita di dunia ini. Jadikanlah pengenalan akan Kristus dan pengalaman kuasa kebangkitan-Nya sebagai pusat pengendali hidup kita. Pengenalan secara peribadi akan Kristus akan membawa kita kepada proses transformasi untuk menjadi serupa dengan-Nya. Hidup bagi Kristus sebenarnya satu keuntungan, kerana hidup di dunia ini hanyalah sementara dan merupakan anugerah. Maka, jadikanlah Kristus sebagai pusat keinginan hati kita selama kita hidup di dunia ini. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang menyerahkan seluruh hidupku ke dalam tangan-Mu. Biarlah Roh Kudus-Mu membimbing setiap langkah hidupku, sehingga Engkau menjadi yang terutama, dan orang lain dapat melihat Kristus dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Hadapi Segala-galanya Dalam Yesus
" Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan." Filipi 4:13 AVB Semasa Paulus melayani Tuhan, dia tidak pernah bergantung pada sesiapa untuk memenuhi keperluan hidupnya. Sebaliknya, dia bersandar sepenuhnya pada Tuhan Yesus untuk membekalkan segala keperluannya ketika memberitakan Injil. Paulus berpegang teguh pada campur tangan Tuhan Yesus dalam pelayanannya. Walaupun dia sebenarnya berhak menerima bantuan daripada jemaah Filipi, dia memilih untuk tidak membebankan sesiapa pun semasa melaksanakan tugas pelayanannya. Oleh itu, Paulus dengan penuh keyakinan berkata: "Aku dapat melakukan segalanya melalui Kristus yang memberiku kekuatan." Pengalaman Paulus mendapat pertolongan Tuhan secara peribadi mendorongnya untuk menyatakan dengan penuh kepastian bahawa segala perkara dapat diatasi melalui Yesus Kristus yang memberinya kekuatan. Bagaimanakah hidup anda pada hari ini? Apakah anda bersandar sepenuhnya pada Tuhan Yesus untuk memenuhi segala keperluan anda setiap hari? Paulus berani berkata bahawa dalam segala kesusahan dia mampu bertahan dan mengatasi apa jua cabaran kerana Yesus Kristus ada di dalam dirinya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon agar Engkau memberi aku kekuatan untuk bersandar sepenuhnya pada-Mu. Ajarlah aku untuk mentaati dan mengasihi-Mu seumur hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Pelipat-gandaan
Elder Ann Wan Kuan
- Kasih Nyata Dalam Ketaatan Kita
“Jika kita mengasihi Allah, maka kita taat akan perintah Allah. Tidak sukar bagi kita untuk taat akan perintah-Nya,” 1 Yohanes 5:3 AVB Mengasihi Tuhan bererti seseorang itu harus sungguh-sungguh melakukan apa yang diperintahkan oleh Tuhan Yesus kepada dirinya. Mentaati semua perintah Tuhan Yesus dengan sepenuh hati menunjukkan bahawa seseorang itu benar-benar mengasihi Tuhan. Mentaati seluruh perintah Tuhan bukanlah sesuatu yang sukar dilakukan sekiranya seseorang itu benar-benar mengasihi Tuhan. Kasih menjadi pendorong utama bagi seseorang untuk mentaati perintah Tuhan tanpa banyak alasan atau dalih. Kasih menyebabkan kita tidak berasa rugi atau terbeban untuk mengikut semua perintah-Nya. Inilah sebabnya Yohanes menghubungkan tiga perkara penting ini — kasih, ketaatan, dan kebenaran — yang mesti hadir dalam hidup orang yang percaya kepada Tuhan Yesus. Mereka harus menjalani hidup yang mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati, mentaati perintah Tuhan, dan mengasihi saudara-saudara seiman. Mengasihi Tuhan bermaksud akur dan taat akan perintah-Nya. Dengan kata lain, perintah Tuhan tidaklah sukar untuk kita taati jika kasih menjadi asas hidup kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku memohon agar Engkau menolong aku untuk menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada-Mu. Ajarlah aku untuk terus mentaati dan mengasihi-Mu seumur hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Kasih Harus Bebas Daripada Kebencian
