top of page

Bolehkah Saya Mendengar Lagu Duniawi?



Mungkin ramai yang mengetahui tentang kewujudan acara muzik sekular iaitu anugerah Grammy (Grammys) yang selalu diadakan setiap tahun. Grammys, adalah anugerah yang disampaikan oleh Akademi Rakaman Amerika Syarikat untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri muzik. Ramai orang menganggap Grammy sebagai anugerah paling berprestij dan penting dalam industri muzik di seluruh dunia.


Sebagai acara sekular, Grammys sudah sedia maklum akan pasti mempromosikan hal-hal duniawi dan itu adalah sesuatu yang kita sebagai orang Kristian, sudah sedia maklum.


Namun saya ingin respon kepada kontroversi yang terjadi pada Grammys 2023 dimana seorang penyanyi terkenal dan teman duetnya, memenangi Grammy Duo Pop/Persembahan Kumpulan Terbaik untuk lagu mereka ‘Unholy’ (Tidak Kudus). Persembahan bintang pop dan teman duetnya bagi lagu mereka "Unholy" mendapat reaksi yang paling banyak.


Lagu Unholy yang mereka persembahkan itu berbicara mengenai seorang bapa curang terhadap isterinya dengan seorang pelacur. Dari tajuk lagu saja kita sudah tahu lagu ini memang bersifat duniawi dan bukan untuk didengar oleh orang Kristian, apalagi anak-anak muda. Apa yang menarik adalah pakaian dan tema persembahan mereka pada malam tersebut, dimana mereka mengenakan pakaian yang melambangkan unsur-unsur kegelapan khususnya imej setan yang ditonjolkan oleh mereka berdua sepanjang persembahan.


Memang mudah untuk melihat persembahan mereka sebagai duniawi —dalam erti kata yang sebenarnya—mesej dan nilai yang ingin mereka tonjolkan di sebalik persembahan mereka adalah sama seperti "syaitan". Bagi orang kristian, kita mungkin tidak terpengaruh dengan fesyen atau penampilan mereka namun kita harus berhati-hati kerana ideologi yang mereka sampaikan mungkin akan masuk ke dalam fikiran kita dan komuniti kita jika kita tidak berhati-hati.


Dua hal yang saya ingin sampaikan di sini. Pertama, kenali dan fahami maksud keduniawian. Jangan hanya batasi keduniawan dari konteks muzik dan persembahan di pentas atau di media sosial sahaja. Dalam Kolose 3:5-6, Paulus menulis “matikanlah dalam dirimu segala yang bersifat dunia (duniawi): perbuatan cabul, kecemaran, hawa nafsu, keinginan jahat dan tamak haloba, yang sama dengan menyembah berhala. Disebabkan semua inilah kemurkaan Allah akan menimpa anak-anak derhaka.”


Di sini kita lihat bahawa hal-hal duniawi tidak hanya terbatas pada dunia hiburan sahaja. Banyak lagi hal-hal dipersekitaran kita yang mempromosikan keduniawian. Kita harus sangat berhati-hati dengan sesuatu yang kelihatan “baik” di luar namun penuh dengan sifat keduniawian didalamnya.


Paulus sendiri memberitahu kepada jemaat di Korintus “…Iblis sendiri menyamar sebagai malaikat cahaya. Oleh itu, bukanlah suatu hal yang menakjubkan jika pelayan-pelayannya menyamar sebagai pelayan-pelayan yang benar.” 2 Korintus 11:14-15


Kedua, kita harus sedar bahawa iblis berusaha untuk ‘normalize’ (menormalkan) dosa dan segala hal-hal yang membawa kepada dosa. Sebagai seorang yang pernah menjadi pemusik profesional lebih dari 15 tahun, saya melihat ramai orang Kristian menganggap bahawa cara berpakaian, menyanyikan lagu-lagu tertentu, menyokong gaya hidup dan pendapat-pendapat dari artis dunia itu diperbolehkan dan mereka tidak melihat apa-apa masalah dalam hal tersebut. Ini adalah sesuatu yang menakutkan kerana saya sendiri melihat bagaimana dalam diam-diam, senikata lagu duniawi yang mereka hafal dan nyanyikan itu perlahan-lahan masuk ke dalam fikiran mereka sehingga itu dimanifestasikan dalam kehidupan seharian mereka, termasuklah dalam cara berpakaian mereka.


Tidak kurang ramai orang kristian, khususnya di negara-negara barat, yang melihat persembahan kedua penyanyi terkenal tersebut sebagai berani terbuka dan memperjuangkan hak kebebasan individu. Ramai yang menganggap bahawa persembahan mereka di Grammys adalah sesuatu yang “biasa” (sebab mereka tidak kenal Tuhan) namun yang penting mereka (penyanyi tersebut) memiliki hati yang baik. Mereka berjuang untuk mempertahankan gaya hidup dan komuniti LGBTQ mereka. Pemikiran seperti ini jelas salah kerana Tuhan sendiri melarang kita untuk berkompromi dengan dosa. Terutamanya dalam fikiran kita.


Pertanyaan untuk kita semua, adakah tanpa kita sedari, kita sudah menormalkan dosa dalam kehidupan sehari-hari? Mungkin kita tidak berpakaian seperti Smith & Petras, mungkin kita tidak menjalani hidup seperti mereka berdua namun iblis boleh saja mempengaruhi kita bila kita tanpa sedari atau dengan sengaja, memberi peluang kepada perbuatan cabul, hawa nafsu, ketamakan dan penyembahan berhala untuk masuk kedalam hati dan fikiran kita. Berhati-hati dengan tipu muslihat iblis ini!


Melarang anak-anak muda dari mendengar lagu-lagu penyanyi tersebut dan lagu-lagu yang bersifat duniawi yang lain hanyalah salah satu cara untuk menangani serangan iblis. Namun apa yang penting, kita sebagai orang percayai harus dilengkapi dengan kebenaran firman Tuhan, dikelilingi dengan komuniti orang percaya dan digembalakan oleh pastor di gereja lokal kita masing-masing.


Sebagai penutup, 1 Petrus 5:8 “Kawallah dirimu dan berwaspadalah, kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa.” Iblis akan menggunakan banyak cara untuk mempengaruhi anak-anak Tuhan. Dunia hiburan hanyalah salah satu daripadanya. Persiapkanlah diri kita dan gereja kita untuk melawan segala bentuk tipu muslihat iblis dalam kehidupan sehari-hari.

Penulis : Pr Wagner Daniel


bottom of page