top of page

Kasih Dan Kesetiaan Kepada Tuhan Menjadi Gaya Hidup

Teks: Amsal 3:3–4

“Jangan biarkan kasih setia dan kebenaran meninggalkan kamu,

kalungkannya di lehermu dan pahatkannya di loh hatimu.

Dengan demikian engkau akan disukai serta memperoleh nama baik

di mata Allah dan manusia.”


Firman Tuhan ini menasihati kita supaya kasih dan kesetiaan bukan hanya diucapkan dengan kata-kata, tetapi dijadikan sebagai gaya hidup yang nyata.


Ungkapan “kalungkannya di lehermu” dan “pahatkannya di loh hatimu.” menggambarkan sesuatu yang sentiasa dekat, jelas kelihatan, dan hidup dalam diri kita — terpancar melalui sikap, perkataan, dan perbuatan kita setiap hari.


Dalam kehidupan seharian, termasuk dalam pekerjaan dan perniagaan, kasih dan kesetiaan dinyatakan melalui kejujuran, rasa tanggungjawab, serta sikap saling menghormati. Apabila kita berpegang teguh kepada nilai-nilai ini, bukan sahaja Tuhan berkenan kepada kita, bahkan manusia juga akan menghargai dan mempercayai kita. Kepercayaan akan terbina, hubungan akan terpelihara, dan berkat Tuhan akan menyertai setiap langkah kehidupan kita.


Firman ini mengingatkan kita bahawa kejayaan yang sejati bukan semata-mata diukur melalui pencapaian atau kejayaan luaran, tetapi melalui hati yang berkenan kepada Allah. Apabila kasih dan kesetiaan menjadi asas kehidupan kita, Tuhan sendirilah yang akan memimpin serta memelihara perjalanan hidup kita.


Doa

Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan, serta segala kegiatan kami sepanjang tahun 2025. Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah sepanjang tahun 2026 ini dengan keyakinan bahawa Engkau akan terus menjaga dan memelihara kehidupan kami, bahkan untuk selama-lamanya. Amin.


Rev. Ali Langgit

Comments


bottom of page