top of page

Bayu Pengharapan : Ajar Aku Berdoa

Renungan: Lukas 11:1-13 “Pada suatu hari Yesus sedang berdoa di suatu tempat. Ketika Dia berhenti berdoa, berkatalah para murid-Nya kepada-Nya, “Tuhan ajarlah kami berdoa, sama seperti yang diajarkan Yohanes kepada murid-muridnya.”

(ayat 1)



Manakah yang lebih penting? Doa dapat mengubah situasi kita atau mengubah suasana hati kita? Betapa sering kita datang ke hadirat Tuhan untuk meminta agar Tuhan mengubah situasi dan bukan sikap kita. Sebenarnya suasana hati kita yang perlu diubah terlebih dahulu sebelum situasi kita diubah.


Mukjizat apakah yang patut kita hargai dalam kehidupan doa kita? Bukankah doa mengajar kita lebih bergantung kepada Tuhan? Bukankah kita mempelajari bagaimana bersikap tenang dan tidak kepanasan seperti cacing kena api selepas berdoa? Gembirakah anda kerana anda sudah tidak banyak bersungut-sungut lagi kerana kehadiran Tuhan memberi pengharapan? Bukankah di hadirat-Nya kita belajar agar jangan terlalu banyak mencaci orang lain? Kita sudah belajar lebih mengampuni orang lain dan lebih berhati-hati agar kita tidak terbawa dalam pencobaan.


Adikku Melody Tan ada kesaksian yang berbunyi demikian, “Tahun 2003 telah menjadi tahun yang penuh ujian untuk kami sekeluarga. Suamiku, Leom Jiew Fook, meretakkan kepalanya kerana terjatuh tiba-tiba dan terhantuk kepalanya pada lantai yang keras. Doktor mengesyaki pendarahan dalam yang mungkin berbahaya. Aku memiliki sedikit tenaga untuk menghadapi semua cabaran ini. Aku dan anak- anakku hampir kehilangan bapa mereka kalau Tuhan tidak bercampur tangan. Doa yang dipanjatkan kepada Tuhan telah menyembuhkan suamiku. Sebulan kemudian anak bongsuku diserangi oleh penyakit Kawasaki dan sewaktu membawa anak kami, Dora, ke hospital kami telah melanggar sebuah lori besar!”


Sebagai anggota keluarga, aku banyak panik dan ketakutan apabila melihat kakak ipar saya mengerang dalam kesakitan. Puji Tuhan, krisis yang melandai kami mengajar kami berdoa bersungguh-sungguh dan berharap kepada Tuhan. Mukzizat doa ini mengajar kami lebih bergantung kepada Tuhan dan menghargai setiap detik yang diberikan Tuhan dalam kehidupan kami. Krisis ini mengajar kami bahawa Tuhan adalah kota benteng kami dan gunung batu kami. Doa telah mengajar kita untuk bersikap tenang ketika krisis mengetuk pintu kami. Peristiwa ini mengajar kami untuk menyedari bahawa nyawa kami dimilik oleh Tuhan sendiri.


“Dan Allah, sumber segala kasih karunia, yang telah memanggil kamu dalam Kristus kepada kemuliaan-Nya yang kekal, akan melengkapi, meneguhkan, menguatkan dan mengokohkan kamu, sesudah kamu menderita seketika lamanya.” (1 Petrus 5:10).


Damai jiwaku Usah gelisah walau jalanmu susah Tuhan memahami semuanya Tuhan, ajarlah aku bersabar Ajar aku ambil selangkah iman Sebentar semua kekeliruan Akan menjadi terang Dan aku lebih bersandar kepada Engkau lagi


Doa: Tuhan, ajarlah aku berdoa dan berharap kepada Engkau pada waktu krisis.


Doa Meminta Pertolongan Daripada Tuhan

Semoga Engkau memberi aku Pertolongan-Mu dalam segala tugasku Pimpinan-Mu dalam kekeliruanku Perlindungan-Mu dalam segala mara bahaya Damai sejahtera-Mu dalam segala penderitaanku Dengan perantaraan Yesus Kristus, Tuhan kami Santo Augustin (354-430)

bottom of page