Kebenaran Tanpa Perbuatan adalah Sia-sia
- Komuniti Digital 05
- Jun 20
- 1 min read

Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. Lukas 10:31-32 AVB
Seorang ahli Taurat datang kepada Tuhan Yesus lalu bertanya, “Apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?” Bagaimanapun, Yesus menjawab pertanyaannya itu dengan mengemukakan pertanyaan kembali, "Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?”
Ahli Taurat itu dengan segera membalas Tuhan Yesus, “Kasihilah Tuhan, Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri. ”
Berdasarkan jawapan ahli Taurat itu, secara mental atau intelek dia seorang yang sangat mengetahui apa yang tertulis dalam Alkitab, tetapi secara realiti dan praktik kebenaran Firman Tuhan tidak dihayati serta ditaati dalam hidupnya. Sebab dia tidak memahami siapa yang menjadi sesamanya. Dia hanya mengetahui apa yang tercatat dalam Alkitab tetapi dia sama sekali tidak mengamalkannya dalam hidup dirinya.
Oleh itu, Tuhan Yesus menggunakan sebuah ibarat tentang seorang Samaria yang baik hati untuk mendedahkan masalah yang mengongkong dirinya, iaitu mengetahui apa yang tertulis dalam Alkitab tetapi tidak mengamalkan kebenaran itu dalam hidup hariannya. Dengan kata lain, seseorang yang benar atau baik di hadapan Tuhan Allah bukanlah orang yang mengetahui kebenaran sahaja tetapi dia harus mempraktikkannya.
Sesungguhnya, kebenaran tanpa perbuatan baik adalah sia-sia. Seseorang yang mengetahui kebenaran tetapi tidak memperlihatkannya dalam tingkah laku sehari-hari ialah seorang yang tidak diperkenan oleh Tuhan Allah selain juga menyedihkan-Nya kerana dia tidak memiliki kasih yang sejati terhadap-Nya dan tidak mentaati perintah-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon pengampunan daripada-Mu sekiranya aku tidak mengamalkan kebenaran-Mu dalam hidupku melalui perbuatan. Ampunilah aku dan bersihkan aku. Ajarlah aku untuk mengasihi-Mu melalui perbuatanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments