top of page

Kerana Kebenaran Orang Mengejek Kita

ree

Orang Farisi yang mendengar kata-kata Yesus mengejek-Nya kerana mereka loba akan wang. Lukas 16:14 AVB

 

Ketika orang Farisi mendengar ajaran Tuhan Yesus bahawa murid-murid-Nya tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan,  mereka mula mengolok-olokkan dan mentertawakan Yesus. Mereka tidak berminat langsung dengan ajaran-Nya yang secara tidak langsung menegur mereka. Ejekan mereka sebenarnya menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja munafik tetapi juga buta rohani. Apa yang lebih disukai mereka ialah wang dan bukan kebenaran atau kerajaan Allah. Yesus memberitahu mereka, “Kamulah orang yang membela diri di hadapan khalayak ramai, tetapi Allah mengetahui isi hatimu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia tidak ada nilainya di mata Allah.

 

Oleh sebab tamak haloba menguasai hidup peribadi orang Farisi, maka mereka mula tidak berasa selesa dengan ajaran Yesus. Sebab ajaran Yesus itu sesungguhnya telah membongkarkan segala pelanggaran  mereka yang tersembunyi selama ini. Atas kebenaran yang diperkatakan Yesus, maka kemunafikan orang Farisi tersingkap.

 

Demikian juga dengan banyak orang pada hari ini. Kelihatan mereka hidup seperti orang benar yang bersungguh-sungguh menjalankan kewajipan agama. Seperti orang Farisi, mereka memiliki banyak pengetahuan tentang hukum agama dan sangat tekun melakukan kegiatan ibadat mereka. Namun demikian,  mereka tamak haloba dan besar diri sehingga hidup mereka dihancurkan oleh sifat cinta akan wang.

 

Sebenarnya, orang Farisi mentertawakan Yesus kerana ajaran-Nya bertentangan dengan cara hidup mereka yang penuh dengan ketamakan dan keangkuhan. Oleh itu, janganlah kita berkecil hati atau mudah berputus asa sekiranya orang mula memperolok-olokkan kita atas kebenaran firman Allah yang kita sampaikan kepada mereka. Ingatlah bahawa Yesus juga melalui keadaan yang sama. Orang dunia ini pasti akan memperolok-olokkan  kita sekiranya kita terus berkata tentang kebenaran firman Allah kerana fokus mereka ialah kekayaan duniawi dan bukannya Allah.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk terus berkata tentang kebenaran-Mu kepada orang yang ada di sekelilingku. Biarlah kebenaran-Mu itu terus berakar umbi  dan bermekar dalam hidupku.  Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page