“Jika sesiapa berkata, “Aku mengasihi Allah,” tetapi dia benci akan saudaranya, dia seorang pendusta. Jika dia tidak mengasihi saudaranya yang dapat dilihatnya, betapa dia mengasihi Allah yang tidak dapat dilihatnya.” 1 Yohanes 4:20 AVB Jika seseorang berkata bahawa dia mengasihi Allah tetapi masih membenci saudaranya, maka orang itu pendusta. Sebab seseorang yang benar-benar mengasihi Tuhan tidak lagi menaruh kebencian terhadap saudaranya. Sebaliknya, dia harus bebas daripada segala kebencian. Apabila seseorang menyerahkan seluruh hidupnya kepada Tuhan Yesus, dia tidak lagi dipimpin oleh keinginan tabiinya tetapi oleh Roh Kudus. Oleh sebab dia dipimpin oleh Roh Kudus, maka dia akan menghasilkan buah Roh yang berikut: kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut, dan penguasaan diri (Galatia 5:22-23a). Oleh itu, apabila kita berkata bahawa kita benar-benar mengasihi Tuhan Yesus, hidup kita haruslah bebas daripada segala kebencian, dendam hati, kemarahan, dan fitnah. Sebab hidup kita kini dikuasai oleh Roh Kudus, bukan oleh sifat tabii lagi. Kasih kepada Tuhan Yesus terbukti melalui buah Roh dalam hidup seseorang sama ada perbuatan atau perkataan dan pemikirannya. Sememangnya satu pembohongan jika seorang yang kononnya mengasihi Tuhan, masih menyimpan kebencian terhadap saudaranya kerana sesiapa yang mengasihi Tuhan mesti mengasihi saudaranya juga. Kasih harus bebas daripada kebencian. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Aku memohon agar Engkau memenuhi hatiku dengan kasih-Mu, supaya sesama manusia di sekelilingku dapat mengenal-Mu sebagai Tuhan dan Penyelamat dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Kasih Bermula Daripada Tuhan
“Kita mengasihi sesama manusia kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita.” 1 Yohanes 4:19 AVB Kita mengasihi sesama manusia yang ada di sekeliling kita kerana Tuhan Yesuslah yang pertama-tama mengasihi kita. Oleh sebab kasih Tuhan ada pada kita, maka kita dapat mengasihi orang yang ada di sekeliling kita. Kasih itu bermula daripada Tuhan; justeru kita harus mengasihi sesama manusia kerana Tuhan mengasihi kita terlebih dahulu. Kasih yang bermula daripada Tuhan Yesus akan menyebabkan diri kita tetap konsisten dalam kasih kita kepada orang lain. Walaupun kita menempuh berbagai-bagai cabaran dan rintangan dalam hidup ini, kasih kita kepada orang lain tidak akan tergugat. Sebab kita telah mengalami kasih Tuhan Yesus terlebih dahulu. Pengalaman kita secara peribadi akan kasih Tuhan Yesus semasa senang ataupun susah menjadikan kita terus bertahan dalam hidup ini. Dasar setiap perkara yang kita lakukan, fikirkan, dan katakan ialah kasih kepada Tuhan Yesus. Apabila kasih itu bermula daripada Tuhan, maka segala yang kita lakukan, fikirkan, dan katakan bertujuan untuk memuliakan nama Tuhan. Mengalami kasih Tuhan secara peribadi dalam hidup ini akan membuat kita tetap mengasihi sesama manusia dan memperoleh kekuatan untuk terus melayani serta bertahan dalam segala keadaan. Marilah kita tetap bersemangat dan tabah melakukan segala kebaikan dalam hidup ini kerana Yesus mengasihi kita terlebih dahulu. Oleh itu, kasihilah satu sama lain seperti Yesus mengasihi kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk mengucapkan terima kasih atas kasih dan anugerah-Mu yang sangat besar dalam hidup ini. Ajarlah aku untuk terus mengasihi-Mu, ya Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Tanda Orang Yang Mengenal Kasih Tuhan
“Dalam kasih tidak ada ketakutan. Kasih yang sempurna menghilangkan segala rasa takut kerana ketakutan ada kaitan dengan hukuman. Dengan demikian, orang yang takut belum mengenal kasih yang sempurna.” 1 Yohanes 4:18 AVB Sesiapa yang mengenal kasih Tuhan sudah bebas daripada segala ketakutan, kerana dalam Tuhan tidak ada lagi ketakutan. Sebabnya kasih Tuhan Yesus yang sempurna sudah mengusir semua ketakutan yang ada kaitan dengan hukuman. Dengan itu, orang yang masih takut sesungguhnya belum mengenal kasih yang sempurna. Tuhan tidak pernah memberikan roh ketakutan kepada seseorang yang bertaubat daripada dosanya dan menerima-Nya sebagai Tuhan serta Penyelamat. Sebaliknya, Tuhan akan mengurniakan Roh Kudus untuk memenuhi dan menguatkannya. Oleh itu, seorang yang sudah mengenal kasih Tuhan Yesus secara peribadi dalam hidupnya tidak lagi ada rasa takut. Sebab dia yakin sepenuh hati bahawa Tuhan telah mengampuninya dan memberikan hidup kekal kepadanya. Rasa takut merupakan pekerjaan roh jahat yang meragukan hati seseorang yang percaya kepada Tuhan. Maka kita harus menolak segala rasa takut. Sebab semuanya itu bukanlah datang daripada Tuhan. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu memohon kekuatan untuk menghilangkan rasa takut akan hukuman pada Hari Penghakiman selain berusaha menjauhi perkara-perkara yang tidak diperkenan oleh-Mu. Ajarlah aku untuk bersandar pada-Mu dalam semua jalanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Jangan Takut Sebab Tuhan Memberitahu Kita, Apa Yang Harus Dilakukan
1 Samuel 16:1-3 (AVB) 'Berfirmanlah TUHAN kepada Samuel, “Berapa lama lagi engkau akan berdukacita atas Saul kerana Aku telah menolak dia sebagai raja atas Israel? Isilah tabung tandukmu dengan minyak dan pergilah. Aku mengutus engkau kepada seorang Betlehem bernama Isai, kerana Aku telah memilih bagi-Ku seorang raja daripada kalangan anaknya.” Kata Samuel, “Masakan aku boleh pergi? Jika Saul mendengarnya, tentu dia akan membunuhku.” Firman TUHAN, “Bawalah seekor lembu betina yang muda dan katakan, ‘Aku datang untuk mempersembahkan korban di hadapan TUHAN.’ Undanglah Isai ke upacara korban itu, dan Aku akan menunjukkan kepadamu apa yang harus kamu lakukan. Lantiklah bagi-Ku orang yang akan Kusebutkan kepadamu.” ' TUHAN Allah telah menolak Raja Saul menjadi raja umat-Nya. Maka dengan itu, TUHAN telah mencari seorang penggantinya daripada anak Isai di Betlehem. TUHAN berfirman kepada Samuel, "Sekarang, bawalah minyak zaitun dan pergilah ke Betlehem, kepada seorang yang bernama Isai." Samuel bertanya, "Bagaimana mungkin aku berbuat demikian?" TUHAN menyuruh Samuel untuk memberi persembahan korban kepada-Nya dan menjemput Isai sekali. TUHAN memberitahu Samuel, bahkan kita yang percaya hari ini, apa yang harus kita lakukan. JANGAN TAKUT UNTUK MELAKUKAN KEHENDAK TUHAN DALAM KEHIDUPAN KITA, SEBAB DIA AKAN MENYERTAI DAN MEMBERITAHU APA YANG HARUS KITA LAKUKAN. APA YANG TUHAN TUNJUKKAN KEPADA KITA TAK AKAN SALAH. Doa Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami. Berikan kami hati yang senantiasa taat melakukan kehendak-Mu dan percaya akan penyertaan TUHAN. Kiranya Engkau memberkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Amin! Rev. Ali Langgit
- Jangan Sampai Tuhan Menyesal Telah Melantik Atau Memilih Kita Dalam Pelayanan-Nya
1 Samuel 15:32-35 (AVB) 'Kemudian Samuel berkata, “Bawalah ke mari Agag, raja orang Amalek itu.” Agag pun datang kepadanya dengan gembira. Fikir Agag, “Tentulah pahitnya maut sudah berlalu.” Kata Samuel, “Sebagaimana pedangmu membuat perempuan-perempuan kehilangan anak, demikianlah antara perempuan, ibumu akan kehilangan anak.” Lalu Samuel mencencang Agag di hadapan TUHAN di Gilgal. Sesudah itu Samuel pulang ke Rama, sedangkan Saul pulang ke rumahnya di Gibea, kota Saul. Samuel tidak melihat Saul lagi sampai hari kematiannya, kerana Samuel berdukacita atas Saul. Hati TUHAN pun masyghul kerana Dia telah mengangkat Saul untuk menjadi raja atas orang Israel.' Dalam cerita ini, Samuel membunuh Raja Agag kerana dia telah menyebabkan banyak ibu kehilangan anak; demikian juga ibu dia akan kehilangan anaknya (Raja Agag). Samuel memotong-motong Raja Agag di depan mazbah di Gilgal. Samuel sedih kerana TUHAN menyesal telah melantik Raja Saul menjadi raja. TUHAN tetap dengan pendirian-Nya bahawa DIA tidak menerima Raja Saul sebagai raja, kerana dia tidak taat melakukan kehendak TUHAN. Dia melakukan setiap perkara menurut kehendak-Nya. LAKUKAN YANG TERBAIK BAGI TUHAN DALAM SETIAP APA PUN YANG KITA LAKUKAN.Kolose 3:23 (AVB) 'Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia, ' Doa Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami. Berikan kami hati yang senantiasa taat melakukan kehendak-Mu. Jauhkan kami daripada memiliki sikap yang mementingkan diri sendiri dan tidak taat terhadap perintah-Mu. Kiranya Engkau memberkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Amin! Rev. Ali Langgit
- Sedari Bahawa Kita Telah Berdosa Dan Bertaubatlah
1 Samuel 15:25-31 (AVB) 'Sekarang, ampunkanlah kiranya dosaku dan kembalilah bersamaku supaya aku dapat beribadat kepada TUHAN.” Kata Samuel kepada Saul, “Aku tidak mahu kembali bersamamu, kerana engkau telah menolak firman TUHAN dan TUHAN pun telah menolak engkau sebagai raja atas orang Israel.” Apabila Samuel berpaling hendak pergi, Saul memegang punca jubah Samuel, tetapi terkoyak. Kemudian berkatalah Samuel kepadanya, “TUHAN telah mengoyakkan daripadamu jawatan raja atas Israel pada hari ini dan telah memberikannya kepada orang lain yang lebih baik daripada engkau. Apatah lagi, Yang Maha Mulia, yang disembah orang Israel, tidak berdusta dan tidak menyesal, kerana Dia bukan manusia yang harus menyesal.” Kata Saul, “Aku telah berdosa. Tetapi sekarang, mohon hormati aku di hadapan para tua-tua rakyatku dan di hadapan orang Israel. Kembalilah bersamaku supaya aku dapat beribadat kepada TUHAN, Allahmu.” Maka kembalilah Samuel mengikuti Saul, dan Saul pun beribadat kepada TUHAN. ' Raja Saul menyedari bahawa dia telah berdosa terhadap TUHAN kerana tidak mentaati perintah TUHAN melalui hamba-Nya, Samuel. Dia memohon pengampunan daripada TUHAN dan berjanji untuk beribadat kepada-Nya. Oleh kerana ketidaktaatan Raja Saul kepada perintah TUHAN, kerajaannya dikoyakkan dan diberikan kepada orang lain yang lebih baik daripadanya. Allah yang mulia dan tidak berdusta tidak akan mengubah pendirian-Nya kerana Dia bukan manusia. Walaupun