Kasih Allah Melampaui Segala-galanya
- Komuniti Digital 05
- Oct 6
- 1 min read

“Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya.” Lukas 15:20b AVB
Anak bongsu memang sangat melukakan hati bapanya dengan tindak-tanduknya. Akan tetapi, apabila anak bongsu itu menyedari dosanya dan kembali kepada bapanya, si bapa dengan penuh belas kasihan menyambut kepulangan anaknya. Dari jauh lagi sewaktu si bapa melihat anaknya kembali, dia berlari menemui anaknya itu, lalu memeluk dan menciumnya.
Peristiwa silam yang telah mengecewakan hati si bapa tidak sekali-kali menghalangnya daripada mengasihi anaknya yang pulang dari negeri orang. Cuba bayangkan seorang bapa dengan penuh kasih sayang berlari menuju anaknya lalu memeluk dan menciumnya. Alangkah mengharukan!
Si bapa telah melupakan segala yang berlaku. Kasih sejati bapa terhadap anak melebihi segala-galanya dan tidak pernah luntur. Sekalipun anak itu amat mendukacitakan hati si bapa, namun dia tetap mengasihi anaknya tanpa berubah sedikitpun. Demikian juga belas kasihan dan kasih setia Allah kita terhadap diri kita tidak akan lenyap atau pudar.
Kasih Allah terhadap kita mengatasi segala-galanya. Dia tidak ingat akan kisah lalu kita kerana Dialah yang menghapuskan segala pelanggaran kita demi diri-Nya sendiri, dan tidak lagi mengingat dosa-dosa kita. Bagi-Nya kita adalah penting dan istimewa. Oleh itu, datanglah kepada Allah dan serahkan hidup kita kepada-Nya kerana Dialah Tuhan yang mengasihi kita.
Ingatlah Roma 8:38-39:- “Kerana aku yakin bahawa kematian mahupun kehidupan, para malaikat mahupun para pemerintah, masa kini mahupun masa depan, baik kuasa apa pun, ketinggian mahupun kedalaman, baik apa pun yang lain dalam seluruh ciptaan, tidak akan dapat memisahkan kita daripada kasih Allah yang di dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas kasih-Mu kepadaku. Walaupun aku sering kali melukakan hati-Mu, namun Engkau tetap mengasihiku. Bimbinglah aku untuk mengikut jalan-Mu setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments