top of page

Jangan Ukur Nilai Diri Daripada Penghargaan Manusia

2 days ago
2 min read

Dalam dunia bola sepak, seorang pengurus boleh diangkat sebagai wira hari ini, tetapi disingkirkan pada keesokan harinya. Segala usaha, pengorbanan dan kejayaan yang pernah dicapai seolah-olah hilang nilainya apabila keputusan tidak lagi memenuhi harapan.


Lihat sahaja bagaimana Michael Carrick, yang dibawa masuk pada penghujung musim lalu, berjaya mempamerkan prestasi yang begitu memberangsangkan sehingga mendapat pujian daripada para fans. Malah, ada yang berkata, "Kalau Carrick jadi manager dari awal, confirm king MU di atas!" Tentang prestasi MU musim ini, tidak perlulah saya mengulas panjang.


Namun, di sebalik dunia bola sepak ini, terselit satu pengajaran tentang kehidupan.


Dunia sering menilai manusia berdasarkan prestasi, pencapaian, pangkat dan kedudukan. Selagi kita mampu memberikan hasil, kita dihargai. Selagi kita memenuhi harapan, kita dipuji. Namun, apabila kita gagal atau tidak lagi mampu memberikan apa yang diharapkan, segala sumbangan dan pengorbanan kita dilupakan begitu saja.


Begitulah realiti kehidupan, kan?


Namun, sebagai orang Kristian, kita perlu berpegang kepada satu kebenaran yang jauh lebih besar:


Nilai diri kita tidak ditentukan oleh jawatan yang kita sandang, kejayaan yang kita capai, pujian yang kita terima, mahupun penerimaan manusia terhadap kita.


Manusia boleh berubah hati. Kepercayaan boleh ditarik balik. Penghargaan boleh hilang sekelip mata. Tetapi kasih Tuhan terhadap kita tidak bergantung pada prestasi atau pencapaian kita.


Dunia melihat apa yang mampu kita hasilkan, tetapi Tuhan mengasihi kita bahkan ketika kita belum layak menerima kasih-Nya.


Betapa besarnya kasih Tuhan! Kasih yang tidak perlu kita beli dengan kejayaan, dan tidak akan hilang hanya kerana kegagalan.


Seburuk mana pun keadaan kita hari ini, sejauh mana pun kita telah tersasar, tangan Tuhan tetap terbuka untuk menerima kita kembali. Seperti perumpamaan anak yang hilang dalam Lukas 15:11–32, kasih seorang bapa tidak terpadam hanya kerana kesilapan anaknya.


Kegagalan bukanlah bukti bahawa Tuhan telah meninggalkan kita. Ada kalanya, pintu yang tertutup bukanlah pengakhiran perjalanan, tetapi permulaan kepada sesuatu yang sedang Tuhan kerjakan dalam kehidupan kita. Walaupun kita tidak selalu memahami rancangan-Nya, kita boleh terus percaya kepada kesetiaan-Nya.


Maka dengan itu, sangat penting untuk kita mengenali dan memahami identiti sebenar kita di dalam Kristus kerana nilai terbesar dalam hidup ini bukanlah apabila dunia mengangkat kita sebagai seseorang yang hebat, tetapi apabila kita menyedari bahawa sekalipun dunia tidak lagi memandang kita, kita tetap berharga di mata Tuhan.


Oleh: Pr. Edmund Kumar

Sumber: Facebook@Edmund Kumar@Renungan

Comments


bottom of page