top of page

Kembalikan Segala Puji kepada Tuhan

ree

'Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk memberikan pujian kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?” ' (Lukas 17:18) AVB


Setelah salah seorang daripada sepuluh orang yang menghidap penyakit kulit yang teruk menyedari bahawa dia telah menerima kesembuhan daripada Yesus, dia pun datang kepada Yesus untuk mengucap syukur kepada Allah. Maka Yesus bertanya kepadanya:


'Yesus bertanya, “Bukankah sepuluh orang telah ditahirkan? Di manakah sembilan orang lagi? Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk memberikan pujian kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?” '


Orang yang disembuhkan oleh Yesus daripada penyakit kulit yang mengerikan itu ialah seorang asing, dengan kata lain, dia bukan daripada golongan orang Yahudi tetapi seorang Samaria. Walaupun orang Samaria dianggap najis dan berdosa oleh orang Yahudi, namun dia tahu bersyukur kepada Allah.


Dia kembali kepada Yesus kerana dia sedar bahawa kesembuhannya terjadi oleh kuasa Yesus. Oleh itu, dia datang kepada Yesus dan mengucap syukur kepada-Nya, sebab dia tahu bahawa kesembuhan yang dialaminya datang daripada Tuhan.


Orang yang dianggap najis dan berdosa oleh masyarakat Yahudi itu sebenarnya menunjukkan hati yang tahu bersyukur kepada Allah atas apa yang Tuhan telah lakukan dalam hidupnya. Dia tahu menghargai kasih dan kuasa Tuhan yang telah memulihkan dirinya.


Kebenarannya ialah, ramai orang yang telah menerima belas kasihan Tuhan, namun hanya sedikit yang kembali untuk mengucap syukur kepada-Nya dengan hati yang benar. Oleh itu, bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Adakah kita sedar bahawa segala yang kita terima dan alami dalam hidup ini datangnya daripada Tuhan?


Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dengan hati yang bersyukur atas segala yang telah Engkau lakukan dalam hidupku. Segala yang aku miliki datangnya daripada-Mu. Ajar aku untuk sentiasa bersyukur kepada-Mu dalam setiap perkara. Terima kasih, Tuhan, atas kebaikan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page