Berhati-hati tentang Setiap Pertanyaan Orang
- Komuniti Digital 05
- Jun 18
- 1 min read

Seorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Yesus. Dia bertanya, “Guru, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?” Lukas 10:25 AVB
Seorang ahli Taurat atau ahli hukum, datang kepada Tuhan Yesus dengan melontarkan satu pertanyaan tentang cara memperoleh penyelamatan atau hidup yang kekal. Dia bertanya kepada Yesus bukan kerana dia betul-betul ingin mengetahui perkara itu secara lebih mendalam, tetapi dia bertanya kepada Tuhan Yesus kerana mahu memerangkap-Nya.
Sememangnya, ahli Taurat atau ahli hukum itu datang kepada Tuhan Yesus dengan membawa muslihat yang tersembunyi. Dia berharap bahawa dia dapat menjerat Tuhan Yesus sehingga dia memperoleh alasan untuk mencari kesalahan-Nya.
Namun begitu, Yesus tahu akan isi hati ahli Taurat itu, iaitu tujuan sebenar dia datang untuk mengemukakan pertanyaan tersebut kepada-Nya. Oleh itu, Yesus menyoalnya kembali dengan berkata, “Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?”
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Banyak orang yang datang kepada kita dan bertanya kepada kita bukan kerana mahu mengetahui kebenaran tetapi mereka bertanya untuk memerangkap kita. Jadi, kita harus berhati-hati terhadap orang yang datang bertanya kepada kita. Mohonlah kepada Tuhan untuk memberi kita hikmah agar kita tidak terperangkap dengan niat jahat orang tertentu.
Berdoalah untuk hikmah setiap hari agar kita dapat menjawab setiap pertanyaan orang secara baik, betul dan benar.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon hikmah dan pengertian agar aku dapat menjawab setiap pertanyaan yang dilontarkan orang lain kepadaku mengikut pimpinan dan kehendak-Mu. Hendaklah nama-Mu sentiasa dimuliakan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Opmerkingen