top of page

Kesibukan Rohani Tidak Sama dengan Kedewasaan Rohani

  • Feb 18
  • 2 min read
Oleh Pr Jerry Ignacio
Oleh Pr Jerry Ignacio

Ada satu musim dalam pelayanan jadual begitu penuh dengan mesyuarat, lawatan pelayanan, perancangan program, dan tanggungjawab yang tidak pernah habis.


Dari luar, semuanya kelihatan “rohani”. Orang melihat kesungguhan, komitmen, dan penglibatan yang aktif.


Namun jauh di dalam hati, saya mula menyedari satu keganjilan: saya banyak bercakap tentang Tuhan, tetapi semakin jarang bercakap dengan Tuhan.


Firman Tuhan dalam Markus 7:6 menusuk hati saya: “Mereka menghormati Aku dengan bibirnya, tetapi hatinya jauh daripada-Ku.”


Ayat ini bukan ditujukan kepada orang yang tidak melayani, tetapi kepada mereka yang kelihatan sangat rohani namun hatinya tidak lagi dekat dengan Tuhan.


Saya belajar satu kebenaran yang pahit tetapi menyelamatkan: aktif dalam pelayanan tidak menjamin intim dengan Tuhan.


Kesibukan rohani boleh menjadi satu bentuk pelarian daripada kejujuran diri, dan daripada membenarkan Tuhan menyentuh perkara-perkara terdalam dalam hati kita.


Pelayanan tanpa keintiman ibarat mesin yang beroperasi tanpa minyak. Ia masih bergerak, masih berfungsi, masih menghasilkan bunyi tetapi perlahan-lahan ia haus dan rosak dari dalam.


Saya sedar, ada hari-hari di mana saya menyelesaikan tugas pelayanan dengan cekap, tetapi jiwa saya kering. Doa menjadi rutin, Firman menjadi rujukan kerja, bukan lagi makanan jiwa.


Soalan yang Tuhan tanyakan kepada saya bukanlah, “Seberapa sibuk engkau melayani?” tetapi, “Adakah pelayananmu telah menggantikan hubungan peribadimu dengan-Ku?”


Saya belajar bahawa Tuhan mencari keintiman, bukan sekadar komitmen. Dia tidak terkesan dengan kesibukan kita, tetapi Dia rindu hati yang hadir sepenuhnya. Dari keintimanlah lahirnya kuasa, kepekaan, dan kedewasaan rohani yang sejati.


Sejak itu, saya belajar semula untuk menjadualkan masa teduh saya bukan apabila ada kelapangan, tetapi sebagai keutamaan.


Kadang hanya 15 minit: tanpa telefon, tanpa gangguan, hanya doa dan Firman. Di situlah Tuhan menegur, memulihkan, dan meluruskan semula motivasi hati saya.


Pelayanan yang benar mengalir dari hubungan yang hidup. Kesibukan boleh mengagumkan manusia, tetapi keintiman menyenangkan hati Tuhan.


Dan saya terus diingatkan: lebih baik melakukan sedikit dengan hati yang dekat, daripada melakukan banyak dengan hati yang jauh.


Oleh Pr Jerry Ignacio

Sumber : Whatsapp Channel @ jerry ignacio

Comments


bottom of page