Berhati-hati Terhadap Orang yang Hendak Memerangkap Kita
- Komuniti Digital 05

- Jul 6
- 1 min read

Orang lain menduga-Nya dengan meminta suatu tanda dari syurga. Lukas 11:16 AVB
Pada suatu hari Yesus mengusir roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Apabila orang ramai menyaksikan keajaiban itu, mereka pun tercengang. Namun demikian, terdapat beberapa orang yang bersangka buruk lalu mereka membuat tuduhan bahawa Yesus menghalau roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua roh iblis.
Segelintir orang yang melihat Yesus mengusir roh iblis daripada orang bisu, mula mencari jalan untuk memerangkap-Nya. Mereka pun menduga Yesus dengan meminta suatu tanda dari syurga, iaitu meminta Yesus untuk melakukan mukjizat bagi membuktikan bahawa Dia benar-benar datang daripada Allah. Akan tetapi, Yesus mengetahui isi hati mereka.
Maka Yesus menggunakan ibarat untuk mengajar mereka yang hendak memerangkap diri-Nya dengan berkata, “Kerajaan yang berpecah belah tidak akan tahan lama, dan keluarga yang berpecah belah akan hancur. Jika Iblis berpecah belah sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul. Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu.”
Memang Yesus mengetahui muslihat atau niat jahat mereka. Oleh yang demikian, Yesus bukan sahaja tidak memenuhi permintaan mereka untuk melakukan mukjizat bagi membuktikan bahawa Dia sesungguhnya datang daripada Allah tetapi juga menggunakan ibarat untuk menegur golongan tersebut.
Pendek kata, kita harus mengajar dan melatih diri kita supaya sentiasa berhati-hati terhadap permintaan orang yang ada di sekeliling kita pada hari ini. Sebab kita tidak selalu mengetahui motif atau niat sebenar mereka. Marilah kita meminta hikmah dan bimbingan Allah atas hidup kita agar kita tidak akan terjebak dalam perangkap mereka.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon hikmah dan pimpinan agar aku tidak akan terperdaya ketika aku mendengar permintaan orang yang ada di sekelilingku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments