
“Sebaliknya, apabila seseorang memiliki kebijaksanaan yang berasal dari syurga, maka dia bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah. Dia juga bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik. Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka.”
(Yakobus 3:17 AVB)
Kita yang memiliki kebijaksanaan yang datang dari syurga, akan mempunyai belas kasihan.
Belas kasihan adalah seperti batu permata yang mempunyai pelbagai perspektif. Kita akan melihat 7 aspek belas kasihan. Jikalau kita belajar mempraktikkan belas kasihan, ia akan mentransformasikan perhubungan kita di tempat pekerjaan kita. Kita dipanggil untuk menjadi berkat di tempat kerja kita. Belas kasihan adalah penting untuk kita menjadi ajen perubahan dan ajen berkat.
(1) Belas kasihan bermakna kita sabar dengan karenah orang di tempat kerja.
Yakobus 3:17 menyatakan lebih kita menjadi bijak, lebih kita menjadi sabar dan berbelas kasihan. Kita akan mengamalkan segala jenis perbuatan baik.
Di tempat kerja, rakan-rakan sepekerjaan kita mempunyai pelbagai jenis karenah. Dan oleh itu, kesabaran akan membolehkan kita mengekalkan perhubungan kita dengan mereka. Lebih daripada itu, mereka akan melihat sesuatu yang istimewa di dalam kita.
(2) Belas kasihan bermakna kita menolong mereka yang luka hati (hurting).
Kita tidak boleh mengasihi sesama manusia, tanpa kita menunjukkan belas kasihan. Tuhan yang menunjukkan kita belas kasihan, bagaimana mungkin kita tidak menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang lain. Terutama sekali mereka yang terluka.
Manusia adalah tidak sempurna dan apabila manusia bekerja bersama-sama di dalam satu kumpulan, mesti adanya orang yang dilukai dengan perkataan atau perbuatan.
“Janganlah menahan kebaikan daripada orang yang patut menerimanya, ketika engkau mampu melakukannya.” (Amsal 3:27 AVB)
Jangan kita kedekut dengan berbuat baik, terutama sekali apabila kita mampu melakukannya. Memberikan belas kasihan kepada mereka yang luka hati, adalah sesuatu yang mampu kita lakukan.
(3) Belas kasihan bermakna kita memberikan orang lain peluang yang kedua. (Second Chance).
Apabila orang lain menyakiti hati kita, kita akan kebiasaannya, akan membalas dendam dan menghapus kita seseorang tersebut.
Tetapi Alkitab menyatakan untuk kita menunjukkan belas kasihan dan mengampuni orang lain.
“Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat. Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus.”
(Efesus 4:31-32 AVB)
Ya, bukan senang untuk kita melakukan yang di atas, tetapi, dengan pertolongan Roh Kudus di marketplace, kita boleh melakukannya.
(4) Belas kasihan bermakna berbuat baik kepada mereka yang melukai kita.
Belas kasihan adalah memberikan apa yang diperlukan dan BUKAN apa yang patut mereka terima.
Mengapa harus kita lakukan sebegitu ? Kerana Tuhan telah melakukannya kepada kita.
“Tetapi kamu hendaklah mengasihi musuhmu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang zalim. Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan." (Lukas 6:35-36 AVB)
(5) Belas Kasihan bermakna menjadi baik hati kepada mereka yang jahat kepada kita
Kita harus mementingkan memenangi seseorang kepada Tuhan daripada kita memenangi perdebatan kita.
“Berusahalah menyelamatkan orang daripada api. Namun demikian, tunjukkan belas kasihan sesama manusia dengan gentar. Bahkan bencilah pakaian mereka yang dinodai oleh hawa nafsu duniawi.” (Yudas 1:23 AVB)
(6) Belas kasihan bermakna membina jambatan kasih kepada mereka yang tidak popular.
Ini bermakna kita dengan sengaja membina jambatan kepada mereka yang tidak mempunyai kawan di tempat pekerjaan kita. Mungkin mereka tidak di terima oleh rakan sepekerja atau masyarakat.
Apabila orang Farisi bertanya soalan mengapa Yesus makan bersama dengan pemungut cukai dan orang-orang yang tidak popular.
“Kajilah erti ayat ini: 'Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.' Itulah maka Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa." (Matius 9:13 AVB)
(7) Belas kasihan bermakna mementingkan perhubungan daripada hukum.
“Kasih tidak berbuat jahat kepada sesama manusia. Oleh itu, kasih memenuhi hukum.” (Roma 13:10 AVB)
Jikalau kita mahu menunjukkan belas kasihan, kita mementingkan orang daripada polisi. Kita mementingkan keperluan seseorang daripada prosedur. Kita mementingkan orang daripada peraturan. Kita memilih kasih lebih daripada hukum (law).
Renungan :
Apakah kita lebih cenderung kepada memenangi perdebatan atau memenangi orang untuk Kristus?
Apakah yang boleh kita lakukan hari ini untuk menunjukkan belas kasihan untuk rakan sepekerja kita ?
Comments