top of page

8b: Dianiaya Demi Kebenaran (Beatitudes)

Yang Diberkati (Beatitudes)


Pelajaran 8b: Dianiaya Oleh Kebenaran


Matius 5:11-12 (AVB) 11 Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu dengan segala yang jahat kerana-Ku. 12 Bersukacita dan bergembiralah, kerana besar ganjaranmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya."



Matius 5:1-11 (AVB)

1 Ketika Yesus melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah murid-murid-Nya kepada-Nya. 2 Dia pun mula mengajar mereka:

3 "Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian, kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga.

4 Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur.

5 Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini.

6 Diberkatilah mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran, kerana mereka akan dipuaskan.

7 Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga.

8 Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah.

9 Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah.

10 Diberkatilah mereka yang dianiaya demi perbenaran, kerana kerajaan syurga untuk mereka.

11 Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu dengan segala yang jahat kerana-Ku. 12 Bersukacita dan bergembiralah, kerana besar ganjaranmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya."


Bahagian yang terakhir ini, adalah bahagian yang paling penting, di antara semua kunci-kunci berkat. Di dalam sesi yang lepas, kita telah menghayati, 3 peringatan kebenaran apabila menghadapi penganiayaan. Sesi untuk hari ini, kita akan sama-sama pelajari tentang 5 langkah praktikal yang boleh kita ambil apabila kita berhadapan dengan penganiayaan.


Semua orang yang mengikuti Yesus “akan” dianiaya. Bukan mungkin, bukan jikalau, tetapi ini adalah penyataan “guarantee”. Kita yang hidup warak dalam kristus akan dianiaya. Seperti yang tertulis di dalam 2 Tim 3:12


Jadi persoalan renungan kita pada hari ini ialah apakah respon kita?


Mari kita lihat 5 langkah praktikal yang boleh kita ambil.


#1: Kita jangan hairan dan takut


1 Petrus 4:12 (AVB) Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah hairan bahawa kamu diuji dengan penderitaan yang berat, jangan anggap perkara itu luar biasa.


Jangan kita terkejut apabila dianiaya. Yesus juga telah mengatakan kepada kita bahawa, kita akan hidup teraniaya jikalau kita menjadi muridNya. Tetapi, bagaimana kita membuangkan ketakutan terhadap penganiayaan, penolakan, pengkhianatan dsb? Kita harus dipenuhi dengan kasih Tuhan.


1 Yohanes 4:18 Dalam kasih tidak ada ketakutan. Kasih yang sempurna menghilangkan segala rasa takut kerana ketakutan ada kaitan dengan hukuman. Dengan demikian, orang yang takut belum mengenal kasih yang sempurna.


Kita tidak perlu mendapat persetujuan orang lain dan kita tidak perlu mengambil hati orang yang jahat tetapi, apa yang penting, ialah kita dipenuhi kasih Allah.


Di Dalam kasih tidak ada ketakutan. Kasih yang sempurna akan menghilangkan segala rasa ketakutan,


#2: Kita menyembah Tuhan


Stefanus, pengikut Yesus yang direjam mati, orang yang mati syahid yang pertama, melakukan demikian.


KPR 7:55 Akan tetapi, dia dipenuhi Roh Kudus lalu merenung ke langit dan melihat kemuliaan Allah serta Yesus berdiri di sebelah kanan Allah. Alkitab mengatakan bahawa dia merenung ke langit dan melihat kemuliaan Allah.


Dia fokus dan menyembah Tuhan, sebelum dia direjam.Stefanus, mengatakan “Lihatlah! Aku nampak syurga terbuka dan Anak Manusia berdiri di sebelah kanan Allah!". Fokus Stefanus ialah kepada kemuliaan Tuhan!


Jadi apabila kita berhadapan dengan penganiayaan, langkah yang boleh kita ambil ialah menyembah Tuhan.


#3: Kita jangan berasa malu


1 Petrus 4:16 Tetapi jika sesiapa menderita sebagai seorang Kristian, janganlah berasa malu, malah muliakanlah Allah kerananya.


Jangan kita berasa malu. Lebih daripada itu, penganiayaan adalah satu “privilege”. Satu keistimewaan yang diberikan kepada kita.


Kita memuliakan Allah kerananya. Kita tidak perlu perkenanan manusia untuk kita hidup dengan bahagia, tetapi kita hanya perlu perkenanan Allah.


Kita juga harus tahu, kita bukanlah berseorangan di dalam kita mengalami penderitaan tetapi juga ditanggung oleh saudara-saudara seiman kita di serata dunia.


Di dalam Ibrani, “Hall of Fame” semua hero-hero kristian yang dinyatakan adalah orang yang dikeji, dikutuk, dianiaya, dibunuh, dikejam, dikhianati dsb. Apabila kita menghadapi penganiayaan, kita tidak merasa malu bahkan ia adalah satu keistimewaan yang diberikan Tuhan kepada kita. Kita akan bersama dengan hero-hero “hall of fame”.


#4: Kita harus tahu, bahawa puncanya ialah Setan.


Bukan orang yang melakukannya, bukan kawan kita, bukan keluarga kita.


Wahyu 12:10, Alkitab mengatakan bahawa Setan adalah digelar penuduh saudara-saudara kita, yang siang dan malam menuduh di hadapan Allah.


Tuhan mengasihi manusia dan mempunyai rancangan yang baik untuk manusia Iblis pula, membenci manusia dan mempunyai rancangan yang buruk untuk manusia. Adalah penting untuk kita mengetahui bahawa, orang-orang yang menganiaya kita tidak tahu apa yang mereka lakukan. Sebab itu, semasa Yesus di atas kayu salib, Dia mengatakan di dalam Lukas 23:34 “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka”.


Stefanus yang direjam, sebelum dia meninggal dunia, juga mengatakan demikian, “Tuhan, jangan tanggungkan dosa ini atas mereka”.


Perspektif ini penting. Kita tidak berlawan dengan darah dan daging, tetapi dengan penghulu dunia, para pemerintah, penguasanya dan tentera roh iblis. (Efesus 6:12)


Maksudnya, tidak tidak berperang di dalam alam fizikal tetapi kita berperang di alam rohani. (spiritual realm)


Oleh kerana itulah, kita cadangkan langkah yang ke-5


#5: Kita mengelakkan diri daripada membalas dendam.


Jikalau kita tidak membalas dendam kepada mereka yang menganiayakan kita, kita akan menjadi lebih seperti Yesus. Sebab itu, beatitudes yang ke-8 ini, mengatakan, diberkatilah kita yang dianiaya demi perbenaran, diberkatilah kita yang dihina, dianiaya dan difitnah dengan segala yang jahat kerana Yesus.


Alkitab mengatakan bergembiralah, kerana besar ganjaran kita di syurga.


Roma 12:17-19 (AVB) 17 Jangan balas kejahatan dengan kejahatan. Perhatikan apa yang baik di mata semua orang. 18 Setakat yang mungkin, jika dalam keupayaanmu, hiduplah dalam damai dengan semua manusia. 19 Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah berusaha membalas dendam, serahkanlah kepada kemurkaan Allah, kerana telah tersurat: “Pembalasan adalah hak-Ku. Akulah yang akan membalas,”demikian firman Tuhan.


Kita diperingatkan untuk tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Kita serahkan pembalasan kepada Tuhan. Pembalasan adalah hak Tuhan. Tuhan yang akan membalas kejahatan yang dilakukan kepadakita. Bukan kita.


Lebih daripada kita tidak membalas dendam, kita juga memberkati mereka yang menganiayai kita. Kita memberi berkat kepada mereka yang melukakan kita.


Roma 12:21 Jangan ditewaskan oleh kejahatan, tetapi tewaskanlah kejahatan dengan kebaikan.


Ini adalah bertentangan dengan pola pemikiran dunia. Dunia mengajar kita untuk “retaliate” (membalas kembali) tetapi Alkitab mengatakan kita tewaskan kejahatan dengan kebaikan !


Lukas 6:27-28 (AVB) 27 Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata: Kasihilah musuhmu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu; 28 berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu.


Kita telah sama-sama mempelajari 5 langkah praktikal yang boleh kita ambil di dalam kita mengharungi penganiayaan.


#1: Kita jangan hairan dan takut.

#2: Kita menyembah Tuhan

#3: Kita jangan berasa malu.

#4: Kita harus tahu, bahawa puncanya ialah setan.

#5: Kita elakkan diri daripada membalas dendam.


Ini bukan perkara yang senang. Sebab itu, kita memerlukan pertolongan Tuhan.


Akhiri sesi ini dengan doa Lukas 6:27-28 (AVB) Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata: Kasihilah musuhmu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu; berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu. Jika orang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar sebelah lagi; jika ada orang mengambil jubah kamu, biarkan dia ambil bajumu juga. Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu. Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka.


DOA


Tuhan, terima kasih kerana kasih kurnia mu yang besar terhadap kami, kami tahu kami tidak mampu mengharungi penganiayaan tanpa pertolongan Tuhan.


Berikanlah kami kemampuan, dengan pertolongan Roh Kudus Mu:

  • Untuk kami mengasihi musuh kami

  • Untuk kami berbuat baik kepada orang yang membenci kami

  • Untuk kami memberkati orang yang mengutuk kami

  • Untuk kami mendoakan orang yang menganiayai kami.


Terima kasih Tuhan. Engkaulah satu-satunya Tuhan yang kami sembah. Di dalam Nama Yesus Kristus kami berdoa. Amen.


Soalan Renungan :


1. Apakah respon peribadi anda terhadap 5 langkah praktikal yang telah anda pelajari?


2. Pernahkah anda mengalami pengaiayaan dalam sebarang bentuk? Bagaimanakah respon anda?



Elder Ann WK


Comentarios


bottom of page