top of page

Jangan Marah Apabila Saudaramu yang Bertaubat Menerima Layanan Istimewa

ree

“Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia.” Lukas 15:28 AVB

 

Semasa si bapa dan seisi keluarga bersuka ria, anak sulung sedang bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari.  Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, ‘‘Apakah yang sedang berlaku ini?’’   Hamba itu menjawab, ‘‘Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.’’  

 

Apabila anak sulung mendengar bahawa adiknya sudah kembali dari negeri yang jauh dan bapanya mengadakan jamuan besar-besaran untuk menyambut kepulangan adiknya,  dia menjadi sangat marah sehingga dia tidak mahu untuk masuk ke dalam rumah. Anak sulung menganggap bapanya tidak adil terhadap dirinya. Dia pun mula bersungut dan merajuk terhadap ayahnya kerana naik angin dan iri hati. 

 

Bapanya pun keluar lalu memujuk dia.  Anak sulung itu berkata, ‘‘Tengoklah, bertahun-tahun aku bekerja untuk ayah. Aku tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada aku supaya aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku.  Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya!’’ 

 

Akan tetapi, si bapa berkata kepadanya, ‘‘Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu.  Kita patut bersuka ria kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemukan kembali. ”

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Apabila kita melihat atau mengetahui bahawa seorang saudara kita bertaubat daripada dosanya lalu kembali kepada Allah dan menerima berkat, apakah respons kita? Janganlah kita cepat marah dan bersikap angkuh seperti anak sulung dalam ibarat Yesus. Dia bukan sahaja tidak mempedulikan dan mengasihi adiknya tetapi juga tidak dapat mengampuni adiknya yang sudah insaf serta bertaubat. Marilah kita menunjukkan belas kasihan dan kasih kurnia kepada orang lain sebagaimana Allah telah melimpahkan belas kasihan dan kasih kurnia kepada kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ampunilah aku sekiranya aku menaruh perasaan yang tidak baik terhadap mereka yang bertaubat daripada dosa mereka. Ajarlah aku untuk menerima mereka sebagaimana Engkau menerima dan menyambut mereka. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. 


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page