top of page

Hati yang Bebas Daripada Motif Jahat

ree

“Malangnya kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lain.Lukas 11:42 AVB

 

Yesus menegur orang Farisi bukan atas sikap mereka yang sangat teliti  membayar sepersepuluh tetapi atas sikap mereka yang tidak menghiraukan kasih kepada Allah dan keadilan serta kasih  kepada sesama manusia.

 

Maka Yesus pun berkata kepada mereka, “Malangnya kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lain.” Sebenarnya, orang Farisi tidak mematuhi ajaran  Taurat yang benar-benar penting, seperti keadilan, belas kasihan dan kesetiaan. Mereka harus mengerjakan semua ini tanpa melalaikan ajaran yang lain.

 

Membayar sepersepuluh secara terperinci bukanlah sebab orang Farisi ditegur, kerana membayar sepersepuluh merupakan satu ketetapan yang memang harus dilakukan oleh mereka. Jadi, mereka dikecam  kerana mereka mahu memperoleh nama  baik sebagai pelaksana hukum Taurat yang ketat dan juga untuk mendapat sokongan daripada para imam.

 

Tegasnya, apa yang dituntut  daripada setiap kita ialah  hati yang benar di hadapan Allah. Sungguhpun persembahan sepersepuluh kepada-Nya  merupakan ibadat, apa yang lebih lagi diperkenan Allah ialah hati yang bebas daripada motif yang berpusat pada diri sendiri. Kita harus menumpukan perhatian  untuk memuliakan Allah dan bukan seperti orang Farisi yang membayar sepersepuluh mereka kerana ingin memperkukuh kedudukan masing-masing dalam masyarakat.

 

Oleh itu, marilah kita melakukan segala-galanya dengan hati yang benar dan suci….

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, berilah aku  hati yang bebas daripada segala motif yang tidak baik. Ajarlah aku untuk melakukan segala perkara dengan motif yang menyenangkan hati-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page