demikian, Raja Saul tetap mengaku dosanya ("Beta sudah berdosa") dan memohon agar Samuel kembali bersama-samanya ke Gilgal supaya dia dapat beribadat kepada TUHAN dan menghormati Samuel di hadapan para pemimpin rakyat dan semua umat-Nya. Doa Terima kasih, TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini. Berikanlah kami hati yang senantiasa taat melakukan kehendak-Mu. Jauhkanlah kami daripada sikap memberontak, tidak taat, dan sombong hati. Kiranya Engkau memberkati kami, umat-Mu, secara jasmani dan rohani. Amin! Rev. Ali Langgit
- Jangan Memberontak Terhadap Tuhan Dan Jangan Sombong
1 Samuel 15:23 (AVB) 'Sebab penderhakaan sama seperti dosa bertenung dan kedegilan sama seperti penyembahan berhala. Kerana engkau telah menolak firman TUHAN, maka Dia juga telah menolak engkau sebagai raja.” ' Raja Saul memberontak terhadap TUHAN, menyebabkan TUHAN mencabut haknya sebagai raja dan juga menolak keturunannya. FIRMAN TUHAN mengatakan bahawa orang yang memberontak terhadap TUHAN sama jahatnya dengan orang yang melakukan sihir. Orang yang sombong pula sama jahatnya dengan penyembah berhala. Penyembah berhala dikategorikan sebagai pembuat dosa kerana mereka tidak menyembah TUHAN, Sang Pencipta dan Yang Maha Kuasa. MAKA ITU, JANGANLAH MEMBERONTAK TERHADAP TUHAN DAN JANGAN BERSIKAP SOMBONG, KERANA TUHAN TIDAK SUKA ORANG YANG BERBUAT DEMIKIAN. Doa Terima kasih, TUHAN, untuk Firman-Mu pada hari ini. Berikanlah kami hati yang senantiasa taat melakukan kehendak-Mu. Jauhkanlah kami daripada sikap memberontak dan kesombongan hati. Kiranya Engkau memberkati kami, umat-Mu, secara jasmani dan rohani. Amin! Rev. Ali Langgit
- Ketidaktaatan Membuat Tuhan Menolak Seseorang
1 Samuel 15:10-13,19, 22 (AVB) Lalu datanglah firman TUHAN kepada Samuel, demikian, “Aku masyghul, kerana Aku telah menjadikan Saul raja, kerana dia telah berbalik daripada Aku dan tidak melaksanakan firman-Ku.” Maka amat kesallah Samuel dan dia berseru-seru kepada TUHAN semalam-malaman. Lalu Samuel bangun pagi-pagi untuk bertemu dengan Saul, tetapi dia diberitahu demikian, “Saul telah pergi ke Karmel tadi dan mendirikan sebuah tugu peringatan bagi dirinya di situ. Kemudian dia berangkat dan menuju Gilgal.” Ketika Samuel sampai di tempat Saul, berkatalah Saul kepadanya, “Semoga engkau diberkati TUHAN! Aku telah melaksanakan firman TUHAN.” Mengapa engkau tidak mematuhi firman TUHAN, tetapi malah menyambar jarahan itu dan melakukan kejahatan di mata TUHAN?Kata Samuel, “Adakah korban bakaran dan korban sembelihan yang lebih disukai TUHAN daripada mendengar suara TUHAN? Sesungguhnya, mematuhi itu lebih baik daripada korban sembelihan dan memperhatikan itu lebih baik daripada lemak domba jantan.” 1. JANGAN SAMPAI TUHAN MENGATAKAN BAHAWA DIA MENYESAL TELAH MEMILIH KITA UNTUK MELAKUKAN PELAYANAN-NYA YANG DIA TELAH PERCAYAKAN KEPADA KITA MASING-MASING. RAJA SAUL DITOLAK TUHAN KERANA TIDAK TAAT KEPADA PERINTAH TUHAN. LAKUKAN PELAYANAN YANG SEDIA ADA SESUNGGUHNYA YANG MAMPU KITA LAKUKAN. 2. JANGAN SEKALI-KALI MEMBELAKANGI TUHAN, TETAPI TAATILAH PERINTAH-NYA YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA KITA. LAKSANAKAN PERINTAH-NYA SESUAI KEHENDAK-NYA. Doa Terima kasih TUHAN, untuk kasih setia-Mu kepada kami. Berikan kami hati yang senantiasa taat melakukan kehendak-Mu. Kiranya Engkau memberkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Amen! Rev. Ali Langgit












