
1 Samuel 15:25-31 (AVB)
'Sekarang, ampunkanlah kiranya dosaku dan kembalilah bersamaku supaya aku dapat beribadat kepada TUHAN.” Kata Samuel kepada Saul, “Aku tidak mahu kembali bersamamu, kerana engkau telah menolak firman TUHAN dan TUHAN pun telah menolak engkau sebagai raja atas orang Israel.” Apabila Samuel berpaling hendak pergi, Saul memegang punca jubah Samuel, tetapi terkoyak. Kemudian berkatalah Samuel kepadanya, “TUHAN telah mengoyakkan daripadamu jawatan raja atas Israel pada hari ini dan telah memberikannya kepada orang lain yang lebih baik daripada engkau. Apatah lagi, Yang Maha Mulia, yang disembah orang Israel, tidak berdusta dan tidak menyesal, kerana Dia bukan manusia yang harus menyesal.” Kata Saul, “Aku telah berdosa. Tetapi sekarang, mohon hormati aku di hadapan para tua-tua rakyatku dan di hadapan orang Israel. Kembalilah bersamaku supaya aku dapat beribadat kepada TUHAN, Allahmu.” Maka kembalilah Samuel mengikuti Saul, dan Saul pun beribadat kepada TUHAN. '
Raja Saul menyedari bahawa dia telah berdosa terhadap TUHAN kerana tidak mentaati perintah TUHAN melalui hamba-Nya, Samuel. Dia memohon pengampunan daripada TUHAN dan berjanji untuk beribadat kepada-Nya.
Oleh kerana ketidaktaatan Raja Saul kepada perintah TUHAN, kerajaannya dikoyakkan dan diberikan kepada orang lain yang lebih baik daripadanya. Allah yang mulia dan tidak berdusta tidak akan mengubah pendirian-Nya kerana Dia bukan manusia.
Walaupun demikian, Raja Saul tetap mengaku dosanya ("Beta sudah berdosa") dan memohon agar Samuel kembali bersama-samanya ke Gilgal supaya dia dapat beribadat kepada TUHAN dan menghormati Samuel di hadapan para pemimpin rakyat dan semua umat-Nya.
Doa
Terima kasih, TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini. Berikanlah kami hati yang senantiasa taat melakukan kehendak-Mu. Jauhkanlah kami daripada sikap memberontak, tidak taat, dan sombong hati. Kiranya Engkau memberkati kami, umat-Mu, secara jasmani dan rohani. Amin!
Rev. Ali Langgit
Comentarios