top of page

Doa Sebagai Pengistiharaan


Matius 6:5-15 (AVB)

5 "Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapatkan ganjaran mereka. 6 Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu.

7 Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. 8 Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.

9 Berdoalah demikian:

'Ya Bapa kami yang di syurga,

sucilah nama-Mu.

10 Datanglah kerajaan-Mu.

Terlaksanalah kehendak-Mu

di bumi sebagaimana di syurga.

11 Berilah kami makanan untuk hari ini.

12 Ampunkanlah kesalahan kami

sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.

13 Janganlah biarkan kami tergoda,

tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat.

Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.'

14 Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. 15 Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu."


Ayat 10

10 Datanglah kerajaan-Mu.

Terlaksanalah kehendak-Mu

di bumi sebagaimana di syurga.

Kebanyakan orang Kristian mengaitkan doa sebagai datang kepada Allah hanya untuk mengajukan permintaan untuk sesuatu keperluan atau keadaan. Sebenarnya, meminta merupakan hanya satu aspek dalam doa. Di dalam ayat 10 di dalam renungan kita hari ini, Tuhan Yesus mengajar pengikutNya bahawa satu aspek penting di dalam doa ialah pengistiharan. Dia mengajar mereka untuk sentiasa mengistiharkan bahawa apa yang terdapat di syurga dan apa yang telah ditentukan oleh Allah Bapa kita di syurga juga akan terlaksana di bumi. Itulah rencana Tuhan yang paling dasar. Dan sebagai pengikut Tuhan Yesus dan sebagai anak Allah peranan kita adalah menyatakan Kerajaan Allah di bumi ini dengan pimpinan dan pertolongan Roh Kudus

Pengistiharan ini dalam doa hanya dapat dinyatakan jika kita tahu kehendak dan rencana Allah Bapa bagi peribadi, keluarga, kota, negara dan dunia kita. Oleh itu, kita perlu sangat peka dan semakin jelas mengenai kehendak Allah Bapa kita. Dia menunjukkan kehendakNya kepada kita melalui pelbagai cara termasuk FirmanNya, wahyu, nubuatan, visi, mimpi, hikmah ilahi dan lain lain.

Yang amat penting ialah kita tahu kehendakNya dan berusaha melakukannya dengan pimpinan, kekuatan dan hikmah yang DiberikanNya melalui pimpinan dan pertolongan Roh Kudus.

Oleh itu, kita perlu sedar mengenai dua perkara yang sering di salahlakukan oleh orang Kristian apabila kita berdoa.

Pertama, Kita minta Allah Bapa untuk memberkati kehendak kita . Dalam lain kata, kita membuat rancangan kita samada untuk peribadi, keluarga kita atau gereja kita tanpa berdoa atau merujuk kepada Dia. Kemudian bila kita sudah siap merancangkan segala, barulah kita datang kepada Dia dan meminta Dia bersetuju dan memberkati rancangan kita!

Kedua, kita lebih minat membangunkan rancangan kita lebih daripada Kerajaan Allah. Ini dinyatakan apabila kita asyik mempromosikan, membesarkan, meluaskan pelayanan kita, Kita enggan dan tidak berminat bergabung atau bekerjasama dengan pelayanan, gereja atau denominasi lain untuk menjalankan projek di dalam kampong, daerah atau kota yang sama atau mengongsikan sumber sumber. Malah kita seringkali bersaing dengan satu sama lain tetapi pada masa yang sama mengaku kita adalah satu keluarga Allah!

Saya menjemput saudara untuk mulai mengistiharkan bahawa

  • tembok tembok antara gereja serta antara denominasi akan diruntuhkan

  • jambatan persahabatan antara pemimpin dan jemaat semua gereja akan dibina di setiap kampong, Kawasan dan kota

  • persaingan anatara gereja dan denominasi akan dihapuskan dan digantikan dengan Kerjasama yang saling menguntungkan.

  • pemimpin pemimpin gereja dan denominasi akan benar benar ingin memajukan kerajaan Allah dan kehendak Allah daripada kehendak mereka atau gereja mereka sendiri


Doa

Allah Bapa,

Ampunilah aku dan pemimpin serta jemaat gerejaku dan denominasiku kerana lebih mengutamakan kehendak kami dan rancangan kami sendiri daripada mengutamakan kehendakMu dan kerajaanMu.


Aku mengistiharkan keruntuhan segala tembok tembok yang masih wujud antara gereja dan denominasi di kawasan dan kota aku diruntuhkan dalam nama Tuhan Yesus.


Aku mengistiharkan jambatan jambatan semakin dibina antara semua pemimpin dan jemaat di semua gereja di kawasan dan kota aku.


Aku mengitiharkan pengampunan dan kesembuhan mulai mengalir dan terjadi antara pemimpin dan jemaat antara gereja dan di dalam setiap gereja dan denominasi.


Aku ingin supaya kehendakMU bagi hidupku dan keluargaku akan digenapi di dalam hidupku sepanjang perjalananku di bumi ini.


Dalam nama Tuhan Yesus, Amin.


Pr. Lam Kee Hing

Commentaires


bottom of page