Matius 6:5-15 (AVB)
5 "Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapatkan ganjaran mereka. 6 Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu.
7 Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. 8 Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.
9 Berdoalah demikian:
'Ya Bapa kami yang di syurga,
sucilah nama-Mu.
10 Datanglah kerajaan-Mu.
Terlaksanalah kehendak-Mu
di bumi sebagaimana di syurga.
11 Berilah kami makanan untuk hari ini.
12 Ampunkanlah kesalahan kami
sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.
13 Janganlah biarkan kami tergoda,
tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat.
Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.'
14 Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. 15 Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu."
Ayat 13
13 Janganlah biarkan kami tergoda,
tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat.
Dunia ini penuh dengan kejahatan, kegelapan dan godaan kerana iblis telah diizinkan berkuasa ke atas bumi ini untuk sementara waktu. Oleh sebab itu, selagi kita hidup di bumi ini, kita akan menghadapi bermacam-macam godaan, serangan dan tarikan khususnya daripada tiga punca utama iaitu nafsu seks, ketamakan kebendaan atau kewangan dan kegilaan kuasa serta keangkuhan.
Itulah sebabnya, Tuhan Yesus mengajar pengikutNya berdoa kepada Allah Bapa supaya mereka terlindung dan selamat daripada godaan dan serangan daripada yang disebabkan oleh si Penjahat. Tuhan Yesus sangat sedar hal ini kerana Dia sendiri yang telah digodai oleh Iblis semasa Dia di padang gurun pada permulaan pelayananNya.
Ancaman ini begitu besar dan hebat sehingga bukan sahaja Dia mengajar pengikutNya berdoa untuk perlindungan dari Iblis, Dia sendiri telah mendoakan mereka untuk perkara ini di dalam doaNya kepada Allah Bapa yang terakhir dibumi sebelum Dia pulang ke syurga
Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu. 12Sepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa kecuali anak kebinasaan itu supaya terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci. 13Sekarang Aku akan datang kepada-Mu. Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya. 14Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan dari dunia ini. 15Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku mmohon semoga Engkau melindungi mereka daripada si durjana.
Yohanes 17:11-15
Oleh itu, kita sebagai anak Allah dan lebih lebih lagi antara kita yang ada panggilan sebagai hamba Allah, kita harus berwaspada dan berjaga jaga terhadap tipu muslihat Iblis. Dia sentiasa mencari peluang untuk melemahkan iman kita, merosakkan kesaksian kita dan meruntuhkan pelayanan kita melalui godaan, tarikan ataupun serangan
Doa
Allah Bapa,
aku sedar aku lemah di dalam daging dan iblis sentiasa mencari peluang untuk melemahkan aku dan menjatuhkan aku dengan berbagai helah dan cara.
Engkau memelihara aku dan memberi aku kekuatan dan hikmahMu untuk menyedari, menghadapi dan menangi serangan dan godaan si iblis.
Engkau melindungi aku dari anak anak panah berapi yang dikirim oleh iblis terhadap aku dan keluargaku dan pelayananku.
Engkau menguatkan aku dan mengajar aku memakai selengkap senjata Allah supaya aku dapat bertahan, berdiri dan melawan tipu daya Iblis.
Dalam Nama Tuhan yesus, Amin.
Pr. Lam Kee Hing
Comments