Jadilah Pelayan Allah Yang Teruji
- 19 hours ago
- 2 min read

Tetapi kamu mengetahui kelakuannya (Timotius) yang sudah teruji, seperti anak dengan bapa dia berkhidmat bersamaku dalam penyebaran Injil. Filipi 2:22 AVB
Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi tentang keakraban hubungan dirinya dengan Timotius. Dia menggambarkan hubungan mereka seperti hubungan bapa dengan anak. Apatah lagi, Timotius sudah membuktikan betapa baik keperibadiannya.
Paulus menganggap Timotius sebagai anak rohani didikan dirinya kerana Timotius telah membuktikan kesetiaan dirinya dalam pemberitaan Injil sejak perjalanan misi Paulus yang kedua lebih daripada sepuluh tahun yang lalu. Demikian juga Timotius menerima segala pengajaran Paulus dalam hidupnya sehingga mereka sefikiran dan sehati.
Paulus menegaskan bahawa kelakuan Timotius yang teruji dibina atas kesetiaannya yang terbukti dan bukan sekadar janji manis atau janji kosong sahaja. Timotius telah membantu Paulus seperti seorang anak membantu bapanya. Dengan kata lain, Timotius melayani bersama atau berseiringan dengan Paulus untuk berkongsi Injil dan bukan setakat di bawah penyeliaan Paulus. Fokus pelayanan mereka berdua adalah demi menyebarkan Injil dan membangunkan jemaah.
Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita pelayan Allah yang setia dan rela untuk mengetepikan kepentingan peribadi kita? Kita perlu meneladani diri Timotius yang memiliki keperibadian yang teruji dan sanggup untuk merendahkan diri serta berkorban menghadapi apa-apa pun keadaan bersama pelayan-pelayan Allah yang lain demi Kerajaan-Nya.
Jadilah pelayan Allah yang setia, berserah diri sepenuh kepada-Nya dan tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana Injil ialah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku memohon agar Engkau menggagahkan aku untuk tetap setia melayani-Mu. Beri aku hati yang rela untuk mengetepikan kepentingan peribadiku dan mengutamakan Engkau dalam segala-galanya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments