top of page

Berserah Sepenuhnya Sebagai Murid yang Sejati

ree

“Garam itu baik tetapi jika menjadi tawar, bagaimanakah garam itu dapat dimasinkan semula?  Garam itu tidak berguna untuk menyuburkan tanah atau dijadikan baja kecuali dibuang sahaja. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.” Lukas 14:34-35 AVB

 

Bagi seseorang yang memutuskan untuk mengikut Tuhan Yesus, dia haruslah menyerahkan hidupnya dengan sepenuh hati kepada Yesus. Sebab dia perlu bersiap sedia untuk memikul segala tanggungan demi Yesus. Maka sebelum membuat keputusan untuk mengikut Yesus, pertimbangan yang semasak-masaknya hendaklah dibuat.  

 

Untuk mengikut Yesus, berserah diri dengan segenap hati dituntut sehingga kita tidak lagi tergoyahkan  oleh apa-apa sahaja yang menggugat iman kita di dunia ini. Sebab kita sudah membuat keputusan berdasarkan kepercayaan dan keyakinan yang sepenuhnya kepada Tuhan Yesus. Kita sama sekali tidak mengikut Yesus secara sambil lewa sahaja atau ikut sedap hati.

 

Itulah sebabnya Yesus berkata kepada kita, Garam itu baik tetapi jika menjadi tawar, bagaimanakah garam itu dapat dimasinkan semula?  Garam itu tidak berguna untuk menyuburkan tanah atau dijadikan baja kecuali dibuang sahaja. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.”

 

Seperti yang diketahui, garam berfungsi sebagai pengawet, perasa dan perisa. Murid Yesus yang sejati memainkan peranan untuk membanteras atau merencatkan leluasanya kejahatan dan gejala sosial di mana-mana sahaja dia ditempatkan, sebagaimana garam mengawetkan makanan supaya tidak cepat rosak.   Sifat, tutur kata dan tindak tanduk murid Yesus yang bagaikan perasa dan perisa yang sedap manis turut menyebabkan orang lain berminat untuk mengenal Yesus dan menerima penyelamatan yang dianugerahkan-Nya.  Demikian juga dengan diri kita sebagai murid Yesus. Sekiranya hati kita berbelah bahagi pada hari ini, maka kita sama seperti garam yang menjadi tawar atau hilang masinnya.  Kita tidak berguna langsung dalam kerajaan Allah dan akan dibuang.

 

Jadilah murid Tuhan Yesus yang sejati, yang berserah diri sepenuhnya kepada-Yesus sahaja.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Pakailah hidupku untuk melayani-Mu dan ajarlah aku untuk melakukan kehendak-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page