top of page

Kesaksian Shery


Nama saya Shery. Saya telah dilahirkan dan dibesarkan dengan cara kehidupan agama saya yang sepenuhnya. Apabila saya meningkat remaja, saya cuba mendalami agama saya dan menanamkan semangat iman di dalam diri saya. Saya cuba menerangkan agama saya kepada orang-orang beragama lain, khususnya Kristian dan cuba memancing perhatian mereka kepada agama saya. Bagi saya, agama saya adalah agama yang sempurna, lengkap dan universal.


Saya mula mendalami agama saya dengan lebih mendalam agar saya dapat menyampaikan 'keindahan' agama saya kepada kawan-kawan Kristian saya. Namun sebaliknya timbul beberapa persoalan dan ketidakpuasan hati saya terhadap soalan dan juga jawapan-jawapan yang diberikan oleh mereka.

Kelogikan jawapan yang diberikan oleh mereka menimbulkan keraguan di hati saya. Bermula dari saat itulah saya mencari jawapan yang pasti tentang persoalan dalam diri saya sendiri. Siapakah sebenarnya Yesus Kristus yang akan menghakimi Kita nanti?


Saya berusaha untuk mendapatkan jawapan yang tepat dengan bertanya kepada beberapa orang yang alim di dalam agama saya dan ajaran-ajaran Kristian. Saya tidak mendapat jawapan yang saya kehendaki, maka saya mencarinya sendiri dengan mengkaji dengan lebih lanjut tentang Injil. Setelah saya membuat penyelidikan and perbandingan dengan agama saya, saya mendapat beberapa jawapan mengenai siapa sebenarnya Yesus Kristus.


Di dalam Injil, Yohanes 14:6-7 Yesus berfirman:


Yohanes 14:6-7 (AVB) Yesus menjawab, "Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudah pun melihat-Nya.


Setiap kali waktu saya berdoa, saya membaca ayat ini untuk meminta petunjuk agar ditunjukkan jalan yang lurus. Namun Yoh 14:6 tadi telah menjelaskan bahawa Yesus adalah jalan yang lurus. Jadi tidak perlu saya mencari jalan yang lain untuk mengenali Tuhan secara dekat. Dari saat inilah fikiran saya mula bercelaru. Saya merasa sangsi dengan apa yang telah saya buat selama ini. Saya juga mula meragui kenyakinan saya.


Alkitab menyatakan bahawa Yesus adalah Firman Allah. Sifat-sifat Allah adalah Dia berfirman! Siapakah Yesus Kristus kalau Dia adalah Firman Tuhan? Adakah Dia Allah? Sebab bagi saya Firman Allah tidak boleh dipisahkan daripada Allah.


Yesus adalah orang yang terdekat dengan Allah kerana Dia sendiri merupakan Firman Allah. Saya juga menemui ayat yang menerangkan siapa sebenarnya Yeus di dalam Injil Yoh 1:1-3


Yohanes 1:1-3 (AVB) Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah. Dia bersama Allah pada permulaan. Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Daripada segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya.


Yohanes 1:14 Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran.


Selanjutnya siapakah Yesus yang berkuasa ke atas maut? Di dalam Injil, Yoh 5:24 berbunyi :


Yohanes 5:24 (AVB) Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.


Ayat-ayat di atas telah membantu menyakinkan diri saya dan dengan penuh keberanian akhirnya saya mengambil keputusan untuk memilih jalan yang lurus ini dan di dalam hati, saya yakin bahawa Yesus adalah jalan yang benar untuk ke Syurga dan kepada Allah.


Di dalam 1 Korintus 8:6 (AVB) namun bagi kita Allah ialah esa, Bapa yang mencipta segala-galanya, dan untuk Dialah kita hidup. Tuhan kita juga esa, iaitu Yesus Kristus. Segala-galanya dicipta melalui-Nya, dan kerana Dialah kita hidup.


Selepas saya mempercayai Yesus Kristus, saya dapat merasai ketenangan jiwa. Kalau sebelum ini jiwa saya bercelaru, penuh dengan persoalan, kini saya bebas dari perasaan itu. Saya sudah mendapat jawapan yang sebenarnya. Ayat-ayat di atas benar-benar telah menyakinkan saya bahawa Yesus Kristus adalah Penyelamat saya dan saya tetap seorang penyembah kepada Allah yang Maha Esa.


Doa saya untuk kita yang belum percaya kepada Yesus Kristus, beranikanlah hatimu untuk mengenal pasti siapa Yesus Kristus. Saya yakin anda akan menemui kebenaran, jawapan dan hidup yang kekal.


Roma 1:16-17 Aku tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana Injil adalah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, mula-mula kepada orang Yahudi kemudian kepada orang Yunani. Kerana di dalamnya perbenaran Allah dinyatakan dari iman ke iman, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: "Orang benar akan hidup dengan iman.


Marilah kawan-kawanku, jangan lepaskan kesempatan untuk menemui kebenaran dan penyelamatan. Bacalah Injil dan percayalah kepada Yesus Kristus.

1 Comment


Rafaela C.
Rafaela C.
Mar 21, 2023

Praise the Lord! Puji Tuhan ❤️❤️

Like
bottom of page