top of page

Apa Harga Sebuah Kejujuran?

ree

Kisah Yakub dan Esau didalam kitab Kejadian bab 27 - 33 bukan sekadar kisah keluarga atau perebutan hak kesulungan. Ia adalah cermin hati manusia yang ingin diberkati, tetapi sering memilih jalan pintas, termasuk melalui penipuan dan manipulasi. Namun, Tuhan tidak memberkati penipuan. Dia memberkati kejujuran, pertobatan, dan memberikan pemulihan bila kita datang di hadapan Tuhan dengan kejujuran.

Dalam Kejadian 27, Yakub menipu bapanya Ishak dengan menyamar sebagai Esau demi mendapat berkat kesulungan. Penipuan itu berhasil dan dia menerima berkat. Tetapi secara dalaman, hidup Yakub mulai dihantui ketakutan, rasa bersalah, dan berlaku perpecahan dalam hubungan kekeluargaan. Dia terpaksa melarikan diri dari abangnya Esau, pergi bersembunyi, hilang persekutuan persaudaraan yang erat dan dan dia tidak pernah benar-benar tenang dalam hidupnya.

Realitinya, ramai orang pada hari ini juga tergoda untuk memperoleh “berkat” melalui jalan yang tidak jujur iaitu mungkin melalui rasuah atau salah guna kedudukan demi kepentingan peribadi. Ini boleh berlaku baik dalam dunia kerjaya juga dalam pelayanan gereja. Dalam melakukan penipuan dan salahguna kuasa, kita mungkin dapat kedudukan, wang, atau pengaruh, tetapi kita kehilangan damai dan hadirat Tuhan dari hidup kita.


Titik perubahan dalam hidup Yakub berlaku di tepi Sungai Yabok (Kejadian 32). Di situ, dia bertembung dengan Tuhan dalam sebuah pergumulan rohani. Malaikat Tuhan bertanya, “Siapakah namamu?” Ini adalah soalan yang sangat bermakna. Dulu bila ditanya bapanya, dia mengaku “Esau” untuk menipu, tetapi kali ini dia jujur, “Aku Yakub.” Inilah saat pemulihan itu. Pada ketika kita berani mengakui siapa diri kita yang sebenar di hadapan Tuhan.

Tuhan bukan hanya mengampuni Yakub. Dia memulihkannya. Namanya diubah menjadi Israel, satu identiti baru dan hubungan yang diperbaharui dengan Tuhan. Yakub si Penipu sekarang menjadi Israel sang Pahlawan.

Selepas itu, Yakub kembali bertemu Esau. Dalam Kejadian 33, kita melihat adegan luar biasa. Esau memeluk Yakub. Pengampunan dan pemulihan hubungan berlaku. Namun semuanya bermula dengan kejujuran Yakub di hadapan Tuhan.

Renungan ini mengingatkan kita bahawa berkat sejati tidak datang melalui jalan kelicikan, tetapi melalui kerendahan hati dan kejujuran. Jika ada dalam kalangan kita yang pernah mendapat sesuatu melalui cara yang salah dan kini hidup dalam ketakutan, tekanan, dan ketidaktenangan khabar baik bagi anda adalah Tuhan masih membuka jalan pulang. Kembalilah dengan hati yang jujur. Tuhan mampu memulihkan, sama seperti Dia telah memulihkan Yakub.

Pertanyaan untuk refleksi diri:

1. Adakah anda pernah berusaha memperoleh sesuatu dalam hidup ini melalui penipuan atau cara yang tidak jujur?

2. Adakah anda sedang hidup tanpa damai kerana cara anda memperoleh berkat tersebut?

3. Apakah langkah kejujuran dan pertaubatan yang perlu anda ambil untuk kembali kepada berkat sejati dari Tuhan?

Berkat dari Tuhan tidak memerlukan penipuan. Tuhan memberkati mereka yang hidup dalam kebenaran. Oleh : Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @Jubilie Apin

Comments


bottom of page