Allah itu "Bapa" Kita
- Komuniti Digital 05

- Jun 28
- 1 min read

Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu berdoa, katakanlah: ‘Ya Bapa, Sucilah Nama-Mu; Datanglah kerajaan-Mu; ’ ” Lukas 11:2 AVB
Ketika Tuhan Yesus mengajar para murid-Nya bagaimana berdoa, Dia berkata, “Berdoalah demikian: ‘Ya Bapa kami yang di syurga, sucilah nama-Mu. Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga.’ ” Petikan Matius 6:9-10 ini adalah lebih terperinci sedikit berbanding dengan Lukas 11:2 di atas.
Yesus mahu mengajar murid-murid-Nya pentingnya Allah dalam hidup mereka kerana Dia haruslah diutamakan. Mereka harus berdoa agar nama Bapa diagungkan dan dihormati oleh semua orang sebagai Allah yang kudus, khususnya sebagai yang paling suci, paling bernilai dan paling mulia dalam hidup mereka.
Pada hakikatnya hidup mereka tidak ada nilai sekiranya nama Allah Bapa tidak sesungguh-sungguhnya dihargai dalam hidup mereka. Setiap mereka hendaklah mengisytiharkan nama Allah itu suci, meninggikan-Nya dan mengaku kebesaran-Nya.
Doa memperlihatkan ikatan hubungan peribadi seseorang dengan Allah sehingga dia terus bertumbuh secara rohani. Seorang Kristian memiliki hubungan peribadi dengan Allah Bapa yang menjaganya dengan penuh kasih sayang. Itulah sebabnya Tuhan Yesus memanggil Allah sebagai Bapa-Nya, tanda hubungan mereka yang akrab.
Jadi, Yesus turut mengajar para murid-Nya berdoa dengan menyebut Allah sebagai Bapa mereka yang di syurga kerana mereka sebenarnya anak Allah. Biarlah kerajaan-Nya datang dan Dia memerintah sebagai Raja dalam hidup mereka.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menjadi Allah dan Bapa bagi hidupku hari ini. Engkau Tuhan yang tidak jauh daripadaku tetapi sentiasa dekat dalam hidupku. Ajarlah aku untuk berjalan akrab dengan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments