
Ezra 5: 1A Maka bernubuatlah dua orang nabi, iaitu Nabi Hagai dan Nabi Zakharia anak Ido, kepada orang Yahudi yang tinggal di Yehuda dan di Yerusalem dengan nama Allah Israel, yang menaungi mereka. 2BLalu bangkitlah Zerubabel anak Sealtiel dan Yesua anak Yozadak untuk memulakan pembinaan semula Rumah Allah di Yerusalem. Mereka disertai dan disokong oleh kedua-dua orang nabi Allah itu.
Pada ketika orang Israel sangat dilemahkan oleh tekanan daripada musuh-musuh mereka sehingga mereka tidak berdaya selama 16 tahun. Tuhan bangkitkan dua orang nabi untuk memulihkan semangat mereka yang telah patah.
Hagai 1: 1A… datanglah firman Tuhan menerusi Nabi Hagai sebagai perantaraan kepada pembesar negeri Yehuda iaitu Zerubabel anak Sealtiel, dan kepada imam besar iaitu Yosua anak Yozadak seperti begini:
2"Beginilah firman Tuhan alam semesta: Bangsa ini berkata: Sekarang belum lagi waktu untuk membina semula Bait Tuhan!" 3Maka datanglah firman Tuhan dengan perantaraan Nabi Hagai: 4"Sudah tibakah waktunya kamu mendiami rumah-rumah yang berpapan dengan baik walhal Bait ini terus usang dan terbiar dalam kerosakan?
Tuhan menegur umat Israel dengan tegas melalui hamba-Nya nabi Hagai pada bulan ke-6, bahwa keadaan ekonomi mereka yang sangat merosot pada ketika itu adalah kerana mereka takut melaksanakan tugas yang Tuhan amanahkan untuk diselesaikan, iaitu menyiapkan pembangunan bait Tuhan. Ini menyebabkan mereka tidak diberkati dalam segala hal. Mereka hanya sibuk membangun rumah dan usaha sendiri namun mengabaikan rumah ibadah itu.
Zakharia 1: 3Oleh sebab itu katakanlah kepada bangsa ini: Beginilah firman Tuhan alam semesta, 'Kembalilah kepada-Ku,' demikianlah firman Tuhan, 'maka Aku akan kembali kepadamu,' firman Tuhan alam semesta.
Namun pada bulan ke-8, Tuhan sekali lagi menjemput mereka untuk bertaubat melalui penglihatan-penglihatan nabi Zakharia tentang betapa Tuhan sangat serius dengan mereka. Dengan meyakinkan mereka bahawa mata-Nya tertuju kepada mereka dan sekali lagi ingin berbelas kasihan atas mereka walaupun mereka telah melawan Dia.
Bahkan Tuhan juga memulihkan jawatan Imam Besar itu kepada Yosua Anak Yozadak. Walaupun dia cuba dituduh oleh iblis di hadapan Bapa. Namun Anugerah Tuhan lebih besar atas umat pilihan-Nya.
Zakharia 3: 4Lalu malaikat itu bersabda kepada mereka yang berdiri di hadapannya, "Tanggalkanlah pakaian yang kotor itu daripadanya."
Dia bersabda pula kepada Yosua, "Lihat, aku telah menjauhkan kesalahanmu, dan aku akan mengenakan pakaian pesta kepadamu."
Mujizat yang terjadi juga adalah tuduhan musuh mereka Tuhan balikkan menjadi berkat yang besar terhadap mereka.
Ezra 5: 17Sekarang, jika diperkenan oleh Raja, adakanlah suatu carian di dalam perbendaharaan diraja di Babel, sama ada Raja Kores pernah memberikan perintah untuk membina semula Rumah Allah di Yerusalem itu. Kemudian sudilah Raja menyampaikan kehendaknya tentang hal tersebut kepada kami."
Ezra 6:12Semoga Allah, yang telah membuat nama-Nya bersemayam di sana, menjatuhkan mana-mana raja atau orang yang mengingkari perintah ini dan menghancurkan Rumah Allah di Yerusalem itu. Aku, Darius, memberikan perintah ini. Hendaklah perintah ini dilaksanakan tepat mengikut setiap perkataannya."
Ini adalah menyatakan bagaimana Allah campurtangan dalam apa yang Ia arahkan untuk dilaksanakan.
Sedarkah kita hari ini bahawa Tuhan amat serius dengan pemulihan umat Tuhan dibangsa ini? Mata-Nya tertuju kepada kita.
DOA: Terima kasih Bapa untuk Anak-Mu Yesus yang Kau utus untuk menjadi pembela kami dihadapan penguasa dunia ini. Ketika kami meresponi Engkau dengan bertobat dan kembali melakukan perintah-Mu, maka kami tahu bahwa tiada sebarang kuasa yang dapat menghentikan kami bahkan, pembenaran-Mu itulah jaminan kami. Kami percaya bahwa mata-Mu menjelajah seluruh bumi melihat dan menilai kehidupan umat-Mu. Jamin kami tetap setia dalam Mu. Dalam nama Yesus, Amen.
Tuhan Memberkati,
Pr. Linda Misak
Comments