top of page

Mengapa Kamu Takut Dan Hati Kamu Ragu-Ragu?

  • 2 days ago
  • 2 min read

 

Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu?” Lukas 24:38 AVB

 

Kedua-dua orang murid Yesus itu kembali ke Yerusalem dari Emaus. Mereka pun menceritakan kepada sebelas rasul dan pengikut yang lain apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Yesus semasa Dia membahagikan roti. Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Yesus sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, “Damai sejahtera kepada kamu!”

 

Mereka semua sangat terkejut dan ketakutan kerana mereka menyangka bahawa yang muncul di hadapan mereka itu ialah hantu. Akan tetapi, Yesus berkata kepada mereka, “Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu? Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.”

 

Walaupun Yesus menunjukkan tangan dan kaki-Nya yang cedera, mereka masih lagi tidak dapat percaya kepada-Nya kerana mereka terlalu gembira dan takjub. Oleh itu, Yesus bertanya kepada mereka sama ada mereka mempunyai makanan di situ. Lalu mereka memberikan sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya. Yesus mengambil ikan itu dan makannya di hadapan mereka. Hantu tidaklah makan. Barulah mereka tahu bahawa Dia sesungguhnya Yesus.

 

Bagaimanakah dengan diri kita hari ini? Apakah yang menyebabkan diri kita takut dan ragu-ragu terhadap hadirat Yesus dalam hidup kita pada hari ini? Apakah kita masih ragu-ragu dan takut untuk mengatakan bahawa Dia yang sentiasa menolong dan membimbing kita selain bercakap kepada kita melalui firman-Nya ialah Yesus. Marilah kita membiarkan Roh Kudus untuk mengendalikan hidup kita agar kita menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan Yesus. Takut dan ragu-ragu akan hadirat-Nya mendukakan hati-Nya.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana memberi aku damai sejahtera. Penuhilah hatiku dengan kebenaran firman-Mu agar dalam segala perkara aku akan mengenal apa yang datang daripada-Mu dan apa yang bukan daripada-Mu. Ajarlah aku untuk tidak mendukakan-Mu dan mentaati kehendak-Mu bagi hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page