Hidup dengan Rendah Hati, Jangan Angkat Diri
- Komuniti Digital 05
- 4 days ago
- 1 min read

Tetapi dia (ahli Taurat) hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Yesus, “Siapakah sesama manusia itu?” Lukas 10:29 AVB
Seorang ahli Taurat datang kepada Tuhan Yesus untuk mengajukan satu pertanyaan kepada-Nya. Sebenarnya, dia bertujuan untuk menyatakan bahawa dirinya itu seorang yang benar. Oleh itu, dia berkata kepada Tuhan Yesus, “Siapakah sesama manusia itu?”
Dia mengemukakan soalan itu kepada Tuhan Yesus kerana dia mahu menyatakan kepada orang lain tentang kebaikan dirinya. Pada masa yang sama kekurangan atau keburukan orang lain akan tersingkap. Hal itulah yang diinginkan oleh ahli Taurat tersebut. Dia mahu orang lain tahu bahawa dia seorang yang baik dan benar.
Itulah sebabnya dia siap sedia menjawab soalan Tuhan Yesus untuk menunjukkan bahawa dia mengetahui apa yang tersurat di dalam Alkitab. Dengan itu, orang lain akan melihat bahawa dia seorang yang mengetahui perintah-perintah Allah yang ada di dalam Alkitab. Sayangnya, mengetahui apa yang tercatat di dalam Alkitab tidak bermaksud bahawa seseorang itu semestinya benar. Apa yang lebih penting ialah sama ada perintah Allah dipatuhi dalam hidup seseorang melalui perbuatannya.
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Mengetahui apa yang tercatat di dalam Alkitab tidaklah menjadikan kita orang yang benar, tetapi hukum dan perintah Allah hendaklah ditaati dalam hidup kita melalui tindak-tanduk kita.
“Sebagai orang yang sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan Yesus, kita tidak perlu berkata bahawa kita ini orang baik atau benar tetapi biarlah hidup kita yang berkata bagi pihak diri kita.”
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk sentiasa merendahkan hati menurut bimbingan-Mu. Biarlah hidupku sentiasa memperlihatkan Engkau kepada orang lain supaya nama-Mu diagungkan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments