top of page

Bolehkah Orang Kristian Menonton Cerita Seram?


Saya masih ingat sewaktu saya masih di sekolah rendah, saya sedang melarikan diri dari dikejar oleh Jiangshi (pontianak cina yang melompat-lompat tu!). Puas saya berlari namun hantu itu semakin dekat sehingga akhirnya ia berjaya menerkam saya. Saya cuba melepaskan diri tetapi gagal, lalu perkara yang menakutkan saya menjadi kenyataan, hantu itu menggigit saya di bahagian perut! Darah banyak mula terpercik keluar dari tubuh kecil saya. Tiba-tiba, saya merasa bahawa ada orang yang menarik-narik telinga saya. Rupa-rupanya orang itu adalah emak saya. Dia membangunkan saya dari tidur saya. Puji Tuhan itu hanyalah mimpi ngeri!


Mungkin ramai diantara anda pernah mengalami mimpi buruk seperti saya selepas anda menonton filem seram kan? Kali ini saya ingin membahas mengenai topik ini : “Bolehkah orang kristian menonton filem seram?” Sebagai seorang bapa, saya tidak akan mengizinkan anak-anak saya untuk menonton filem seram. Namun, memandangkan anda bukanlah anak-anak kandung saya, jawapan saya bagi pertanyaan tersebut adalah 1 Korintus 10:23 “Segala sesuatu diperbolehkan." Benar, tetapi bukan segala sesuatu berguna. "Segala sesuatu diperbolehkan." Benar, tetapi bukan segala sesuatu membangun”.


Filem seram adalah, filem cerita yang bertujuan untuk menghasilkan "perasaan takut, trauma, terkejut, atau jijik yang sangat mendalam” kepada para penonton. Jika anda perasan, cerita-cerita seram yang menakutkan sentiasa disesuaikan dengan budaya asal mereka.


Namun pada hari ini, standard kengerian semakin meningkat tinggi. Ini kerana para penonton filem seram sudah semakin tidak semakin tidak mudah untuk dikejutkan atau ditakutkan. Hal ini lebih sukar sekiranya penonton filem tersebut membesar di persekitaran yang sering terjadi kes bunuh, bunuh diri, pergaduhan, pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman lainnya.


Tanpa kita sedari, filem seram sedikit sebanyak menanam benih-benih imaginasi kegelapan didalam setiap yang menonton filem tersebut. Contohnya, bagi si A, seorang yang tidak pernah menonton filem seram, bilik yang gelap hanyalah bermaksud bilik tersebut tidak diterangi dengan cahaya lampu. Tapi bagi si B, seorang peminat filem seram, sebelum pun berfikir mengenai lampu, si B sudah mula mengimaginasi ada hantu-hantu yang bersembunyi di bawah katil, di belakang pintu, di siling, di jendela dan tempat-tempat lain. Dari manakah asal imaginasi-imaginasi ini? Dari filem-filem seram yang pernah ditontonnya!


Jadi, izinkan saya memberi 4 sebab mengapa orang-orang kristian tidak digalakkan untuk menonton filem-filem seram.


1. Filem seram memberi kesempatan untuk iblis bertapak dalam fikiran orang percaya


Pernahkah anda sukar untuk tidur kerana mengalami mimpi ngeri selepas menonton filem seram? Pernah anda mengalami rasa takut kepada perkara-perkara yang selama ini tidak menakutkan anda? Pernahkah anda perasan bagaimana imej-imej filem seram yang mengerikan dan menakutkan melekat di fikiran anda?


Nah, itu adalah salah satu cara untuk anda memberi tempat kepada iblis. Perlu diingat bahawa filem seram memberi inspirasi kepada emosi negatif dalam diri kita. Semasa kita menonton filem seram, kita sedang melayan pemikiran dan ideologi iblis, dan dari situlah iblis masuk dalam fikiran kita.


Bukan itu saja, kebanyakan filem seram yang ada saat ini menggambarkan sifat-sifat keduniawian manusia. Ada kekerasan, iri hati, percabulan, hawa nafsu, balas dendam dan hal-hal keduniawian yang lain yang ditampilkan dalam filem-filem seram yang ada dipasaran sekarang ini.


