Allah Sangat Gembira Apabila Kita Kembali Kepada-Nya
- Komuniti Digital 05

- Oct 7
- 2 min read

“ ‘kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.’ Lalu mereka mula bersuka ria.” Lukas 15:24 AVB
Setelah anak bongsu kembali kepada bapanya, dia berkata kepada bapanya, ‘‘Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.’’ Dengan hati yang sangat gembira si bapa menyambut kepulangannya. Bapa itu menyuruh hamba-hambanya untuk segera mengambil jubah yang terbaik dan memakaikannya kepada anak bongsu selain menyarungkan sebentuk cincin pada jarinya dan memakaikan kasut pada kakinya. Kemudian si bapa menyuruh para hamba memilih dan menyembelih anak lembu yang tambun untuk mengadakan jamuan dan bersuka ria.
Alangkah gembiranya hati si bapa sehingga dia menyuruh semua hambanya untuk mempersiapkan jamuan untuk menyambut kepulangan anak bongsunya yang telah meninggalkan dia dan keluarga untuk beberapa lama. Sekembali sahaja anak bongsu ke pangkuannya, hati si bapa dipenuhi dengan sukacita yang tidak terhingga. Jadi si bapa bukan hanya sangat gembira tetapi dia juga ingin berkongsi kegembiraannya itu dengan orang lain. Sebab bagi si bapa kepulangan anaknya itu umpama dia telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali. Si bapa mahu seisi rumah bersuka ria bersamanya.
Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh si bapa untuk anak bongsu amat bererti. Jubah terbaik yang dipakaikan kepada anak bongsu menunjukkan si bapa menerima anak bongsu semula sebagai anggota keluarga. Cincin menandakan dia itu anak dan bukannya hamba. Hamba pada zaman itu tidak memakai cincin, kasut atau jubah mahal. Anak lembu yang tambun biasanya hanya disembelih untuk sesuatu peristiwa yang istimewa.
Demikian juga dengan hati Allah terhadap kita. Pada masa lalu kita sesat dan hilang kerana dosa-dosa kita telah memisahkan diri kita daripada-Nya. Bagaimanapun, apabila kita bertaubat dan kembali kepada Allah, maka hati-Nya akan dipenuhi dengan sukacita untuk menyambut kita. Sebab pertaubatan kita yang sungguh-sungguh akan sangat menyenangkan hati Allah di syurga.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku sekiranya aku telah menjauhkan diriku daripada-Mu selama ini disebabkan hal-hal duniawi. Bersihkan dan sucikan aku daripada segala dosaku. Pimpinlah aku untuk terus kembali kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments