Janganlah Munafik
- Komuniti Digital 05
- 1 day ago
- 1 min read

Tuhan menjawab, “Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat?” Lukas 13:15 AVB
Setelah Tuhan Yesus mendengar kata-kata ketua saumaah yang sangat marah menyaksikan perempuan yang sakit selama 18 tahun disembuhkan-Nya pada hari Sabat, Dia pun menjawab, “Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat?
Walaupun ketua saumaah itu tidak memberitahu Yesus sebab sebenar dia sangat marah, namun Yesus mengetahui isi hatinya. Yesus tahu bahawa dia benar-benar memusuhi diri-Nya dan Injil-Nya. Dengan itu, ketua saumaah itu berpura-pura memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang menjaga kesucian hari Sabat. Tidak dinafikan bahawa kata-katanya itu hanyalah bertujuan menopengi kebenciannya terhadap Yesus.
Sebenarnya ketua saumaah itu bukan mahu orang yang sakit disembuhkan pada hari yang lain, tetapi dia hanya tidak mahu melihat orang yang sakit disembuhkan oleh Yesus. Dia mempersoalkan hari Yesus menyembuhkan orang sakit pada hari Sabat itu hanya atas muslihatnya untuk mencari kesalahan Yesus.
Dengan itu, Yesus menyingkap masalah yang dihadapinya pada saat itu, bukan kerana hari Sabat Yesus menyembuhkan orang sakit tetapi niat jahatnya terhadap Yesus. Sebab sekiranya dia betul-betul ingin memelihara hari Sabat, mengapakah dia tidak melarang orang Yahudi, termasuk dia sendiri yang membawa haiwan ternakan mereka untuk pergi minum pada hari Sabat? Bukankah dia lebih-lebih lagi patut menunjukkan belas kasihan kepada seorang manusia yang menderita sebegitu lama?
Oleh itu, janganlah kita berpura-pura melakukan atau menyatakan sesuatu dengan tujuan untuk menutupi kekurangan atau kesalahan kita sendiri. Biarlah kita menyalurkan kasih sayang dan belas kasihan kepada orang yang ada keperluan tertentu dan bukannya mengikut hukum tertentu secara membuta tuli.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk berkata benar tanpa berselindung kepada sesiapa pun dan sentiasa merendahkan diri di hadapan-Mu. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu yang benar agar hidupku memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments