Teks
Hakim-Hakim 17:2-4 (BM)
Pada suatu hari dia berkata kepada ibunya, "Ketika orang mencuri 1,100 keping wang perak mak dahulu, saya mendengar mak mengutuk pencuri itu. Sayalah yang mencuri perak itu. Saya masih menyimpannya." Ibunya berkata, "Semoga engkau diberkati TUHAN, anakku!" Mikha mengembalikan perak itu kepada ibunya. Maka ibunya berkata lagi, "Supaya engkau, anakku tidak kena kutuk yang aku ucapkan dahulu, aku mempersembahkan perak ini kepada TUHAN. Perak ini akan digunakan untuk menyalut patung berhala daripada kayu. Aku akan mengembalikan perak itu kepadamu." Selepas Mikha mengembalikan perak itu kepada ibunya, ibunya mengambil dua ratus keping lalu memberikannya kepada seorang tukang perak. Dia menyuruh tukang itu membuat sebuah patung berhala daripada kayu lalu menyalutnya dengan perak itu. Kemudian patung itu ditempatkan di rumah Mikha.
Pengajaran/Refleksi
Ibu Mikha pernah mengutuki pencuri yang mengambil wang peraknya sebanyak 1,100 keping, tetapi tidak mengetahui bahawa anaknya sendiri, Mikha, adalah pencurinya.
Setelah Mikha mengaku, ibunya menyesal kerana telah mengutuki anaknya sendiri dan berusaha membetulkan keadaannya dengan mempersembahkan perak itu kepada Tuhan. Namun, dia juga menggunakan perak tersebut untuk menyalut patung berhala.
Firman Tuhan ini mengajar kita untuk berhati-hati sebelum kita bertindak terburu-buru, terutama dalam mengucapkan kata-kata yang negatif atau kutukan tanpa memahami keadaan sebenarnya.
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami. Kiranya Engkau mengajar dan memberkati setiap umat-Mu di mana saja kami berada. Dengarkan seruan kami ya TUHAN untuk kemuliaan bagi nama-Mu. Haleluyah dan Amen.
Rev. Ali Langgit
コメント