top of page

Jangan Khuatir Kiranya Pemberitaan Kita Tidak Diterima

  • Mar 3
  • 2 min read

Tetapi mereka itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak percaya kepada mereka. Lukas 24:11 AVB

 

Setelah perempuan-perempuan tersebut menerima pemberitahuan daripada dua malaikat itu tentang apa yang terjadi kepada jenazah Yesus, mereka pun segara pulang untuk bertemu dengan sebelas orang rasul dan semua pengikut Yesus yang lain untuk menyampaikan berita yang disampaikan oleh malaikat Tuhan kepada mereka. Mereka, iaitu Maria orang Magdalena, Yohana, Maria, ibu Yakobus dan perempuan-perempuan yang lain mengatakan segala perkara yang dilihat dan didengar mereka kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain.

 

Bagaimanapun, pemberitaan para perempuan itu tidak diterima dengan baik oleh mereka. Sebaliknya, para rasul dan pengikut Yesus menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut atau hal yang bukan-bukan sahaja lalu tidak percaya kepada mereka. Sungguhpun Tuhan Yesus telah memberitahu murid-murid-Nya sebanyak tiga kali semasa mereka bersama-Nya tentang kematian dan kebangkitan-Nya, mereka sebenarnya tidak menjangka bahawa Yesus akan bangkit semula. Itulah sebabnya mereka menolak kesaksian para perempuan itu.

 

Akan tetapi, kali ini Petrus berbeza daripada yang lain. Dengan segera dia bangun lalu berlari pergi ke makam untuk melihatnya sendiri. Dia ingin mengesahkan pemberitaan para perempuan itu. Setiba di makam, dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kafan linen sahaja di situ. Dia pulang ke rumah dengan hairan sambil memikirkan apa yang telah berlaku. 

 

Sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus, kita tidak perlu tawar hati ataupun putus asa sekiranya pemberitaan kita tidak diterima. Sebaliknya, kita mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita untuk membimbing kita. Biarpun bukan semua orang akan menerima apa yang kita katakan kepada mereka, namun iman kita tetap teguh dalam Tuhan Yesus.

 

Penolakan orang terhadap pemberitaan kita tidaklah bermakna bahawa semuanya sudah berakhir tetapi kita hendaklah setia menjalani hidup yang diperkenan oleh Allah seperti biasa tanpa berubah dengan tetap suci dan benar dalam perkataan, perbuatan dan pemikiran. Ingatlah, cara hidup kita akan memberitahu setiap orang siapa yang berkuasa dalam hidup kita. 

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Ajarlah aku untuk terus menjalani hidup yang memuliakan-Mu dalam perkataan, perbuatan dan pemikiranku. Dalam-Mu hidupku dapat menyinarkan cahaya dan kebenaran-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page