top of page

Kesaksian Madeline


Saya dididik oleh ibubapa saya mengenali dan mengamal agama saya. Saya tidak pernah meragui atau menyoal ajaran agama saya yang telah diajar semenjak kecil lagi. Tetapi pada suatu hari semasa saya menuntut diuniversiti, seorang rakan kuliah saya yang beragama Kristian bertanya soalan ini kepada saya, " Jika kamu mati sebentar lagi, tahukah kamu samada kamu akan ke syurga atau neraka?" Saya tersentak dengan soalan ini kerana tiada siapa pun pernah menyoal saya mengenai perkara ini. Namun demikian saya cuba juga menjawap soalannya. Jawapan saya kepada soalan itu adalah "Saya tidak tahu. Kewajipan saya adalah memenuhi semua amalan dalam agama saya dengan harapan Tuhan akan menerimanya dan apabila saya mati saya harap segala amalan ini akan menyelamat saya dari api neraka".


Rakan saya seterusnya berkata "Bagi orang Kristian, kami tahu bahawa bila kami mati kelak kami akan ke syurga." Saya terdiam mendengar jawapannya. Dalam hati saya berfikir betapa bongkaknya rakan saya ini.

Semenjak perbualan kami itu saya sering kembali kepada persoalan yang dikemukakan oleh rakan saya itu. Apa yang menyebabkan orang Kristian begitu pasti mengenai nasib mereka di akhirat nanti? Soalan inilah yang mendorong saya untuk membaca kitab Injil. Setelah membaca kitab Injil, dua perkara yang menarik perhatian saya adalah:


(1) Roma‬ ‭3:23-25‬ ‭AVB‬‬ “Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah. Namun demikian, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Kristus Yesus. Allah menjadikan Yesus korban pendamaian supaya dengan kematian-Nya, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka.”


Jelas dari ayat ini, manusia diselamatkan oleh iman kita kepada Yesus Kristus. Ini bukan merupakan hasil usaha kita melainkan berkat Allah. Dengan ini tiada siapa pun boleh memegahkan diri mereka dengan amalan mereka. Kita semua tiada perbezaan dihadapan Tuhan yang Maha Kuasa dan Adil kerana Yesus yang telah menebus segala dosa kita. Saya sedar setelah membaca ayat ini bahawa manusia tidak dapat menyelamatkan diri mereka daripada dosa kerana memang sifat manusia—kita tidak dapat mencapai tahap kesucian tanpa satu dosa pun. Oleh kerana itulah Yesus disalib kerana hanya dengan kematiannya dosa manusia dapat ditebus.


(2) Matius‬ ‭23:25-26‬ ‭AVB‬‬ “Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, sedangkan bahagian dalamnya penuh dengan hasil kekerasan dan kerakusanmu. Hai orang Farisi yang buta hati! Bersihkan bahagian dalam cawan itu, bahagian luarnya akan bersih juga.”


Disini jelas Yesus membenci sifat hipokrit didalam amalan agama. Saya tahu melalui pengalaman saya sendiri betapa senangnya untuk sembahyang berkali-kali, berpuasa tetapi dalam hati saya penuh dengan perasaan hasad dengki terhadap orang lain dan dibelakang orang saya mencaci atau bercakap buruk mengenai mereka. Saya sedar setelah membaca ayat ini betapa benarnya apa Yesus berkata mengenai sifat manusia yang semulajadi. Oleh kerana sifat manusia ini yang tidak pernah jauh dari dosa—sebab itulah manusia tidak ada keupayaan untuk menyelamatkan diri mereka sendiri daripada bala api neraka. Dan hanya dengan kematian Yesus dosa manusia dapat ditebus. Allah telah memberi manusia penyelesaian kepada dilema manusia. Kita hanya perlu percaya dan menerima hakikat bahawa Yesus Krisyus lah jalan pengampunan dosa kita kerana tanpanya kita tidak dapat menyelamatkan diri kita sendiri.


Setelah memikirkan semua yang telah saya baca dalam kitab Injil, saya mengambil keputusan untuk memeluk agama Kristian. Semenjak hari itu, saya tidak pernah kesal dengan keputusan ini.

bottom of page