top of page

(1) Miskin Rohani (Beatitudes)

Yang Diberkati (Beatitudes)


Pelajaran 1: Miskin Rohani

Matius 5:3 Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga.




Matius 5:1-11 (AVB)

1 Ketika Yesus melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah murid-murid-Nya kepada-Nya. 2 Dia pun mula mengajar mereka:

3 "Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga.

4 Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur.

5 Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini.

6 Diberkatilah mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran, kerana mereka akan dipuaskan.

7 Diberkatilah mereka yang berpengasihan,

kerana mereka akan dikasihani juga.

8 Diberkatilah mereka yang suci hati,

kerana mereka akan melihat Allah.

9 Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah.

10 Diberkatilah mereka yang dianiaya demi perbenaran, kerana kerajaan syurga untuk mereka.

11 Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu dengan segala yang jahat kerana-Ku. 12 Bersukacita dan bergembiralah, kerana besar ganjaranmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya."



Untuk siri ini, kita akan menggunakan perkongsian Yesus di atas bukit dan mengaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian di Marketplace kita. Yesus memulakan perkongsian ini dengan menyatakan 8 cara untuk menerima berkat Tuhan ke dalam hidup kita. Yesus mempersiapkan 8 syarat untuk kita menerima berkat Tuhan.


Oleh itu, mari kita sama-sama mengaplikasikan 8 prinsip ini di dalam kehidupan pekerjaan kita seharian.....


Di dalam Matius 5, Yesus melihat ramai orang, pada satu ketika, lalu dia pun mendaki ke atas bukit lalu duduk. Kemudian datanglah murid-muridnya kepadaNya. Dan dia mula mengajar.


Inilah yang akan kita hayati di dalam 8 sesi. Ajaran Yesus yang mengenai “Hidup Yang Diberkati Tuhan”


Mereka semua datang untuk mendengar tentang kerajaan Allah. Dan Yesus berbicara kepada orang ramai dengan penuh otoriti. Sebelum kita bermula, 8 berkat ini bukanlah datang daripada kekuatan dan kemampuan kita sendiri, tetapi, adalah melalui Yesus Kristus.


Inilah masanya kita sedar dan memberikan komitmen hidup kita kepada juruselamat kehidupan kita. Jikalau kita belum pernah menerima Yesus sebagai Juru Selamat kita, inilah masanya untuk kita berbuat demikian.


Mari kita membaca: Matius 5:3 Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga.


Perkataan “berkat” di dalam bahasa Yunani, ialah “happiness” atau “kegembiraan”. Tetapi ia bukanlah perkataan yang hanya menyatakan kepuasan dan keseronokan, tetapi satu perasaan sukacita yang mendalam dan tulen yang boleh kita alami. (It is the deepest and purest form of joy one can experience)


Perkataan miskin pula, di dalam ayat 3 ini , bukanlah : tentang keadaan ekonomi dan nilai fizikal kita, ataupun tentang kerendahan nilai kita, tetapi adalah berkenaan dengan kemiskinan kita dengan “aset-aset rohani” (spiritual assets).


Yesus ada memberikan satu perumpamaan ataupun ibarat di dalam Lukas 18:9-14, yang membandingkan doa seorang Farisi dengan seorang pemungut cukai. (pemungut cukai pada ketika itu, terkenal dengan penipuan dan mereka bekerja dengan kerajaan yang “corrupt”).


Orang Farisi masuk ke bait suci lalu berdoa bahawa dia:

  • Bukanlah orang yang tamak

  • Bukanlah orang yang menipu

  • Bukanlah orang yang berzina

  • Bukanlah seperti pemungut cukai,

  • Dia berpuasa 2x seminggu.

  • Dan memberikan persepuluhan


Orang Farisi memberikan senarai “aset-aset rohani” Nya kepada Tuhan. Seolah-olah dia menunjukkan kekayaan rohaninya, berbanding dengan pemungut cukai.


Kita lihat, berbanding dengan pemungut cukai:

  • Dia berdiri jauh sedikit di Bait Suci

  • Dia tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada.

  • Dan berkata “Ya, Allah, kasihilah hamba, orang yang berdosa ini”.

  • Dia mengaku bahawa dia adalah seorang yang “miskin rohani”


Yesus berkata di dalam Lukas 18:14 “Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”


Tiada salahnya kita ditinggikan tetapi hanya siapa yang meninggikan kita:

Jikalau kita meninggikan diri sendiri, kita akan direndahkan. Jikalau Tuhan yang meninggikan kita, kita berdiri di atas dasar yang kukuh. Jadi hari ini, jikalau kita mahu diberkati di marketplace, kita harus mempunyai sikap “kemiskinan rohani”.


Ini adalah sikap yang bergantung kepada Tuhan. Apabila Yesus mengatakan, “Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga.”


Ini berbicara tentang ketergantungan kita kepada Tuhan. Bukan diri kita sendiri, tetapi kita bergantung kepada Tuhan.


Beberapa langkah bagaimana kita hidup bergantung kepada Tuhan :

  • Kita bergantung kepada hikmat Tuhan, bukan diri kita. Bagaimana kita mencari hikmat Tuhan? Melalui Alkitab. (Amsal 14:12, 3:5-7).

  • Kita bergantung kepada kekuatan Tuhan, bukan kekuatan kita (Yesaya 40:31, Mazmur 71:16a, Mazmur 73:26, 2 Korintus 12:8-10)

  • Kita bergantung kepada masa yang ditentukan Tuhan, bukan masa kita. (God’s timing) (Pengkhutbah 3:11a, Yesaya 60:22b, Mikha 7:7)

  • Kita bergantung kepada pembelaan Tuhan bukan kita. Kadang-kadang kita disalah-fahamkan. Biar Tuhan yang membela kita. (1 Petrus 2:23, Mazmur 2:12)

  • Kita bergantung kepada kekayaan Tuhan dan bukan kita. (Filipi 4:19, Yohanes 10:10b)


Maksudnya, segala kemampuan kita di marketplace adalah diberikan oleh Tuhan kepada kita. Kesedaran tentang kebergantungan kita kepada Tuhan adalah penting di dalam kita menjalankan tugas di tempat kerja kita.


Inilah “The Beatitudes” iaitu “Yang Diberkati” yang pertama.


Kesimpulan :

Ia adalah dasar untuk 7 berkat yang seterusnya. Semua yang lain, tidak akan kita fahami jikalau kita tidak menyedari bahawa, kebergantungan kita adalah kepada Tuhan dan hanya Tuhan. Kita adalah manusia biasa yang miskin rohani. Sumber kekayaan rohani kita adalah Tuhan sendiri.



Soalan Renungan

1. Apakah kemiskinan rohani yang anda rasa ada dalam hidup anda?

2. Jika ada, apakah tindakan yang anda akan lakukan dalam hidup kita?



Elder Ann WK


bottom of page