Setan itu licik. Dia akan memanfaatkan sekecil-kecil kelemahan yang kita ada. Jika kita lalai dengan dosa-dosa kecil dalam hidup kita, akhirnya kita akan menuai akibat yang lebih besar pada masa hadapan.


Filipi 4:8 berkata “Jadi akhirnya, saudara-saudara, semua yang benar, semua yang mulia, semua yang adil, semua yang suci, semua yang manis, semua yang sedap didengar, semua yang disebut kebajikan dan patut dipuji, pikirkanlah semuanya itu.”


Adakah anda memikirkan mengenai hal-hal yang dari Tuhan apabila anda menonton filem seram?


2. Filem seram memperkecilkan autoriti dan kuasa yang Yesus berikan kepada orang percaya


Sebagai orang Kristian, kita harus sedar bahawa "perjuangan kita bukanlah melawan darah dan daging, tetapi melawan pemerintah-pemerintah, melawan penguasa-penguasa, melawan penghulu-penghulu dunia yang gelap ini, melawan roh-roh jahat di udara." (Efesus 6:12).


Majoriti filem seram yang ada menunjukkan bagaimana iblis seolah-olah musuh yang sukar dikalahkan dalam nama Yesus. Yang banyak ditonjolkan dalam filem seram adalah usaha manusia dan kerjasama manusia dengan kuasa-kuasa lain untuk melawan hantu-hantu yang ada dalam filem seram tersebut. Ini jelas bertentangan dengan kebenaran firman Tuhan!


Tidak dinafikan bahawa ada juga filem-filem seram “kristian” seperti The Exorcist, The Exorcism of Emily Rose, The Conjuring dan The Nun yang memuatkan elemen-elemen kristian didalamnya namun setan-setan dan roh-roh jahat yang ada didalam filem tersebut memperlekehkan autoriti orang percaya yang mengusir setan dalam nama Yesus. Sepertinya hanya orang-orang tertentu, dengan objek-objek dan ritual-ritual tertentu saja yang dapat mengusir setan. Padahal Yesus berkata dalam Markus 16:17 bahawa kita orang percaya diberi kuasa untuk mengusir setan dalam nama-Nya! Kuasa ini tidak terbatas pada paderi, pastor atau pendeta sahaja!


Bayangkan apa yang akan difikirkan oleh orang-orang yang baru saja percaya kepada Yesus apabila mereka melihat kuasa iblis sukar dikalahkan oleh orang-orang kristian dalam filem tersebut.


3. Filem seram memuliakan Iblis


Tidak dinafikan, penerbit filem seram saling bersaing antara satu sama lain. Mereka cuba sedaya upaya menjadikan filem mereka lebih seram, lebih ganas dan serealistik yang mungkin. Itulah sebabnya kita melihat filem seram memaparkan sejumlah besar pembunuhan beramai-ramai, keganasan, jeritan, raungan dan pertumpahan darah. Dalam kata lain, lebih banyak darah, lebih banyak tangisan dan kesakitan, lebih baik.


Semasa kita menonton filem seram, kita tidak boleh menafikan fakta bahawa ia memuliakan semua perkara yang dimiliki iblis - keganasan, kejijikan, kematian, dan penderitaan. Filem seram lebih banyak memaparkan karakter dan pekerjaan iblis berbanding pekerjaan Tuhan.


Kita tahu bahawa pekerjaan iblis adalah "mencuri, membunuh dan membinasakan" (Yohanes 10:10). Jadi, melalui filem-filem seram, setan dan kuncu-kuncunya cuba mencuri benih firman Tuhan yang ada dalam hati kita, membunuh damai sejahtera yang ada dalam hati dan membinasakan segala hal-hal rohani yang sudah kita bangunkan selama ini. Akibatnya, ramai orang kristian tidak lagi berfokus kepada Tuhan, tetapi lebih berfokus kepada iblis.


4. Filem seram memenuhi fikiran kita dengan imej negatif dan hal-hal yang bertentangan dengan firman Tuhan


Kita membaca dalam Filipi 4:8: “Akhirnya, saudara-saudara, semua yang benar, semua yang mulia, semua yang adil, semua yang suci, semua yang manis, semua yang terpuji, semua yang patut dipuji, semua yang patut dipuji, fikirkanlah hal ini”


Adakah filem seram itu benar, mulia, adil, murni, indah, terpuji, cemerlang, atau patut dipuji? Jika kita jujur, jawapannya adalah TIDAK! Tahukah anda? 90 peratus daripada perkara yang masuk ke dalam fikiran kita melalui mata kita akan lebih kekal lama, dan ia akan berada di dalam otak kita untuk jangka masa yang panjang.


Filem seram mengandungi helah psikologi yang mencipta stress, ketegangan dan bahaya melalui imej, bunyi dan cerita yang sudah dimanipulasi oleh pengarah filem itu sendiri.


Walaupun otak anda sedar bahawa ancaman itu tidak benar (hanyalah filem), tubuh badan anda pada masa yang sama akan menganggap bahawa pengalaman tersebut seolah-olah benar! Hendaklah kita sedar bahawa menonton filem seram boleh mencetuskan pemikiran dan perasaan yang tidak diingini dan peningkatan tahap kebimbangan (anxiety) atau panik, malah meningkatkan kepekaan kita terhadap rangsangan yang mengejutkan. Ia juga akan menjadikan kita yang mudah cemas untuk lebih cenderung untuk bertindak balas secara negatif dan menyalahtafsirkan pengalamaan menonton filem seram sebagai ancaman sebenar.


Satu hal lagi, bagi peminat-peminat filem seram, tidak menghairankan sekiranya mereka tidak memiliki perasaan apa-apa sekiranya mereka melihat dihadapan mata mereka orang mati atau orang tercedera atau orang yang berlumuran darah kerana mereka sudah dilalikan oleh imej-imej seperti itu melalui filem-filem seram yang mereka tontoni. Dalam kata lain, peminat filem seram akan mungkin menjadi kurang sensitif dan lali dengan hal-hal yang mengerikan atau menakutkan. Bukankah Tuhan mahu kita menunjukkan belas kasihan, simpati dan empati kita kepada yang memerlukan?


Jika kita ingin mengisi fikiran kita dengan fikiran Tuhan, maka filem seram tidak sepatutnya ada di dalam senarai kita!


Budaya popular pada hari ini sering menggambarkan iblis dalam bentuk yang mengerikan. Ini termasuk taring yang panjang, kuku yang tajam, wanita rambut panjang berbaju putih, dan sebagainya. Ada juga roh-roh jahat yang digambarkan sebagai bayang-bayang atau hantu-hantu yang menjelma mengikut konteks budaya tempatan. Ingin saya katakan bahawa tiada satu pun penampilan atau imej-imej hantu-hantu ini mempunyai asas alkitabiah sama sekali.


Sebenarnya, alkitab tidak pernah menggambarkan secara fizikal mana-mana malaikat yang telah jatuh. Seperti malaikat, setan, iblis dan roh-roh jahat yang lain adalah makhluk roh yang mempunyai pengaruh ke atas roh manusia, jadi mereka tidak mungkin mempunyai rupa fizikal yang spesifik. Saya percaya iblis tidak mungkin dapat menggoda manusia untuk jatuh dalam dosa sekiranya ia menampilkan diri dengan imej yang menyeramkan. Sebaliknya, banyak orang Kristian yang jatuh dalam dosa dan meninggalkan Yesus kerana tertarik dengan “perkara-perkara baik” yang ditawarkan oleh iblis.


Mengingatkan saya ayat firman Tuhan dalam Kejadian 3:6 “Perempuan itu melihat, bahwa buah pohon itu baik untuk dimakan dan sedap kelihatannya, lagipula pohon itu menarik hati karena memberi pengertian…”. Anda mungkin berhenti dari menonton filem seram setelah membaca artikel ini, namun ingat, setan akan menggoda kita dengan penampilannya yang menarik hati kita, bukan dengan wajah-wajah yang seram. Hal ini yang membuatkan kita harus lebih berhati-hati.


Oleh itu “...tunduklah kepada Allah, dan lawanlah Iblis, maka ia akan lari daripadamu! Mendekatlah kepada Allah dan Ia akan mendekat kepadamu.” Yakobus 4:7-8.


Tuhan memberkati!

Oleh Pr Wagner Daniel

bottom of page