top of page

Apabila Tuhan Menggunakan Orang Biasa Untuk Menegur

  • Feb 20
  • 2 min read
Oleh Pr Jerry Ignacio
Oleh Pr Jerry Ignacio

"Barangsiapa setia dalam perkara-perkara kecil, ia setia juga dalam perkara-perkara besar. Dan barangsiapa tidak benar dalam perkara-perkara kecil, ia tidak benar juga dalam perkara-perkara besar. - Lukas 16:10


Ada satu pengalaman dalam perjalanan pelayanan saya yang Tuhan gunakan untuk merendahkan hati saya dengan cara yang tidak saya jangka.


Teguran itu tidak datang melalui pemimpin besar, tidak juga melalui mereka yang saya anggap “lebih berautoriti” atau “lebih berpengalaman.” Ia datang melalui seorang yang sederhana orang yang mungkin, jika jujur, mudah saya abaikan suaranya.


Pada saat itu, hati saya sedang sibuk dengan tanggungjawab besar, keputusan penting, dan cabaran dalam pelayanan.


Tanpa sedar, saya mula memilih siapa yang “layak” untuk didengar. Dalam diam, keangkuhan halus menyelinap: suara yang kecil dianggap kurang penting, pandangan yang sederhana dipandang remeh. Namun di situlah Tuhan bekerja.


Melalui kata-kata ringkas orang tersebut tanpa niat menggurui, tanpa nada menghakimi Tuhan menegur saya dengan tepat. Teguran itu menyentuh akar masalah, bukan permukaan.


Saat itulah Roh Tuhan mengingatkan saya akan firman-Nya: “Siapa yang setia dalam perkara kecil, ia setia juga dalam perkara besar.” (Lukas 16:10).


Kesetiaan bukan hanya diukur melalui jawatan atau pengaruh, tetapi melalui ketaatan hati untuk menyampaikan apa yang Tuhan letakkan, walaupun melalui “orang biasa.”


Pengalaman itu mengajar saya bahawa Tuhan tidak terikat dengan hierarki manusia. Dia bebas menggunakan siapa sahaja untuk menyatakan kehendak-Nya.


Masalahnya bukan pada siapa yang bercakap, tetapi pada hati kita yang mendengar. Keangkuhan rohani sering muncul apabila kita menilai suara berdasarkan status, bukan berdasarkan kebenaran.


Sejak itu, saya belajar satu disiplin rohani yang penting: mendengar tanpa menilai kedudukan. Menghormati setiap suara yang Tuhan utus, walaupun ia datang dengan bahasa yang sederhana atau daripada latar yang kita anggap kecil. Kerana sering kali, suara yang kita remehkan itulah suara yang Tuhan pilih untuk membetulkan arah kita.


Hari ini, saya mengingatkan diri sendiri dan mungkin juga anda jangan pernah meremehkan suara yang Tuhan pilih.


Tuhan sedang membentuk kerendahan hati kita bukan hanya melalui kejayaan besar, tetapi melalui kesediaan untuk ditegur oleh orang biasa.


Di situlah kesetiaan diuji, dan di situlah hati benar-benar diproses oleh Tuhan.


Oleh Pr Jerry Ignacio

Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio

Kredit Gambar : Komuniti Digital / CG Marketplace

Comments


bottom of page